Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Saturday 12 March 2016

Masalah Jiwa

Salam


Kita semua ada masalah jiwa. Ada orang perasan, ada orang buat-buat tak tahu. Ada orang jujur membuka pekung dan ada juga yang berusaha sembunyi bawah tempurung. Sepertimana biasa, tidak ada salah atau benar, itu semua pilihan.
~google image~

Saya tak suka cara penyanyi tersohor Siti Nurhaliza bermain nyorok-nyorok setiapkali gossip melanda dirinya. Saya suka cara Erra Fazira. Beliau berani tampil ke depan dan bertanggungjawab membersihkan nama-nama yang perlu dilindungi. Mungkin cara saya seperti Erra, tampil dan jelaskan apa yang patut dan 'move on'.

Kebanyakan kita ada kecenderungan untuk dilihat mulia dan dikagumi sahabat-handai. Ada kecenderungan untuk dipandang tinggi walaupun jauh dilubuk hati kita tahu, betapa kita tidak layak mendapat pujian sebegitu rupa.

Kita persembahkan bunga-bunga dan rama-rama di taman. Kita sorok baja taik ayam, cangkul dan rumput meliar daripada pandangan mata umum. Katanya, orang tak perlu tahu busuk dan buruk kita, orang tak perlu hidu baja taik ayam yang kita siram dan orang tak perlu nampak daun-daun meliar yang kita cabut hampir saban petang. Orang tak perlu tahu sama sekali sebab itulah persembahan positif namanya.

Positif adalah istilah kebanyakan orang yang apabila bercerita tentang rumah tangga, tidak ada racun hanya madu di mulut. Positif pada sesetengah orang apabila bersembang tentang anak-anak, hanya bunyi syurga dan genius bermain di mulut. Positif pada sesetengah makhluk apabila bersembang tentang diri, hanya keluar definasi syurga, superman dan x-men belaka.

Saya sering keliru dengan motif mereka berkongsi cerita. Apakah kecenderungan untuk dilihat positif dalam khalyak menjadikan kita lupa tentang keseimbangan dalam kehidupan. Tanpa berkayuh, takkan jumpa tebing.Tanpa malam, takkan terjadi siang. Tanpa pengorbanan, takkan wujud kejayaan.

Di manakah kisah separuh lagi itu? Di manakah disembunyikan baja, cangkul dan rumput meliar dalam taman? Dan sampai bilakah ia harus disembunyikan?

Mengapakah kita tidak kuat dan telus memberitahu dan mengiktiraf kedua-dua sisi.. Mengapakah kita sembunyikan sebahagian kisah lagi?

Negatifkah saya apabila meminta kedua-duanya supaya kisah itu menjadi lebih realistik berbanding bunga dan rama-rama semata. Negatifkah saya apabila berbicara tentang cangkul, baja busuk dan rumput melata? Negatifkah saya bercerita tentang keringat dan masa yang laburkan demi mendapat taman yang cantik, mampu menawan mata-mata yang memandang?

Letih, memang letih digelar negatif kerana saya sering minta sesuatu yang lebih menyuluruh sifatnya. Saya sudah cukup tua untuk faham rentak dunia, tanpa berakit takkan sampai ke tepian. Tanpa jatuh, kita takkan berjaya berjalan dan berlari.


Takut digelar negatif?

Takut hilang aura kekaguman pada diri?

Takut orang melihat kita biasa-biasa tanpa magik?

Takut orang anggap kita sama sepertimana mereka?

Mengapa kita terlalu takut pada kedua-dua belah realiti itu?