Saya ada seorang kenalan berjawatan peguam. Katanya pada saya, "100 kes menang di mahkamah dalam nisbah satu kes kalah. Kes kalah akan diungkit berkali-kali manakala yang menang tidak langsung diberi ucap tahniah."
Wow, saya terpaku mendengar rungutan beliau.
-google image- |
Sketsa ini boleh diterjemahkan dalam kefahaman yang berbeza. Kita boleh rasa dunia bertindak kejam pada mereka yang gagal. Kita boleh pilih untuk berkecil hati dan kekal dalam zon selamat buat selamanya. Kita boleh menjadi ibu ayah yang melindungi anak daripada sebuah kegagalan. Kita juga boleh memperkasakan jati diri supaya sentiasa bangun dan terus berjalan.
Semua pilihan tersedia dan kita hanya memilih mana yang sesuai.
Mendidik anak-anak adalah sebuah pilihan. Kita boleh memilih menjadi ibu ayah yang disayangi dan dihormati, begitu juga sebaliknya. Adakala pilihan tidak memberi pulangan lumayan pada anak, tetapi pada diri sendiri. Kita punya lebih masa untuk membaca, bersembang atau menontoh drama kesukaan. Kita boleh melarikan diri daripada terperangkap bersama anak atau mengajar mereka membaca surah Al-Fatihah. Kita juga boleh mengalih fokus dengan memberi gadget, games atau dvd manakala kita menikmati 'me time' di dalam bilik sambil melayan lagu di radio. Ini semua pilihan.
Malangnya kita selalu lupa, pilihan datang bersama pakej akhiran yang berbeza. Kita boleh kekal dalam zon selamat, tetapi kita tidak akan belajar perkara baharu dalam hidup. Kita boleh mengawal anak 24 jam sehari semalam, bimbang jika mereka tercedera jatuh ke dalam longkang. Bagaimanapun kita terpaksa akui sekiranya mereka kurang akal, kurang daya saing dan lemah untuk bangun berkali-kali selepas gagal.
Kita ada pilihan untuk bersenang-lenang dahulu, dan berakit-rakit kemudian. Tetapi kita tidak mampu mengelak hukum alam yang terikat bersamanya. Berakit-rakit di usia tua membawa seribu satu macam masalah kesihatan kerana fizikal yang tua dan lemah. Kita berkebolehan menjadi ibu ayah disayangi dan dirindui lantaran ketekunan kita mengatur selia keperluan dan kemahuan anak. Tetapi kita tidak boleh melepaskan tanggungjawab ini pada guru, majikan, menantu dan orang keliling, semata-mata menyenangkan hidup mereka.
Benar, pilihan terletak di tangan kita. Tetapi akhiran pada sebuah pilihan tidak mampu kita pilih. Masakan kepala ikan akan berakhir dengan ekor singa. Ia tidak akan terjadi kecuali hukum alam mengatakan sebaiknya atau diterjah unsur magik.
No comments:
Post a Comment