Salam semua
Definasi awal teori ini dipelopori oleh seorang psikologis Eropah bernama Carl Yung dari Switzerland. Atas usaha beliau memahami tingkahlaku manusia, teori ini membahagikan kecenderungan individu pada kumpulan besar iaitu dinamakan introvert dan extrovert.
Secara ringkasnya, individu yang bergelar atau dikategorikan sebagai introvert ini mempunyai sikap yang bertentangan dengan kualiti extrovert.Antara sikap itu ialah suka bersendirian, gemar mendengar, tidak sukakan majlis yang melibatkan kumpulan yang ramai, berfikir sebelum bertindak mahupun bercakap, gemar menjadi pengikut, bertenaga bila bersendirian, sukar didekati kerana selalu disalah sangka sebagai sombong, tidak mesra.
Manakala extrovert ialah seorang yang suka berbual, mudah berkawan, sukakan majlis, gemar menjadi ketua sesuatu kumpulan, bercakap tanpa fikir dan mudah didekati oleh sesiapa saja.
Disebabkan perbezaan yang agak ketara ini, mudah untuk kita mengenali mana-mana saja individu yang mempunyai kecenderungan samada dia seorang introvert atau extrovert.
Pengalaman peribadi aku bersuami dan mempunyai anak bercirikan introvert ini, membuka akal fikiran betapa kayanya Tuhan dengan segala nikmat yang diberikan kepada aku, supaya aku belajar dan menghargai kualiti-kualiti orang lain yang berada dikeliling kita. Sebagai individu yang bercirikan extrovert, aku bingung dengan kelakuan suami dan anak, anti-sosial -gelaran yang aku berikan kepada mereka.
Demi memahami kelakuan mereka yang memeningkan diriku, aku mula merajinkan diri membaca buku-buku berkenaan dengan kelakuan individu hinggalah pada buku-buku psikologi, hanya untuk memahamkan diri sendiri. Bacaan demi bacaan yang aku lakukan, makin terserlah kualiti-kualiti introvert pada keduanya. Mereka tidak suka ke majlis makan-makan, mereka sangat bertenaga jika berada di rumah lelebih lagi bila bersendirian. Bila faham, aku tidak cuba mengubah mereka tapi cuba memahami dan menghargai kualiti-kualiti tersebut. Aku juga dikelilingi oleh kawan-kawan introvert, jadi sedikit sebanyak pembacaan aku selama ini membantu aku melancarkan proses berkawan dengan mereka, cuma kekadang aku rasakan kecenderungan yang dimiliki oleh mereka harus diimbangkan dengan tuntutan sosial lebih-lebih lagi jika mereka memilih kerjaya yang melibatkan orang ramai.
Jika hanya berpandukan pada kualiti introvert yang ada pada mereka ini, ramai umpama berteriak di dalam diri supaya mereka difahami oleh orang luar terutama individu extrovert tanpa cuba merubah kecenderungan mereka sendiri. Mereka tidak suka bersosial, aku memahaminya dan sebagai pasangan dan umi kepada anak ini, aku cuba hadkan masa bila ke majlis supaya mereka tidak bosan. Adakah kerana kebosanan mereka ke majlis-majlis sedemikian, kita harus mengikuti tuntutan itu dengan alasan mereka adalah introvert. Kekadang terfikir juga difikiran, tidakkah kita sebagai pendidik dalam keluarga harus cuba mengimbangkan kecenderungan itu supaya paling tidak ahli keluarga kita tidak dianggap anti-sosial, maksudnya dalam konteks kita bermasyarakat. Adakah dengan alasan kita introvert, kita dapat melunaskan tanggungjawab kita sebagai ahli masyarakat umumnya? Paling tidak, kehadiran kita ke sesuatu majlis itu menunjukkan kesediaan kita untuk bersama-sama orang lain, itu juga satu tuntutan pada aku.
Pengalaman bertemankan individu introvert, mereka menyenangkan hati sebab suka mendengar. Satu kualiti yang sangat bagus dalam berkawan. Sedangkan individu extrovert ini, suka bercakap tanpa henti. Satu gandingan yang amat selesa pada aku. Cuma pada pengamatan aku, mana-mana kecenderungan samada introvert mahupun extravert akan jadi masalah jika tidak cuba diimbangi antara keduanya. Maksudnya, jika aku secara semulajadinya sangat mesra dan suka berbual, tidak akan disukai jika tidak tahu bila dan di mana aku patut berbual. Takkan di dalam majlis ilmu sekalipun, aku akan berterusan bercakap tanpa henti dan tidak belajar untuk mendengar. Begitu juga dengan individu introvert, takkan tidak boleh bersapa atau berbual ringan jika di dalam majlis makan-makan hanya kerana dia tidak suka berbual dengan orang lain kecuali diri sendiri.
Jadi dalam isu ini, aku rasa individu yang bercirikan introvert atau extravert, harus kenal dan memahami kelebihan diri sendiri. Ini di namakan self-acceptance tapi ia tidak mencukupi setakat itu. Harus ada usaha untuk mengimbangi kecenderungan itu dengan cara keluar daripada comfort-zone dan mempelajari ilmu-ilmu berkaitan dengan self-improvement. Secara ringkasnya, tidak salah samada kita introvert atau extravert kerana keduanya mempunyai kelebihan dan kekurangannya tersendiri tetapi yang lebih penting adalah pemahaman tentang kualiti diri dan cabar kualiti itu supaya ia seimbang. Wasssalam
No comments:
Post a Comment