Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Tuesday, 5 February 2013

Definasi Kejayaan

Salam

Pengakuan ikhlas dari hati, baru kini saya faham definasi kejayaan.

Sedih, bukan! Hampir 40 tahun saya hidup, melalui pelbagai pengalaman suka duka, dan baru kini saya tahu maksud kejayaan. Kita terlalu dimomokkan dengan istilah kejayaan orang lain yang tiada kena mengena dengan diri sendiri. Kita bukan orang lain, kita adalah diri sendiri dengan segala kekurangan dan kondisi tersendiri. Masakan orang boleh faham, masakan seminar kejayaan boleh menjadikan kita jutawan tanpa mengenali kekangan-kekangan yang kita hadapi secara eksklusif.

Tidak dinafikan, sebagai individu yang cukup sifat dan berpendidikan, kita juga mempunyai cita-cita. Apatah lagi dalam dunia moden hari ini, definasi kejayaan individu seringkali singgah di dada majalah, surat khabar mahupun media elektronik. Mahu tidak mahu dan ternyata sukar untuk mengelak, kita turut terpaut hati dalam mencari makna kejayaan untuk diri sendiri. Bukankah kejayaan itu milik setiap insan yang sentiasa berusaha?

Pada mereka yang sering mengikuti tulisan saya dalam blog ini, pasti dapat menduga impian menggunung saya selama ini. Bukan sekali dua saya menulis tentang keinginan, kepuasan dan kesanggupan saya meneroka jalan dan denai demi menggapai cita-cita tersebut. Justifikasi demi justifikasi saya sertakan dalam penulisan saya selama ini, dalam menyakinkan bahawa impian inilah satu-satunya pintu kepuasan dan kejayaan yang dicari selama ini. Tidak disangka-sangka, kejayaan yang didambakan oleh saya memerlukan pengorbanan yang sungguh luar biasa dan ia tidak terbatas pada diri sendiri sahaja. Apabila anak-anak menjadi pertaruhan pada kejayaan kita sebagai individu, mengganggu gugat keharmonian dan keselesaan sebuah keluarga hingga membawa kedukaan pada ahli-ahlinya, saya pasrah! Apakah kejayaan dan kepuasan yang dikecapi mampu membasuh duka di wajah anak-anak yang sering mendambakan kehadiran saya di sisi mereka. Selepas setahun menikmatinya, kepuasan saya tidak sampai ke mana, malah rasa bersalah bersarang rendah di dalam hati. Kesibukan pasangan yang tidak pernah kenal erti siang atau malam, kerakusan saya mengejar 'dateline', benar-benar memberi kesan pada anak-anak walaupun mereka ternyata berada di hadapan mata. Apakah yang saya belajar daripada sketsa hidup ini? Banyak!

Dalam keserabutan melawan duka di hati, saya didatangi oleh dua makhluk tuhan yang berhati mulia dan penuh hikmah. Kata-kata mereka menyedarkan saya tentang hakikat kehidupan yang serba mudah jika kita melihatnya dengan mata hati, dan tidak membuta tuli membandingkan diri dengan individu lain. Kapal kita berbeza kapasitinya, nakhoda juga unik berkarektor, kerenah krew kapal pun pelbagai, tidak ketinggalan juga dengan segala jenis kesulitan dan kelebihan yang tersendiri. Paling penting, untuk apa erti kejayaan jika seisi kapal tidak dapat menikmatinya? Saya melihat jauh ke dalam diri sambil membuat congakkan. Adakah anak-anak bangga dengan kejayaan saya sedangkan keperluan mereka diketepikan? Apa yang saya faham, anak sulung selalu mengatakan, dia tidak suka saya bekerja. Alasannya, saya tidak sempat melemparkan senyum ke arah mereka. Begitu sekali!

Pengajaran kedua, saya tidak akan mendapat dua kebaikan dalam satu masa. Pilihan harus dibuat berdasarkan keutamaan, antara ayat-ayat keramat yang dilafazkan oleh dua makhluk tuhan berhati mulia itu . Saya terpilih dalam jutaan ibu untuk merasa nikmat menjaga anak sendiri, itulah yang saya perolehi. Saya terpilih antara jutaan wanita untuk merasa nikmat duduk di rumah tanpa bersusah payah menanggung perbelajaan keluarga, itulah yang saya perolehi. Saya terpilih antara jutaan wanita untuk menikmati masa lenggang bersulamkan aktiviti berfaedah seperti mengaji, membaca, menonton dan pelbagai me..me..me, dan itulah saya perolehi. Bukankah itu kejayaan namanya? Kejayaan di mana hati ini sentiasa rasa tenang, senang dan bahagia walaupun tanpa pengiktirafan.

Akhir sekali, tatkala ditanya kembali tentang maksud kejayaan seorang individu. Saya dengan bangga menjawab, ia berbeza mengikut keperluan dan keunikan diri sendiri. Dalam diam saya akui, saya seorang yang berjaya...

No comments: