Salam
Agak perlahan membuka layar tahun baru ini, hampir ke penghujung bulan Januari cuma ada satu entri sahaja. Bukan tiada bahan untuk ditulis, cuma jadual agak padat dan badan agak penat untuk memerah otak menulis. Asal ada saja masa di hadapan laptop, badan lebih suka berbaring di atas katil dan melayan mata yang sentiasa berat.
Melihat tajuk di atas, mungkin ada yang tersenyum gelihati atau sinis. Betul, bukan main-main, saya bukan Tun Siti Hasmah. Malah, tidak layak walaupun sekadar mahu berkongsi bayang-bayang beliau. Selain persamaan biologi, iaitu kami adalah wanita tetapi secara psikologikal saya sangat berbeza berbanding beliau. Beliau sudah berumur, sudah bercucu pun tetapi saya masih mempunyai anak-anak di bangku sekolah rendah. Sudah tentu, perbezaan kami bagaikan langit dan bumi.
Dalam perbezaan kami yang sangat ketara kerana beliau bersuamikan pemimpin negara terulung dalam abad ini, saya masih cuba mencari titik-titik persamaan antara kami berdua. Adakah titik-titik itu wujud? Sekilas pandang, tiada satu pun yang sama. Tetapi dua kali pandang dengan mata hati, kami berkongsi rasa yang sama dan ia ternyata benar apabila saya menonton theater Tribute Tun Siti Hasmah yang lalu, bertempat di Istana Budaya. Lakonan mantap daripada barisan pelakon handalan tanah air, terutamanya Eja, berjaya mencungkil getar rasa tokoh wanita ini ke layar perak untuk menjadi tatapan ramai. Ada sedih bersulam duka, ada getar beralun ombak resah, semuanya diadun indah dalam bentuk sebuah sketsa.
Saya menahan sebak pada dua atau tiga babak yang dimainkan, dalam hati berkata, "Alangkah, Tun Siti Hasmah pun ada rasa begitu, inikan pula aku? Hati isteri tetap hati seorang isteri walaupun dia bersuamikan hulubalang Melaka, pemimpin terulung dunia, seorang guru mahupun sesiapa sahaja. Adakalanya, kepentingan diri mendahului fikiran dan hati, hati bagaikan tidak boleh berkongsi rasa walaupun ia bertunjangkan kepentingan umum. Melalui sketsa ini, saya akui, ia bukan satu rasa eksklusif untuk diri saya sahaja, malah Tun Siti Hasmah juga mempunyai rasa yang sama. Rasa seorang isteri yang mahu didahulukan kepentingannya.
Tetapi bezanya, Tun Siti Hasmah lebih bijak menyembunyikan getar hatinya daripada dilihat umum. Beliau tetap gagah sebagai srikandi negara walaupun hati beliau membengkak dan bernanah. Tidak mudah menjadi isteri kepada seorang pemimpin negara. Kata-kata akhir sebelum sketsa tamat, Tun Siti Hasmah tidak bermadu dengan seorang wanita lain tetapi beliau bermadukan rakyat. Dalam bangga, ada tawa, dalam tawa ada pilu.
Sekian kalinya, saya tidak layak dibandingkan dengan beliau. Saya juga tidak bermadu dengan wanita lain tetapi dengan kerjaya suami hingga menolak kepentingan diri dan anak-anak. Dalam bangga, ada tawa, dalam tawa ada gurisan halus yang memeritkan. Persoalannya, adakah saya boleh bertahan sehingga 22 tahun sepertimana beliau. Jawapannya, TIDAK!