Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Saturday, 26 April 2014

A sebelum B

"Jom pergi kenduri! Tak mahu, saya hendak pergi membeli barang dapur."
"Marilah meramaikan majlis. Tak mahu, saya tidak suka majlis dan jumpa orang ramai."
"Seronok pergi ke kelas mengaji, jomlah. Malaslah saya tak berapa pandai dan malu."

Masa saya hanya untuk keluarga, suami dan anak-anak. Tiada untuk jiran tetangga, tiada untuk orang lain, tiada untuk kelas menambah ilmu. Hanya untuk diri sendiri, keluarga, suami dan anak-anak. Saya tidak suka bercampur dan tahu kisah-kisah orang lain, banyak dosa daripada pahala.

IMEJ Google

Saya berada dalam masyarakat yang agak berjaya dari segi material dan akhlak, tetapi miskin hati budi dan sifat mesra masyarakat yang dipandang tinggi oleh nenek moyang. Tidak banyak kerenah dalam komuniti ini, semuanya berdisiplin dan bijak menjaga tata susila masyarakat tetapi sifat individualistik sangat tebal dalam diri masing-masing. Kenduri sebelah rumah pun tidak berjemput, seberang jalan apatah lagi. Bila dijemput pun tidak datang, apatah lagi mahu bertanya khabar orang yang mahu berkenduri. Hilang sifat gotong royong dan ambil tahu, kendur sudah ikatan tali siratul rahim. Mereka yang rajin akhirnya malas kerana jemputan tidak bersambut. Mereka yang semulajadi malas makin malas kerana pasti tiada sesiapa pun kisah. Inilah istilah orang bandar agaknya, hidup dan mati hanya untuk keluarga dan diri sendiri.

Bila fikir dalam-dalam, kita semua diberi kesempatan A sebelum datangnya B. Kita semua diberi peluang oleh Allah swt untuk menikmati masa, tenaga dan kewangan yang mencukupi untuk diri, keluarga dan anak-anak. Dalam kesempatan itu adakah sedikit diperuntukan pada orang lain. Khususnya pada mereka yang tiada kena mengena dengan kita, keluarga mahupun anak-anak. Adakah masa, tenaga dan kewangan yang dikecapi ini kita kongsikan bersama orang lain sama ada mereka berkepentingan ataupun tidak. Jika semuanya berpasak pada keluarga dan diri sendiri, adakah peluang ini akan berterusan hingga selama-lamanya. Itu yang menjadi peringatan kepada saya apabila melihat teman-teman keliling yang diduga datangnya B selepas perginya A. Kita diduga dengan kemiskinan sesudah perginya kekayaan material, kesihatan mahupun kewangan. Masa kuat, berduit dan lapang,; adakah kita memperuntukkan sedikit masa melihat orang yang memerlukan. Semasa senang lenang di atas roda kehidupan, adakah kita meluangkan sedikit masa, kewangan atau tenaga melihat orang yang memerlukan. Semasa gelak tawa badan sihat, segar bugar adakah kita terfikir untuk membantu ataupun melawat mereka yang terbaring kesakitan.

Risau saya cuma satu, apabila nikmat kita ditarik oleh Allah; badan yang sihat kembali lemah, bateri penuh bertenaga berbaki suku, kewangan empuk seperti kusyen tersedut kempis oleh kuasa misteri. Apakah masih ada peluang untuk kita berbakti, melawat atau menghulur simpati pada orang lain. Roda kehidupan yang berputar akan mengubah perspektif kita tentang kehidupan. Adakalanya di bawah, kita sering terlebih masa mendongak ke atas melihat mereka yang dirahmati kehidupannya. Apabila berada di atas kita terlalu sibuk hingga tidak sempat menjeling mereka yang di bawah. Ironiknya, roda itu akan terus berputar dan kedudukan kita akan sentiasa berubah. Kedudukan berubah di atas putaran roda akan mengubah perspektif dan cara kita menilai persekitaran sama ada sedar atau tidak.

Hingga tiba saat itu, kita mungkin tidak berpeluang lagi melakukan sedikit perubahan pada orang keliling. Jadi, rebutlah sihat sebelum sakit. Rebutlah ruang sebelum sempit dan rebutlah jariah sebelum kita kontang. 

Peringatan untuk diri yang sering lupa. Syaratnya, kita perlu tahu seimbangkan antara keperluan dan kemahuan dalam berkomuniti.