Hanya hiasan |
Terpanggil untuk menulis nota buat suami isteri di luar sana, baik pasangan yang sudah lama ataupun masih baru melayari alam rumahtangga. Saya bukan seorang yang bertauliah dalam memberi nasihat perihal alam rumah tangga atau perkahwinan, sebagaimana kaunselor-kaunselor berbayar di luar sana. Tetapi, melalui pemerhatian dan pengalaman sendiri selama lebih sepuluh tahun berkahwin, saya mungkin boleh berkongsi cerita dengan adik-adik yang baru mendirikan rumahtangga. Pendekatan saya berkongsi mungkin sedikit berbeza berbanding isi kandungan buku-buku perkahwinan yang terdapat di kedai buku MPH dan Popular, Saya tidak mahu menyentuh sedikit pun tentang tugas hakiki seorang wanita iaitu melayan lelaki aka suami. Saya hanya mahu cuba memahamkan para suami yang serba canggih, tetapi masih mendambakan seorang isteri seakan-akan zaman Tun Teja dan Tun Perak. Sudikah para suami canggih dan berFB, ber-iphone menukar filosofi perkahwinan selama ini kepada filosofi yang memberi keuntungan pada kedua-dua belah pihak?
Teringat kata-kata seorang kawan, apabila orang lelaki berkahwin, ia boleh mengurangkan bebannya melakukan kerja-kerja rumah. Manakan tidak, sebaik sahaja seorang lelaki berkahwin, dia tidak lagi memasak, membasuh, menyidai baju mahupun melipat. Semua kerja-kerja itu secara tidak langsung, tanpa perjanjian bersyarat akan terbeban di atas bahu seorang isteri. Isteri pula tanda sebarang persetujuan bersyarat melakukan kerja-kerja itu sebagai tanda kasih sayangnya pada si suami. Suami masih pergi kerja sepertimana sebelum berkahwin, tetapi dengan bahu lebih ringan kerana tidak perlu bergegas balik ke rumah untuk mencuci, melipat dan pelbagai me, me dan me....Manakala isteri, masih bekerja sepertimana sebelum berkahwin tetapi bangun tidurnya lebih awal, pulangnya lebih memenatkan dan rehatnya hanya berselang selikan anak dan suami yang nyenyak tidur. Saya tidak merungut, tetapi itulah paten semula jadi seseorang bergelar wanita apabila memasuki alam perkahwinan. Benar kata-kata kawan saya sebelum ini, secara tidak langsung lelaki terkurang beban apabila berkahwin, sebaliknya perempuan, terbeban berlipat kali ganda.
Melalui congakan mudah matematik, kita dapat lihat dengan jelas bagaimana institusi perkahwinan mengiktiraf kedudukan lelaki sebagai raja dalam sebuah keluarga dan sebagai pulangan, raja dalam sebuah negara kecil akan melindungi serta menyediakan kesemua keperluan rakyat-rakyatnya. Dalam konteks berkeluarga, sudah tentu seorang suami harus menyediakan keperluan ahli keluarganya dan melindungi mereka daripada segala keburukan. Jika dalam keadaan ekonomi sekarang, andainya seorang raja tidak mampu menampung keperluan keluarganya, dan tanpa berselindung memerlukan bantuan permaisuri bagi meningkatkan taraf ekonomi keluarga, adalah tidak keterlaluan jika permintaan itu diseimbangkan dengan keperluan bagi meringankan beban yang sudah sedia banyak terpikul di atas bahu permaisuri. Pada mata kasar saya, ia kelihatan seimbang dan berunsurkan tolak ansur antara suami isteri. Tidak sepatutnya wujud diskriminasi dalam melakukan kerja-kerja rumah, menjaga anak-anak melainkan pasangan sebulat suara menyerahkan tugas-tugas itu kepada pembantu rumah. Andainya tidak, suami berakal akan meringankan tulang temulang mereka dalam membantu isteri terchenta.
Kepada isteri-isteri muda ataupun tua, jangan terlalu suka membebankan diri dengan kerja-kerja wonderpet di rumah. Walaupun kita tidak mempunyai pembantu, ambil inisiatif bagi meringankan beban kerja-kerja rumah kepada semua ahli keluarga. Kita sebagai ibu boleh mengamalkan ilmu-ilmu pengurusan yang dipelajari dalam subjek perdagangan tingkatan satu, iaitu ilmu pengkhususan. Khususkan si suami membuang sampah sebelum masuk tidur supaya dapur kita bersih dan tidak mendapat kunjugan cik Ti dan cik Pas pada awal pagi. Anak sulung boleh diatur supaya mengangkat baju di ampai, setibanya mereka dari sekolah dan anak perempuan boleh membantu si ibu melipat baju bersama-sama sambil menonton drama bersiri. Seminggu sekali, kebiasaannya hari minggu...hadiahkan sebiji bakul, mop dan kain lap kepada suami bagi membantu mengilatkan lantai dan perabot. Adil bukan?
Masalah berbangkit pada para isteri aka ibu apabila dengan rela hati melakukan kerja-kerja rumah tanpa meminta bantuan, sedari awal usia perkahwinan. Anak bertambah, usia makin beranjak tua tetapi kerja rumah tidak pernah tidak surut malah berganda-ganda banyaknya, dan suami serta anak-anak bagaikan tidak "perasan" akan kerja keras si ibu aka isteri selama ini. Salah siapa? Saya tidak berminat mencari salah sesiapa, tetapi malangnya ia banyak berpunca daripada sikap kita sendiri sebagai suri aka ibu. Pada awalnya, kita rela hati mengulikan diri sendiri atas alasan sayangkan suami, maklumlah baru kahwin. Apabila mempunyai anak, usia perkahwinan semakin bertambah, si suami sudah syok dengan carefree style di rumah. Apa tidaknya, sejak berkahwin semua isteri yang buatkan hatta hendak minum segelas air kosong pun sanggup menunggu isteri hulurkan padanya. Adakah si suami akan berubah sekelip mata selepas mendapat cahaya mata demi cahaya mata? Jawapan pendeknya adalah tidak!
Pendekatan saya mungkin tidak sesuai bagi wanita melayu terakhir di luar sana, tetapi percayalah, saya tidak mempunyai masalah dibebani kerja-kerja rumah yang tidak berkesudahan. Anak dan suami tahu dan sedia maklum akan tugas-tugas mereka di rumah, apatah lagi saya tidak pernah mempunyai pembantu selama mendirikan rumah tangga. Saya tidak mengaku saya bijak mengurus, tetapi percayalah, anak-anak yang dididik oleh ibu dan ayah yang juga berperanan sebagai contoh hidup di depan mata mereka dapat memastikan anak-anak kita menjadi seorang yang ringan tulang akan hal-hal kerja rumah. Anak lelaki saya masih belum pandai menanak nasi atau menggoreng telur mata kerbau, tetapi dia boleh mengemas bilik tidurnya sendiri, mengangkat baju, menyidai baju mahupun melipat baju. Cukuplah setakat membantu saya meringankan lelah seharian. Filosofi saya mudah sahaja, saya bukan pembantu rumah tetapi pengurus rumah tangga. Jadi sebagai pengurus, saya menggunakan segala peluang dan sumber yang ada bagi meringankan kerja-kerja seharian dan ia termasuklah mempergunakan kuderat ahli-ahli lain. Saya tidak tahu sama ada cara saya berkesan bagi pasangan lain, tetapi kebanyakan daripada orang keliling yang mengenali, kerap kali meminta tip daripada saya. Semudah ABC, jangan manjakan mereka(suami dan anak) dari awal, atas alasan apa sekalipun. Sekiranya tidak, bersedialah kita untuk menandatangani kontrak seumur hidup sebagai pembantu rumah aka isteri aka ibu aka pemandu aka jururawat aka guru aka lain-lain tugas.
Selamat berkhidmat.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment