Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Thursday, 19 March 2015

Bangunkan karektor anak

Salam

Terkesan hati membaca sebuah kisah yang dikongsi oleh seorang rakan wastap.

Seorang pemuda ditemuduga oleh bakal bos di sebuah tempat kerja. Selepas sesi perkenalan dan soal jawab tentang latar belakang, beliau diminta pulang oleh si bos yang memintanya melakukan beberapa perkara.

Pemuda itu kembali ke bilik temuduga dan berkongsi pengalaman sedih bersama penemuduga.

Dipendekkan cerita, pengajaran terbaik daripada bos lama yang sudah lama makan garam.

"Kami mencari seorang pengurus yang faham masalah orang lain dan sama-sama berusaha menyelesaikan masalah demi mencapai target dalam organisasi. Bukan seorang pengurus yang leka dengan kepandaian sendiri dan tidak mampu merendah diri belajar daripada pekerja bawahan."
~google image~

...............................................................................................................

Suami sering menceritakan kisah yang sama di tempat kerja. Ramai anak muda kini berkebolehan menjadi pengurus, ternyata bijak dan cekap tetapi kurang rasa empati pada teman sekerja mahupun staf bawahan. Mereka tidak berkongsi rasa 'bersama' dalam mengejar kejayaan dalam dunia kerjaya. Seolah-olah kecerdikkan dan kebolehan mereka adalah hasil kerja buat diri sendiri. Tidak sedikit pun melibatkan keringat orang lain, apa ntah lagi staf bawahan. Apabila masa meraih anugerah dan pengiktirafan, mereka seperti merak di kayangan mengaku kejayaan itu atas usaha sendiri tanpa pertolongan orang keliling.

Pendek kata, tidak ada istilah 'kita' dalam kejayaan yang dicapai. Hanya perkataan 'saya, saya dan saya'.

Pahit tetapi itulah realiti. Generasi sekarang adalah kelompok individu yang sibuk fokus pada diri sendiri. Sebagai ibu ayah, kita tidak mahu anak hidup dalam realiti kerana bimbang mereka tidak cukup masa untuk belajar, membuat kerja rumah serta maju dalam akademik. Segala keperluan hidup kita hadapkan tanpa sedikit pun melibatkan usaha mereka. Anak tidak membantu kita memasak ataupun mengemas. Kononnya mereka perlu buat kerja sekolah atau belajar, maklumlah peperiksaan tidak pernah selesai.

Sama ada sengaja atau tidak, mereka terhindar daripada membantu kita membuat kerja rumah. Masa lengang yang ada, kita gesakan mereka ke pusat tuisyen atau aktiviti tambahan lain seperti kelas piano atau taekwando. Keperluan sekolah atau rumah dihadapkan pada mereka tanpa lelah mendapatkannya. Cukup masa makanan terhidang, baju sekolah berbasuh dan bergosok, bilik berkemas dan keselesaan dijamin.

Pendek kata, kehidupan anak kita hanya berkisarkan tentang diri mereka semata-mata tanpa mengambil tahu susah payah orang lain menyediakan keperluan itu. Keadaan menjadi semakin parah jika keluarga mempunyai pembantu rumah. Segala jenis pekerjaan dihumbankan ke atas bahu pembantu, anak dan ibu ayah umpama majikan yang berkongsi staf, sama-sama mengarah dan sama-sama melepaskan tanggungjawab diri.

Bahagian terakhir dalam artikel itu mengajak semua ibu ayah melibatkan anak-anak dalam tugasan di rumah. Mereka perlu membantu ibu memasak di dapur sama ada anak lelaki atau perempuan. Bergilir membasuh pinggan mangkuk atau mengemas meja makan. Bersama membersihkan kawasan rumah seperti menyapu, membasuh dan mengemas. Hanya melalui didikan seperti ini anak-anak memahami realiti dalam kehidupan iaitu kerjasama dalam menyelesaikan sebuah tugasan. Mengarah dan menunggu, bukan aktiviti dalam berkeluarga. Anak mendapat gambaran yang salah jika budaya ini kita praktikan di rumah.

...............................................................................................................

Pemuda itu pulang ke rumah dan melakukan seperti apa yang dipinta. Beliau memegang dan merenung kedua-dua tangan ibu ayah uzur, walaupun aksinya tidak difahami oleh orang tuanya. Tanpa sedar air matanya mengalir apabila melihat kesan kerja keras pada tangan-tangan itu hingga ada yang meninggalkan parut. Buat pertama kalinya, mereka anak-beranak berbual tentang kesusahan ibu ayah membesarkan anak-anak.

Ramai ibu ayah gagal mendidik anak-anak hidup dalam realiti, sama ada dengan niat ataupun tidak. Kegagalan ini memberi kesan negatif pada anak kita kelak. Mereka kurang faham akan kesusahan orang lain, apa lagi menghargai keringat mereka. Inilah generasi bos muda yang membanjiri organisasi dewasa ini.

Generasi ini kuat berusaha, cerdik dan berkebolehan tetapi malangnya tidak ada istilah 'kita' dalam kamus kejayaan mereka.

Sedangkan perpatah mengatakan, " Mahu laju, jalanlah seorang diri. Mahu jauh, jalanlah bersama."

Monday, 2 March 2015

Pilihan

Salam

Saya ada seorang kenalan berjawatan peguam. Katanya pada saya, "100 kes menang di mahkamah dalam nisbah satu kes kalah. Kes kalah akan diungkit berkali-kali manakala yang menang tidak langsung diberi ucap tahniah."

Wow, saya terpaku mendengar rungutan beliau.
-google image-

Sketsa ini boleh diterjemahkan dalam kefahaman yang berbeza. Kita boleh rasa dunia bertindak kejam pada mereka yang gagal. Kita boleh pilih untuk berkecil hati dan kekal dalam zon selamat buat selamanya. Kita boleh menjadi ibu ayah yang melindungi anak daripada sebuah kegagalan. Kita juga boleh memperkasakan jati diri supaya sentiasa bangun dan terus berjalan.

Semua pilihan tersedia dan kita hanya memilih mana yang sesuai.

Mendidik anak-anak adalah sebuah pilihan. Kita boleh memilih menjadi ibu ayah yang disayangi dan dihormati, begitu juga sebaliknya. Adakala pilihan tidak memberi pulangan lumayan pada anak, tetapi pada diri sendiri. Kita punya lebih masa untuk membaca, bersembang atau menontoh drama kesukaan. Kita boleh melarikan diri daripada terperangkap bersama anak atau mengajar mereka membaca surah Al-Fatihah. Kita juga boleh mengalih fokus dengan memberi gadget, games atau dvd manakala kita menikmati 'me time' di dalam bilik sambil melayan lagu di radio. Ini semua pilihan.

Malangnya kita selalu lupa, pilihan datang bersama pakej akhiran yang berbeza. Kita boleh kekal dalam zon selamat, tetapi kita tidak akan belajar perkara baharu dalam hidup. Kita boleh mengawal anak 24 jam sehari semalam, bimbang jika mereka tercedera jatuh ke dalam longkang. Bagaimanapun kita terpaksa akui sekiranya mereka kurang akal, kurang daya saing dan lemah untuk bangun berkali-kali selepas gagal.

Kita ada pilihan untuk bersenang-lenang dahulu, dan berakit-rakit kemudian. Tetapi kita tidak mampu mengelak hukum alam yang terikat bersamanya. Berakit-rakit di usia tua membawa seribu satu macam masalah kesihatan kerana fizikal yang tua dan lemah. Kita berkebolehan menjadi ibu ayah disayangi dan dirindui lantaran ketekunan kita mengatur selia keperluan dan kemahuan anak. Tetapi kita tidak boleh melepaskan tanggungjawab ini pada guru, majikan, menantu dan orang keliling, semata-mata menyenangkan hidup mereka.

Benar, pilihan terletak di tangan kita. Tetapi akhiran pada sebuah pilihan tidak mampu kita pilih. Masakan kepala ikan akan berakhir dengan ekor singa. Ia tidak akan terjadi kecuali hukum alam mengatakan sebaiknya atau diterjah unsur magik.