Wah, lagi lama saya menangguh cerita bulan madu ini, makin malas pula mahu menulis! Baiklah, seperti yang dijanjikan, apa kata kita mulakan dengan ilustrasi kapal Sr. Richard With. Sebagaimana yang saya nyatakan sebelum ini, kapal cruise kami mempunyai lima tingkat(jika tidak salah) lantai. Ia bukan hanya dipenuhi oleh ratusan kabin, tetapi di lengkapi juga dengan kemudahan lain seperti restoran, gym, kedai serbaneka, bilik TV, bilik bacaan, bilik mainan anak-anak dan lokasi paling hebat, terletak di tingkat paling atas. Dek tertutup berhawa dingin, berlangitkan lampu-lampu halus berona biru seperti bintang-bintang kecil bergemerlapan di angkasa. Secara peribadi, saya sukakan dek ini kerana di situ kita mampu melemparkan pandangan seluas lautan yang terbentang di depan mata. Sejauh mata memandang, kata orang tua-tua dan di sinilah kami menyaksikan keajaiban ciptaan tuhan. Matahari di tengah malam.
Matahari ini kelihatan di tengah malam |
Selesai melawat kabin kami yang terletak di tingkat paling bawah, kami pun mengambil kesempatan membuat rondaan pada setiap tingkat yang ada di dalam kapal tersebut. Sungguh tidak dapat dinafikan, pengalaman di dalam kapal ini, sedikit sebanyak mengimbas kembali kisah manusia angkuh dalam sejarah terhebat dunia, di mana "tenggelamnya" kapal termasyhur Titanik. Sakit perut di kala terkenangkannya, setiap detik genting yang dilalui oleh hero dan heroin dalam kisah itu hingga ke penghujung. Apabila saya menyuarakan rasa risau dalam hati, suami mengusir rasa tidak senang dengan menjawab, " Ini tahun 2001, sayang. Sebelum terlanggar bongkah ais, kapal ini sudah boleh mengelak." Entah betul, entah tidak...saya iyakan sahaja. Tetapi kegusaran itu masih belum hilang apabila terlihatkan perahu-perahu keselamatan yang tergantung di sisi kapal. Bagaikan tidak cukup jumlahnya. Maklumlah, jika hendak dibandingkan dengan jumlah penumpang yang ada di dalam kapal ini. Bukankah, perkara ini juga yang disuarakan oleh Kate Winslate dalam kisah Titanik. Saya masih bimbang tetapi mengambil keputusan untuk berdiam diri.
Kami diberi informasi ringkas tentang peraturan dan jadual makan di dalam kapal, sepanjang pelayaran kami. Lokasi meja di restoran, tidak membolehkan kami duduk di mana sahaja yang kami suka. Maksudnya, meja kami sudah dipilih dan ditentukan awal-awal lagi oleh pihak admin kapal. Lokasi meja kami berhampiran dengan sebuah tingkap kecil, mengadap ke laut lepas. Bersebelahan dengan pasangan suami-isteri tua di awal usia 70an. Kelihatan ramah, redup mata keduanya dan tinggi susuk tubuh badan mereka berdua. Kami berusaha untuk berkomunikasi, tetapi menemui jalan buntu apabila mereka tidak faham dan fasih berbahasa asing, selain berbahasa Norway. Bagaikan ayam dan itik, kami bertukar kisah tentang latar belakang diri dan bersapa mesra setiap kali duduk di tempat makan yang sama. Apa yang saya ingat, mereka mengatakan ini adalah hajat mereka untuk berada dalam trip kapal Hurtigruten. Mereka sanggup menabung untuk merealisasikan impian itu. Pasangan ini mempunyai tiga orang cahaya mata dan semuanya telah menjalani hidup sendiri. Hingga ke akhir perjalanan, mereka berdualah yang menjadi pasangan meja kami.
Seakan bilik kami cuma tingkapnya berbeza. |
Dek paling atas, mengadap laut lepas. |
Sarapan pagi di atas kapal Hurtigruten adalah saat yang paling kami nantikan. Kami makan sepuasnya. Kebiasaannya, menu makan tengah hari tidak sesedap dan tidak banyak pilihan sepertimana menu sarapan. Menu sarapan pagi datang dari pelbagai negara, seperti Amerika, Britain dan Asia. Jangan terkejut, kami dapat melayan perut dengan nasi goreng ala Indonesia, sandwich ala Malaysia dan alhamdullilah, ada pilihan untuk tetamu vegetarian. Sememangnya, Norway adalah sebuah negara perikanan, jadi kami menjamu selera sepuasnya dengan makanan laut yang disediakan. Pernah sekali, saya tidak berselera untuk menjamah makanan tengah hari yang disediakan. Chef keluar dari dapur dan datang menghampiri meja, bertanya sama ada dia boleh menyediakan menu yang saya inginkan. Termalu dengan kelakuan sendiri, tetapi dalam masa yang sama, saya rasa tersentuh. Chef kembali ke meja saya dengan menu baharu, lain daripada penumpang lain.
Lebih kurang, gambaran restoran di dalam kapal |
No comments:
Post a Comment