Salam semua
Pagi ini saya terbaca satu status yang masuk dalam facebook, "orang yang jarang bersyukur, biasanya tidak pernah puas hati dengan keadaan dirinya sekarang". Saya biasa terjumpa ayat-ayat begini tetapi sukar untuk mengiyakan ataupun menidakkannya. Ia juga pernah dituturkan oleh seorang kawan, tetapi perasaan saya pada waktu itu sedikit terganggu dan agak marah. Saya tertanya juga dalam hati, apa yang menyebabkan ada sedikit rasa tidak senang apabila ayat ini dituturkan ataupun dibaca.
Izinkan saya mencerna maksud ayat ini dalam beberapa bahagian supaya kita dapat memahaminya dalam perspektif berbeza. "Orang yang berpuas hati dengan keadaan dirinya sekarang, adalah orang yang sentiasa bersyukur". Maksudnya, orang yang berpuas hati dengan keadaan dirinya pada ketika dan waktu ini, tidak perlu berusaha lebih demi masa hadapan kerana dia sudah bersyukur dengan apa yang ada. Adakah kita boleh simpulkan orang yang sentiasa berusaha memperbaiki kehidupan sekarang, adalah orang yang jarang bersyukur dengan apa yang dia ada pada hari ini? Bagaimana dengan orang yang sentiasa bekerja bagaikan mereka mahu hidup 1000 tahun lamanya, dan mereka beribadat bagaikan mahu mati keesokkan harinya? Adakah ini juga petanda orang kurang bersyukur? Adakah orang yang senantiasa berpuas hati dengan apa yang dia ada walaupun secara zahirnya tidak mencapai standard ekonomi sekarang adalah tanda orang bersyukur?
Apakah pula standard atau piawai tanda orang-orang bersyukur? Adakah orang bersyukur adalah orang yang hidup ala kadar? Adakah tanda syukur itu hanya pada mereka yang bekerja demi melangsaikan kewajipan diri dan keluarga sahaja? Akhir sekali, perlukah kita tahu akan tanda-tanda ini pada orang lain atau ia sebagai kayu ukur dalam diri sendiri sahaja.
Sekian kalinya, saya rasa isu syukur adalah isu dalaman yang tidak perlu kita komersialkan penggunaannya. Tidak perlu diucap sesama kita antara kawan dan saudara. Tidak perlu dijadikan nasihat basahan pada semua orang tanpa penjelasan yang mantap. Pada saya, bersyukur adalah isu dalaman antara kita dengan pencipta dan hanya kita dan Dia sahaja yang memahami dalam konteks yang sebenar-benarnya. Tiada tanda jelas antara kita siapa yang bersyukur ataupun tidak. Kita tidak seharusnya membuat kesimpulan singkat pada mereka yang bekerja seperti tidak cukup 24 jam sehari sebagai tidak bersyukur. Tetapi kita yang pulang kerja tepat jam 5 petang tanpa OT, di kalangan mereka yang bersyukur. Sedar atau tidak, betapa mudahnya kita menghukum orang dengan fahaman singkat 'tanda syukur' kita itu tadi.
Cuba sorot kehidupan manusia pada hari ini, kita beli rumah bukan satu dan bukan dua, malah seorang sebuah pada setiap anak. Adakah itu tanda kita tidak bersyukur dengan rezeki tuhan? Kita tukar kereta daripada kancil ke alza, daripada alza ke frontera kerana bilangan anak yang bertambah dan keselesaan diutamakan. Adakah kita tergolong dalam mereka yang tidak bersyukur? Bagaimana jika ucapan itu ditujukan kepada kita hanya kerana kita membuka cawangan bisnes di daerah lain yang mempunyai potensi lebih besar. Menyengat bukan?
Makin lama hidup dalam kelompok masyarakat seagama dan sebudaya, saya perasan isu ibadat antara satu topik yang sering menjadi saingan antara kita sesama manusia. Siapa bersyukur, siapa tidak bersyukur. Siapa alim, siapa kurang alim. Siapa suka ke masjid, siapa kurang ke masjid. Siapa berubah selepas balik haji, siapa kurang berubah. Berapa kali pergi umrah, berapa kali pergi haji, berapa kali buat kenduri...semua ini menjadi bahan bualan harian yang tiada kesudahan. Saya takut akan fenomena ini, takut jika saya juga terheret dalam permainan psiko sebegini. Bimbang akan keupayaan diri membenteng iman senipisnya kulit bawang untuk kekal membutakan mata dan telinga daripada orang keliling. Ya Allah, engkau peliharalah kami dalam rahmat Mu.
Pendakwah adalah orang yang berhak mengingatkan kita yang jahil, tetapi dengan cara paling berhikmah. Nasihat yang diberi harus diperjelaskan sebaik-baiknya supaya orang awam tidak terlalu mudah menghukum sesama manusia. Asal lihat saja jiran pulang lewat daripada pejabat, kita cop dia tidak bersyukur dengan apa yang dia sudah ada. Tidakkah kelakar bunyinya?
Pada saya, bersyukur adalah antara ibadat senyap antara kita dan pencipta sepertimana ibadat bersedekah, ibadat sunat dan lain-lain. Kita boleh mencari panduan dari bahan bacaan untuk peringatan diri tetapi elak mengunakan untuk tujuan memeriksa orang lain. Ini adalah perjalanan dalaman bukan luaran, jadi simpan hanya untuk diri.
No comments:
Post a Comment