Salam dan selamat hari raya pada semua rakan taulan
Google Image |
Sempena bulan mulia syawal ini, tidak sah jika kita tidak berkunjung ke rumah sedara mara dan rakan taulan.
Ada yang masuk rumah baru, ada beli kusyen baru, ada tukar langsir baru dan tidak kurang juga yang mendukung ahli keluarga baru. Dalam suasana kunjung mengunjung ini, kadang-kadang kita terlepas pandang perkara asas seperti adab bertandang ke rumah-rumah. Apakata kita refresh kembali adab-adab bertandang yang diajar oleh orang-orang tua kita. Mungkin ada yang terlupa atau tidak perasan teguran yang tidak seberapa itu mungkin mengundang rasa tidak senang pada tuan rumah yang kita kunjungi. Adab ini bukan hanya terbatas pada kunjungan hari raya sahaja tetapi juga pada hari-hari kebiasaan.
Waktu bertandang.
Berkahwin dengan keluarga jawa, saya dapati adap ini tidak terlalu dititik beratkan oleh mereka. Bila melihat keakraban ahli keluarga besar seumpama ini, kita akan faham kenapa ia berlaku sedemikian. Jadi waktu kunjungan dalam keluarga jawa pada hari raya sedikit berbeza daripada keluarga melayu. Keluarga jawa berkunjungan di hari raya hingga ke lewat malam, ada yang singgah ke rumah pada jam 11 malam kerana esoknya, mereka harus bertawaf ke kawasan lain. Jadi sebagai tuan rumah, kita faham dan menerima kedatangan mereka dengan senang hati. Sebagai menantu pada keluarga jawa, saya agak pelik pada awalnya tapi lama kelamaan, saya memahaminya. Jika pada hari kebiasaannya, seperti sedia maklum elakkan waktu tengahari kecuali jika ada jemputan khusus. Elakkan juga waktu-waktu senja atau jauh lewat malam khususnya jika tuan rumah mempunyai bayi yang masih merah.
Mudahkan tuan rumah.
Bila berkunjung ke rumah sesiapa pun, baik saudara atau rakan taulan, sematkan dalam kepala ini rumah orang. Tolonglah jangan meminta benda-benda yang tidak munasabah seperti mengorder rebina kononnya anak bujang ini tidak minum air lain. Paling mudah jika hendak berdiet bagai, minta sajalah air bujang atau air kosong. Ia lebih memudahkan daripada meminta minuman klorofil pada tuan rumah yang rata-rata minum air kopi cap kapal layar. Kasihan bila melihat mata hening tuan rumah jika anak-anak kita tidak sudi meneguk air yang dihidang. Paling tidak, berkongsi gelas atau cawan jika ternyata airnya sangat manis hingga terasa ke telinga(pengalaman peribadi).Hahahaha.
Elak soalan-soalan cupemas.
Sesetengah orang bertandang bagaikan mencari peluang untuk bertanyakan soalan-soalan cupemas pada tuan rumah. Usah ditanya soalan-soalan yang boleh mengundang rasa terkilan atau sedih pada hati tuan rumah, padahal kedatangan kita pun hanya atas kunjungan siratulrahim. Berbeza jika kita berkawan baik dengan mereka. Jadi jika sekadar kunjungan setahun sekali, simpan soalan-soalan cupemas itu baik-baik di dalam kocek atau di dalam tas tangan. Ini tidak, ada yang berani menegur "slim nyer kau....makan hati dengan suami ka?", mak aiii!! Ada juga soalan lain seperti ini "aiii...anak baru dua orang?....rugi tau beranak sikit...bla..bla..bla"(terkulat mencari jawapan). Hahahhahah.
Berdiam atau kata-kata yang menyenangkan.
Seringkali pengalaman bila berkunjung ke rumah kediaman baru teman-teman, hati ini terusik hati dengan komen-komen daripada tetamu yang datang. Rumah besar atau kecil, deco cantik atau tidak, warna bilik terang atau pudar bukan sesuatu yang perlu dikomenkan bila berkunjung ke rumah baru kawan atau saudara. Benar ia seperti tidak membawa apa-apa makna tetapi cuba bayangkan jika orang lain memberi komen yang sama pada rumah baru kita. Penat lelah mendekokan rumah, memilih perabot, memilih warna cat tiba-tiba dikomen bagaikan kita tidak ada citarasa. Mungkin ada yang mengatakan aku yang terlebih emosi. Tentu sekali jawapannya "ya" jika aku orang yang bertungkus lumus memilih cat, memikir konsep rumah ini setelah sekian lama dan itu belum masuk kos yang ditanggung. Apa tidak logik aku emosi jika ada orang senang-senang komen warna langsir aku bagaikan kain buruk. Jadi simpan saja komen-komen tak ilmiah seumpama itu, gosipkan saja di dalam kereta dalam perjalanan pulang nanti. Ini tidak, depan tuan rumah sengaja dikomen..."Tingginya tangga...kalau saya, pasti tak beli rumah ini!" Terkesima si tuan rumah mendengar ayat-ayat sakti ini. Kesian tuan rumah.
Hanya kisah basa-basi.
Khususnya bila berkunjung di hari raya, simpan kisah-kisah masam, pahit dan kelat pada hari lain. Seringkali kita berjumpa saudara atau rakan taulan yang telah lama tidak dihubungi atau ketemu, jadi ambil peluang ini untuk menjalinkan kemesraan hubungan. Walaupun masih ada perkara yang berbuku di hati, perjumpaan selama setengah jam itu lebih bermakna jika dihiasi dengan cerita-cerita manis, gelak tawa dan berbasa-basi di mana perlu. Bukan bermakna kita menjadi hopikrit, cuma ruang masa itu tidak sesuai untuk meluahkan gumpalan perasaan kerana ramai tetamu yang hadir. Pastinya, kita tentu tidak mahu semua orang tahu tentang kentang busuk yang masih tersimpan di dalam laci dapur rumah kita. Kentang dah hampir lunyai tapi baunya menusuk di mana-mana.
Ringan-ringankan tulang.
Ini khusus untuk tetamu jauh yang bertandang ke rumah saudara di hari raya. Seringkali mereka dihidangkan jamuan makan tenghari atau makanan berat selain daripada kuih raya. Jadi sebagai tetamu beragak-agaklah, jika tuan rumah kekurangan tenaga buruh yang membantu, sudilah kiranya kita meringankan tulang temulang yang ada untuk meringankan beban tuan rumah dalam melayan batalion yang datang menyerang ke rumah mereka. Apatah lagi jika acara ini menjadi acara tahunan pada kita. Apakata sekali sekala, dibawa juga buah tangan yang setimpal seperti buah-buahan ataupun kuih raya pada mereka. Paling tidak, selain daripada datang berkunjung di hari raya, kita juga boleh meriahkan hubungan ini dengan buah tangan dan meringan-ringankan tulang yang ada. Ia bukan saja membuahkan perasaan gembira tuan rumah tapi kita juga tidak rasa segan untuk berkunjung lagi dan lagi dan lagi dan lagi.......Hahahah.
Itu saja setakat ini, artikel sempena hari raya. Peringatan ini juga untuk diri saya.
InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment