Assalamualaikum wbt
Salam untuk diri sendiri. Lama terbiar blog ini...tanpa penghuni, tanpa penunggu, yang tinggal hanya cebisan kenangan. Syukur, saya sudah selesai menjalankan ibadah haji seperti yang dituntut dalam agama. Tuntutan yang awalnya disambut dengan rasa takut dan berbelah bahagi, akhirnya membawa seribu macam penemuan dan kerinduan yang tiada terbanding. Seperti orang buta yang baru dapat melihat, seperti anak yang baru berjumpa ibu tersayang, seperti orang yang baru mengenal erti cinta hakiki. SubhanAllah, moga-moga perasaan ini berpanjangan hingga akhir hayat. Jangan engkau tarik nikmat iman yang sedikit ini, ya Allah.
Setiap jemaah mempunyai pengalaman yang berbeza, bagi saya ia terlalu bersifat peribadi. Sukar digambarkan dengan luahan kata-kata. Ia berpusat di hati, rasanya sayu dan mengasyikkan walaupun muka bumi Mekah ternyata sangat gersang dan kering berdebu. Pertama kali melihat, hati saya terkocak bertanya, mengapa tempat ini yang menjadi pilihan Allah swt. Mengapa bumi Mekah yang berbukit bukau, gersang tanpa air yang menjadi medan catatan sejarah antara Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Maha suci Allah yang berhak memberi ujian pada hamba-hambanya, gurun ini menjadi persaksian antara iman seorang hamba dan tuhannya. MasyaAllah.
Pemandangan Subuh di atas bumbung Al-Haram |
Beberapa negara yang sudah saya singgah dan jelajahi. Antaranya sangat cantik dan sangat memukau pandangan. Terlalu jauh beza dengan Kota Mekah, tiada pokok dan tiada awan. Tetapi ternyata, tanah inilah yang menjadi kunjungan jutaan manusia setiap tahun bagi menunaikan rukun islam kelima. Sekali lagi, saya terpukau dengan fakta dan realiti depan mata. Perbezaan muka buminya terlalu jauh bagai langit dan bumi, tidak sama seperti Malaysia...jauh sekali Switzerland yang terkenal dengan panoramanya. Tanpa kehijauan pokok, tanpa sungai mengalir, tanpa bunga mekar kembang, tanpa awan berarak...inilah Tanah Haram mengandungi 1001 macam rahsia dan magis keagungan tuhan.
Secara peribadi, saya tidak kagum dengan besarnya masjid Al-Haram kerana itu ciptaan manusia. Tetapi saya kagum dengan suasana yang ada di dalamnya, sungguh syahdu dan tenteram, auranya jauh berbeza dengan kedamaian panorama indah di Switzerland mahupun Scotland. Hati seorang hamba rasa tertunduk, terpelanting ego tatkala menjadi tetamu di rumah Allah. Terasa benar kita seorang tetamu Allah, terasa benar kita dijemput oleh Nya walaupun jauh beribu-ribu batu. Terasa kita disayangi oleh Nya, itulah perasaan saya. Sedih apabila tersedar akan hakikat, Allah sentiasa sayang ...cuma kita sentiasa lalai.
Apa pengajaran sepanjang saya berada di sana? Seperti yang tertulis di atas, ia bersifat peribadi dan eksklusif untuk diri sendiri. Moga-moga ia menjadi pemangkin supaya mampu menjadi hamba yang diredhai oleh Nya. Itu antara permintaan saya di sana, teruskan beristiqamah dalam diri dan jangan ditarik nikmat iman yang secubit ini daripada saya. Amin.
Apa nasihat pada bakal jemaah yang akan melalui pengalaman istimewa ini? Bagi saya, berlapang dada adalah pra-syarat utama untuk menjadi tetamu Allah. Tidak perlu bersoal-jawab tentang kemampuan orang lain. Tidak perlu berisik tanya tentang kelebihan orang lain. Lapangkan dada, serahkan segala ketidakpuasan hati atas dunia ini pada Allah Taala. Sebagai hamba kita percaya tuhan itu maha adil, pegang kukuh pada kepercayaan tersebut. Semua hambanya akan diduga, tidak perlu risau. Tidak perlu mempertikaikan mengapa ada yang kaya begini begitu, yang kurang mampu begitu begini. InsyaAllah, kita mampu melihat keadilan tuhan dengan mata hati tetapi syaratnya kita haruslah berlapang dada. Tugas kita hanya untuk beribadat, bukan untuk menjadi hakim sesama manusia. Ada peluang kita membantu, bantu dengan rela hati kerana habuannya sangat besar di sisi tuhan kerana kita di tanah suci Mekah. Ganjarannya ratusan lipat kali ganda walaupun hanya dengan sedikit amal, jadi rebut peluang itu.
Selain itu, harus sentiasa berpesan dalam diri, pemergian kita ke sana adalah sebagai hamba. Jadi, kita selayaknya berkelakuan sebagai hamba. Tidak kira berapa mahal pun pakej yang dipilih, kita tetap hamba pada Allah swt. InsyaAllah, sentiasa minta pada Nya untuk dipermudahkan segala urusan...magis bumi Mekah, tuhan menjawab permintaan kita dengan pantas sekali.
Apakah cabaran yang bakal kita hadapi sebagai jemaah? Mengambil kata-kata seorang rakan, cabaran beribadat kepada Allah tidak terlalu sukar tetapi cabaran sesama manusia yang berjuta jumlahnya, ternyata payah. Memerhati dan berfikir tentang kerenah manusia yang datang dari seluruh pelosok dunia, pelbagai latar belakang dan adat resam, saya akui ia satu cabaran maha hebat. Teringat akan satu ayat femes tentang jalan ke syurga itu ada dua lorong; satu lorong tuhan dan satu lagi lorong manusia. Lorong tuhan mudah kita jaga, mudah untuk kita bertaubat tetapi lorong sesama manusia agak sukar jalannya. Begitu juga dengan ibadat kita di tanah suci Mekah. Pergi ke masjid Al-Haram itu mudah tetapi merentasi lautan manusia yang sengaja atau tidak sengaja berpeleseran di dataran masjid, ternyata agak payah. Bersolat itu mudah, antara kita dan tuhan tetapi menahan gelodak hati yang marah dengan kekasaran dan tiada sikap timbang rasa sesama jemaah, sukar diucapkan. Menguncup hajarul aswad itu mulia, tetapi perlaksanaannya hingga sanggup menyakiti orang keliling adalah sangat tidak beradap. Rumah mulia seperti Al-Haram tetapi tetamu-tetamunya biadap sesama sendiri, hingga hilang adab dan tertib, ia sesuatu yang memalukan. Mungkin kita menjadi cabaran pada orang lain, dan orang lain pula menjadi cabaran kepada kita. Wallahu'alam.
Apakah harapan para jemaah apabila meninggalkan kota Mekah? Saya rasa, semua jemaah mempunyai harapan yang sama iaitu ingin kembali bertawaf mengelilingi Kaabah. Harapan saya yang lain, semoga para penguasa kota Mekah lebih menitikberatkan soal kebersihan di kawasan sekitar kota dan bukan hanya tertumpu di kawasan masjid sahaja. Bangunkan kawasan di sekitar kota supaya selari dengan kecanggihan masjid Al-Haram. Pastikan kebersihan kota ini dijaga dengan sebaik mungkin kerana ia membawa persepsi tentang orang islam keseluruhannya. Walaupun orang bukan islam tidak boleh menjejakkan kaki di kota ini tetapi kita harus ada standard kebersihan yang maksimum kerana inilah tempat ibadat terulung umat islam seluruh dunia. Denda maksimum pada mereka yang suka meludah, denda maksimum pada mereka yang membuang sampah. Jika boleh denda maksimum pada jemaah yang bebal dan tidak faham peraturan.
Wassalam
No comments:
Post a Comment