Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Sunday, 19 February 2012

Bila masanya tiba...

Salam semua...

Apabila dijengah berita kematian orang yang dikenali secara mengejut, bermacam-macam "perkataan" tergambar di dalam kepala dan "rasa getar" bertepek di dalam hati. "Cepatnya, dia pergi hingga tidak sempat mengucap salam terakhir", getus di dalam hati. Jika berkesempatan pula melihat orang terlantar sakit hingga akhir hayat, terdetik pula di hati ini, "Untungnya ada anak-anak" yang masih membuat kebajikan pada orang tua.

Kembali ke rumah apabila selesai melawat, kadangkala hati tertanya-tanya, "Manakah satu pilihan saya apabila saatnya sudah tiba...?" 

Saya pernah berkata, saya memilih untuk sakit bila masanya tiba, supaya diberi sedikit peluang untuk mengucap selamat tinggal kepada orang-orang tersayang. Berilah kesempatan untuk saya menitip kata-kata pesanan dan azimat kepada mereka. Berilah sedikit waktu untuk saya renungi mata mereka semua, sebagai tanda ucap selamat tinggal.

Saya tidak sanggup rasa kehilangan yang serta-merta tanpa amaran awal. Tidak dapat dibayangkan tubuh ini  kaku tidak bermaya, tatkala mendengar berita yang meragut hulu jantung. Mungkin boleh pengsan beberapa kali! Pendek kata, saya tidak ingin memilih pilihan ini jika terpaksa berpisah.

Tapi kebelakangan ini, pilihan saya benar-benar teruji apabila melihat keadaan sengsara ayah. Wajahnya hilang seri, hilang senyuman, hilang tawa dan hilang semuanya! Tiada lagi guraunya bersama cucu-cucu, tiada lagi panggilan "pelik" pada kami, anak-anak perempuannya. Semua, bagaikan diragut oleh sengsara yang diratapi oleh ayah, Tubuhnya kurus, tiada selera makan. Matanya kuyu, tiada senyuman. Tangannya longlai, tiada bermaya. Benarkah, ini ayah yang saya kenali? Dia kelihatan sangat berbeza daripada susuk gambar yang terpahat di minda ini. Seorang yang kuat berseloroh, suka mengusik, suka bercerita dan suka berkata "the wonderful world of disney", apabila ditanya, "Bolehkah ayah bercakap orang putih?"(kenangan semasa kecil).

Balik daripada menziarahi ayah, fikiran saya masih berkecamuk. Apakah pilihan saya bila masanya tiba...? Saya tidak mahu kehilangan yang mendadak, tetapi melihat kesihatan ayah diragut oleh usia dan masa, ia lebih menyakitkan jiwa! Saya tidak sampai hati melihat ayah menderita menahan sakit. Melihatnya kurang tidur, kurang makan, kurang selera dan kurang senyum.

Pastinya, jauh di lubuk hati ini, hanya satu yang saya tahu, saya tidak mahu kehilangan ayah. Sama ada mengejut atau bila-bila...Dan pastinya lagi, saya tidak mahu memilih!

Doa saya sentiasa bersama ayah.

No comments: