Hi, masih di sini, masih belum habis catatan bulan madu ini. Ringkasnya, dalam entri bulan madu ini, kita sudah tahu serba sedikit tentang keunikan negara Norway. Kita juga boleh berangan serba-sedikit tentang keadaan di dalam kapal yang dinaiki oleh saya di sepanjang perairan melepasi garisan artik ke kutub utara. Ada satu lagi tarikan khusus yang masih belum dikongsi iaitu; sebagai negara yang terkenal dengan gelaran Midnight Sun, kita dapat melihat matahari di sepanjang hari, 24 jam tanpa henti, tanpa gelap pada musim panas. Semakin kapal bergerak ke atas menghampiri kutub utara, menyeberangi garisan artik, makin panjang masa kita dapat melihat matahari di tengah malam. Bunyinya bagaikan tidak masuk akal, bagaimana matahari itu tidak terbenam ke dalam laut? Itulah keajaiban ciptaa tuhan, apabila kita melepasi garisan artik di utara ataupun garisan antartika di selatan, fenomena musim dan matahari berubah sama sekali. Di kutub utara inilah, kita boleh menyaksikan aurore pada musim sejuk, iaitu enam bulan sejuk tanpa secalit cahaya, dan kita boleh melihat matahari tengah malam pada musim panas enam bulan, tanpa secalit malam. Bagaimana agaknya matahari malam ini membuat putaran "tenggelam dan menyinsing",?
Gambaran jelas matahari tengah malam. Seperti senja ketika hendak tenggelam dan terus terbit fajar. |
Pasti ada yang bertanya, mengapa tetamu kapal ini tidak berdaya hendak menunggu ke detik jam 12 malam sepertimana kami. Jawapan yang terfikir oleh saya pada waktu itu ialah; mereka mempunyai banyak wang untuk datang semula ke pelayaran ini, mereka mungkin berasal dari Norway, jadi mudah bagi mereka untuk mengulang sejarah. Akhir sekali, hampir 90% daripada tetamu kapal adalah terdiri daripada orang-orang pencen dan veteren. Usia tetamu-tetamu pencen ini tidak semuda dan bertenaga seperti saya dan suami. Kebanyakan mereka melebihi usia 65 tahun dan rata-rata, mereka dalam misi percutian pencen. Lebih tepat, menghabiskan duit pencen yang selama ini mereka kumpul. Jadi, dapatkah dibayangkan betapa kami berdua antara tetamu kapal yang dikenali kerana masih muda. Walaupun tanpa memberitahu sesiapa, ramai antara mereka tersenyum dan bertanya, adakah ini percutian bulan madu kami berdua kerana tanpa selindung, selain daripada krew anak kapal, kami antara yang masih muda belia. Biarpun dikelilingi oleh orang-orang berusia emas, kebanyakan tetamu tua ini mesra dan ramah tamah. Ramai antara mereka datang dari benua Amerika dan mempunyai misi untuk merealisasikan pengalaman unik Hurtigruten. Ternyata melalui raut wajah, mereka kelihatan puas dan sangat gembira.
Tepat detik 12 tengah malam |
Kelesuan tetamu-tetamu veteren ini memberi peluang pada saya dan suami, melompat tempat duduk demi tempat duduk hingga mendapat "spot" yang paling anggun! Sofa empuk kami mengadap ke laut lepas dan hanya berselindung di sebalik dinding kaca tebal berlapis, memisahkan angin kutub daripada menyapa tubuh kami yang sudah sedia kesejukkan di dalam dek berhawa dingin. Berbaju tebal, berselimut bulu masih belum mampu menahan kesejukkan yang kami rasai. Tambahan pula dengan keadaan perut yang kekeyangan, lokasi dan posisi ini sangat sesuai untuk saya hanyut dalam mimpi. Tetapi suami masih berjaga dan bertarung dengan mata yang semakin kelat, mampu mengejutkan saya di kala matahari benar-benar berada di situ pada tepat jam 12 malam. Seperti menantikan matahari tenggelam pada waktu senja, dan biasanya bola cahaya akan hilang bagaikan masuk ke dalam lautan. Tetapi kini, pengalaman yang berbeza, matahari membuat u-turn tanpa tenggelam dan terus menyinsing fajar, bagaikan sudah habis waktu subuh. Semuanya terakam indah dalam memori saya, dan juga di dalam videocam sebagai simpanan harta karun kami berdua. Peluang ini cuma datang sekali seumur hidup, dan jika berkesempatan lagi, suami akan bawa saya ke cruise Antartika pula. InsyaAllah...
"Midnight sun" dari daratan paling hujung di dunia, Nord Kapp |
No comments:
Post a Comment