Salam semua
Sebelum tidur anak sering bercerita tentang kisah cikgu dan rakan-rakan di sekolah. Kata anak pada saya, " Cikgu kata, apabila melihat kawan gembira, kita harus rasa gembira untuk mereka."
Tambahnya lagi, jika kawan menang dalam perlawanan, kita harus ucap tahniah pada mereka. Kita cuba beri kata-kata manis buat mereka, " Awak bermain dengan baik hari ini."
Jika kawan kalah dalam permainan sekalipun, kita harus cakap manis juga pada mereka sebab dalam perlawanan ada kalah dan menang.
Adakala kawan-kawan berkongsi keseronokkan mereka, termalu sendiri kerana tidak ada sambutan daripada orang keliling. Tidak ada kata-kata manis, jauh sekali ucap tahniah. Menjadikan mereka yang berkongsi kegembiraan rasa tersisih dan menyoal diri, "Mengapa mereka tidak boleh bergembira untuk saya?"
Kita yang terkesan oleh reaksi hambar itu pula berhajat melakukan perkara yang sama pada orang lain, "Biar mereka rasa apa yang aku rasa sebelum ini." Begitulah pusingan permainan ini, aku buat pada engkau kerana engkau buat pada aku.
Kawan lama di Switzerland menyampaikan berita gembiranya pada kami, kawan sekelas tentang berita pertunangan beliau dengan si buah hati. Tanpa sekilas fikir, saya mengucapkan tahniah kepadanya. Beliau memeluk saya dengan erat dan menjemput saya dan suami ke majlis perkahwinan yang berlangsung tidak lama selepas itu. Katanya pada saya, " Keluarga saya jauh dan kamu adalah kawan pertama yang mengucap tahniah pada saya."
Saya akui mempunyai ramai kawan dari golongan ada-ada dan saya gembira setiap kali mendengar kisah unik mereka. Kehidupan mereka jauh lebih mewah dan sempurna daripada saya. Pengalaman mereka jauh lebih bermakna dan berprofail tinggi berbanding saya. Saya gembira mendengarnya dan jika perlu saya memuji mereka kerana mereka berhak menerimanya.
Saya mungkin seorang hipokrit atau bersuka beraksi 'sweet' sepertimana kebanyakan orang melabel. Pada saya pula, mengapa harus disakitkan hati orang yang tengah berkongsi saat gembira mereka. Mengapa harus diremehkan pencapaian mereka dalam sesuatu bidang yang kita sendiri tidak mahir. Mengapa tidak tunjukkan rasa seronok pada mereka sedangkan kita juga ada kisah seronok tentang diri sendiri.
Semakin berusia, saya sedar pendekatan ini tidak selalunya membawa kebaikan pada diri. Sungguh mudah orang berkongsi kegemilangan keluarga dan anak-anak tetapi mereka tidak ada rasa yang sama apabila kita berkongsi keseronokkan diri. Kita boleh mendidik hati supaya lunak dan raikan kelebihan orang, tetapi orang mungkin tidak mampu melakukan perkara yang sama pada kita.
Apa harus kita buat, soal anak pada saya. Jika memilih menjadi jujur itu membuka peluang untuk orang lain menipu kita. Teruskan menjadi jujur kerana itulah kita. Begitu juga dengan hati, pilihlah bergembira untuk orang lain kerana ia melunakkan hati kita sendiri.