Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Sunday, 19 February 2012

Bila masanya tiba...

Salam semua...

Apabila dijengah berita kematian orang yang dikenali secara mengejut, bermacam-macam "perkataan" tergambar di dalam kepala dan "rasa getar" bertepek di dalam hati. "Cepatnya, dia pergi hingga tidak sempat mengucap salam terakhir", getus di dalam hati. Jika berkesempatan pula melihat orang terlantar sakit hingga akhir hayat, terdetik pula di hati ini, "Untungnya ada anak-anak" yang masih membuat kebajikan pada orang tua.

Kembali ke rumah apabila selesai melawat, kadangkala hati tertanya-tanya, "Manakah satu pilihan saya apabila saatnya sudah tiba...?" 

Saya pernah berkata, saya memilih untuk sakit bila masanya tiba, supaya diberi sedikit peluang untuk mengucap selamat tinggal kepada orang-orang tersayang. Berilah kesempatan untuk saya menitip kata-kata pesanan dan azimat kepada mereka. Berilah sedikit waktu untuk saya renungi mata mereka semua, sebagai tanda ucap selamat tinggal.

Saya tidak sanggup rasa kehilangan yang serta-merta tanpa amaran awal. Tidak dapat dibayangkan tubuh ini  kaku tidak bermaya, tatkala mendengar berita yang meragut hulu jantung. Mungkin boleh pengsan beberapa kali! Pendek kata, saya tidak ingin memilih pilihan ini jika terpaksa berpisah.

Tapi kebelakangan ini, pilihan saya benar-benar teruji apabila melihat keadaan sengsara ayah. Wajahnya hilang seri, hilang senyuman, hilang tawa dan hilang semuanya! Tiada lagi guraunya bersama cucu-cucu, tiada lagi panggilan "pelik" pada kami, anak-anak perempuannya. Semua, bagaikan diragut oleh sengsara yang diratapi oleh ayah, Tubuhnya kurus, tiada selera makan. Matanya kuyu, tiada senyuman. Tangannya longlai, tiada bermaya. Benarkah, ini ayah yang saya kenali? Dia kelihatan sangat berbeza daripada susuk gambar yang terpahat di minda ini. Seorang yang kuat berseloroh, suka mengusik, suka bercerita dan suka berkata "the wonderful world of disney", apabila ditanya, "Bolehkah ayah bercakap orang putih?"(kenangan semasa kecil).

Balik daripada menziarahi ayah, fikiran saya masih berkecamuk. Apakah pilihan saya bila masanya tiba...? Saya tidak mahu kehilangan yang mendadak, tetapi melihat kesihatan ayah diragut oleh usia dan masa, ia lebih menyakitkan jiwa! Saya tidak sampai hati melihat ayah menderita menahan sakit. Melihatnya kurang tidur, kurang makan, kurang selera dan kurang senyum.

Pastinya, jauh di lubuk hati ini, hanya satu yang saya tahu, saya tidak mahu kehilangan ayah. Sama ada mengejut atau bila-bila...Dan pastinya lagi, saya tidak mahu memilih!

Doa saya sentiasa bersama ayah.

Thursday, 2 February 2012

Defining moment...

Salam

Mana perginya penghuni blog ini? Lama menyepi...tok, tok, tok, anybody home? Saya masih di sini tetapi tiada masa, tiada ruang untuk menitip. Tambahan lagi dengan keadaan fizikal badan yang sering tergganggu, semput di awal usia 40an, tidaklah berapa sedap bunyinya, kan!

Tajuk pelik sket, defining moment..... Beberapa kali saya terjumpa istilah ini dalam petikan artikel yang pernah dibaca atau dalam drama barat yang pernah saya tonton di kaca tv. Apakah maksud sesuai dalam bahasa? Saya masih gagal mencari...mungkin, "masa bermakna"? Dalam banyak situasi yang cuba digambarkan oleh petikan mahupun cereka yang pernah ditonton, ia membawa maksud "penemuan amat mendalam" dalam kehidupan seseorang. Ia tidak selalu berlaku, adakalanya ia perlu dicari, adakalanya ia perlu difikir, adakalanya ia perlu diimbas supaya  "penemuan" itu lebih mendatangkan makna.

Apa kata saya mulakan dengan contoh, mungkin lebih mudah untuk menghayati tajuk pelik pada kali ini.
Dalam sebuah artikel yang pernah saya baca, seorang lelaki berminda serabut sedang menghirup secawan kopi di sebuah kedai minum kopi berjemana, mungkin Starbuck. Dalam keriuhan orang-orang keliling, merungut itu dan ini, tiba-tiba dia terpandang seorang ibu dan seorang anak cacat berkerusi roda memasuki kedai tersebut. Dalam kepayahan, ibu berusaha keras mencari tempat kosong dan memastikan anaknya dapat duduk dengan selesa sambil mengesat peluh di dahi anaknya. Lelaki ini masih sedang menghirup kopi "tersedar" apa makna di sebalik kasih sayang seorang ibu. Apalah bandingan kesusahan dirinya berbanding dengan seorang ibu yang mempunyai anak cacat. Ibu tersebut mempunyai 1001 alasan untuk merungut tentang kesusahan beranak seorang cacat seperti anaknya, tetapi kasih sayang mengelabui pandangan seorang ibu. Di manakah kita dalam situasi ini? Apalah sangat yang hendak dimarahkan, nak dirungutkan padahal kita masih mempunyai kaki dan tangan, tidak memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Ok...berhenti, itulah maksud "defining moment" yang saya maksudkan di awal tadi.

Ada yang mengatakan, apabila kita tersedar daripada situasi itu, perspektif kita tentang kehidupan akan turut berubah. Pernahkah kita mengalaminya? Saya pernah mengalami situasi seumpama itu, kira-kira 2 tahun lepas semasa saya sakit terlantar di hospital untuk beberapa hari. Pulang ke rumah pun masih dalam peringkat pemulihan dan anak-anak pula sakit. Setiap pagi saya gegas bangun hanya untuk memeriksa nadi anak-anak itu, tidak dapat dibayangkan jika ia terhenti. Maklumlah, waktu itu tengah kecoh dengan penyakit maut H1N1. Terlantar sendirian di dalam bilik, saya cuma berfikir satu perkara, kesihatan kita adalah harta yang paling berharga dalam segala jenis harta yang ada di dalam dunia! Pinta saya pada waktu itu, amat mudah, tuhan tolong sembuhkan anak-anak ini. Tolong sembuhkan kesihatan saya. Amin.