Salam semua
Salam al-mubarak pada semua pembaca blog ini. Ribuan ampuan dan maaf kerana menyepi sekian lama. Banyak perkara yang berlaku, banyak tugasan yang perlu disiapkan. Tiba-tiba di awal bulan mulia ini, hati terdetik kegirangan apabila segala tugasan sudah disiapkan dan banyak pula masa "free" untuk menyinggah ke sini. Alhamdullilah, hanya menunggu kesan lanjutan daripada penghantaran kerja-kerja terdahulu. Moga-moga segalanya berjalan lancar, amin.
Dalam keadaan menyepi sekian lama, saya sempat membaca buku Mindset yang ditulis oleh seorang psikologi barat. Antara buku yang saya akan syorkan kepada sesiapa sahaja untuk membacanya. Secara khusus pada setiap yang bergelar ibu bapa, begitu juga para guru, pemimpin mahupun anak-anak remaja yang sudah memahami maksud "berfikir". Pendekatan buku ini agak menarik, ia mengkhususkan pada cara individu berfikir dan dizahirkan dalam bentuk kajian kes demi kajian kes. Ia bukan sahaja melibatkan pemimpin organisasi terulung di dunia, peninju terhebat dunia mahupun seorang guru, tetapi juga anak-anak kecil yang masih berpakaian seragam ke sekolah. Satu yang pasti, apa yang membezakan pencapaian kita dalam hidup bukan disebabkan oleh perkara-perkara diluar kawalan seperti karektor, kualiti lahir, kekurangan fizikal, kekurangan material tetapi hanya dipengaruhi dan bergantung pada cara kita berfikir.
Walaupun agak sukar pada mulanya untuk memahami intipati buku ini apabila ia melibatkan "inner talent" seseorang, tetapi ayat-ayat magis yang terdapat didalamnya, mampu memberi keyakinan pada saya bahawa kita semua berhak berjaya, tidak kira apa pun kekurangan yang dimiliki. Sepertimana kata seseorang dalam buku ini, "Talent will bring you to the top faster, but MINDSET will make you stay longer". Bertali arus kajian kes dimuatkan bagi menyokong dakwaaan ini, dan ternyata ia tepat sekali!
Sebagai contoh, kita sering melihat seorang penyanyi yang mempunyai suara lunak, paras jelita berserta aset-aset lain, mudah mencapai kejayaan hingga mampu menjadi juara, tetapi untuk kekal popular pada satu jangka masa panjang dalam kerjaya yang sama, tidak hanya terletak pada bakat semata-mata. Mereka memerlukan kesungguhan, berinovatif, kerja keras siang malam hingga mencapai status "evergreen", sepertimana Tok Pah kita.
Buku ini juga berulangkali, memberitahu, meminta, menasihati, mendakwa, mendesak para ibu bapa khususnya, supaya menghentikan pujian-pujian yang melibatkan bakat dan fizikal anak-anak. Jangan dipuji, "anak ibu cantik, jelita, menawan". Jangan dipuji, bakatnya terserlah, bijak, pandai, genius kerana ia akan membawa padah pada diri anak-anak, kelak. Pendek kata, apabila menelaah ilmu-ilmu yang terkandung dalam buku ini, ia membuat saya sedar dan banyak persoalan selama ini terjawab, contohnya, mengapa sesetengah budak susah hendak diajarkan perkara baru kepada mereka. Mereka agak terganggu jika diajak bermain permainan baru yang mungkin akan mencurigai kepandaian mereka. Alasannya, mereka tidak mahu merosakkan reputasi kecerdikkan yang digantung pada diri mereka selama ini. Kalung bijak, pantas, genius yang selama ini tergantung pada leher anak-anak akan tercalar sekiranya, melalui aktiviti-aktiviti baru ini, mereka tidak mampu mengekalkan reputasi tersebut. Sayang bukan, anak-anak akan terus menerus menolak segala bentuk eksplorasi baru hanya kerana dia bimbang, kecerdikan mereka akan dipersoal oleh orang keliling. Hanya kerana mereka ingin kekal genius di mata ibu bapa, mereka membendung keinginan bereksplorasi dan mencuba kerana takut sekiranya mereka tidak lagi kelihatan bijak. Masih ingatkah, saya pernah menulis artikel tentang pujian umpama minyak yang mampu membakar diri anak-anak. Tetapi, dalam penemuan ini, saya dapati kesannya lebih negatif daripada apa yang saya sangka selama ini. Ia mampu mengaburi kemampuan kita serta anak-anak untuk mencuba dan terus berusaha. Banyak kajian kes dijalankan atas sekumpulan anak muda di universiti bagi membenarkan hipotesis ini dan penemuannya membawa kepada masalah yang tidak kurang kronik iaitu masalah self-esteem.
Saya ingin meletak noktah pada penulisan ini, tetapi pada mereka yang berminat sila cari dan ambil masa untuk menghadam segala isi kandungan yang terdapat dalam buku ini. Ia mampu memberi satu bentuk kepuasan dalam mendidik diri sendiri dan anak-anak supaya kita terus berusaha untuk maju ke hadapan. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment