Salam
Kreativiti sudah menjadi topik basahan pada semua orang, baik ibu bapa, guru, majikan mahupun anak-anak sekolah. Setiapkali kita ingin membezakan kelebihan diri, pasti topik kreativiti akan meniti tebing-tebing bibir tanpa lekang. Semua kita tahu kreativiti mampu memberikan impak berbeza, membawa aura unik, menambah warna dan kepelbagaian dalam sesuatu. Kita semua mendambakan perkara yang sama, tetapi tidak semua tahu bagaimana dan apa prasyarat untuk mendapatkannya. Apakata, kita sama-sama membuat eksplorasi tentang tajuk ini.
Mungkin tidak ramai orang sedar, syarat pertama untuk mencetuskan daya kreativiti adalah melalui fasa kebosanan. Tidak pernah terfikir oleh kita bahawa dengan menjadi bosan, kita mampu mencungkil bakat semula jadi yang ada di dalam diri dan direalisasikan sebagai pencetus kreativiti. Pernahkah kita berasa bosan? Apakah yang kita lakukan apabila fasa kebosanan itu menghimpit diri? Cuba ingat kembali, pengalaman kita sewaktu kecil apabila sedang bosan, apakah yang kita selalu lakukan? Kotak telur mampu menjadi kapal selam, tin susu boleh bertukar menjadi telefon tali, kain pelekat ayah dalam sekelip mata bertukar menjadi selempang pendekar ataupun penutup kepala seperti ninja. Itulah daya kreativiti seorang kanak-kanak yang sedang bosan. Seretkan pengalaman itu ke dalam dunia yang sedang kita nikmati sekarang, masih adakah peluang untuk berasa bosan seperti itu?
Tidak seperti zaman kita dahulu, anak-anak sekarang tidak sempat untuk berasa bosan. Aktiviti mereka di sekolah dan luar sekolah sudah melebihi daripada yang sepatutnya. Mereka dihimpit dengan pelbagai kelas dan aktiviti. Sedari pagi hingga petang, setiap hari persekolahan hingga kepada hari mingguan, tanpa henti tanpa rehat yang panjang. Bagaimana dan bilakah agaknya, fasa kebosnan itu akan bertandang? Sekiranya, kita sedar fasa kebosanan itu adalah prasyarat pada pencetus kekreatifan, kita bertanggungjawab mewujudkan masa itu dalam kehidupan harian anak-anak.
Sepertimana ibu dan bapa lain, saya juga "takut" apabila anak-anak berasa bosan. Seringkali saya menawarkan pelbagai aktiviti hanya untuk memenuhi masa yang terluang tanpa menyedari perbuatan saya itu membunuh daya kreativiti dalam diri anak. Agak teruja untuk mencuba pendekatan baru ini, saya membiarkan mereka tergolek kebosanan tanpa sebarang cadangan dan arahan sepertimana sebelumnya. Hasilnya, anak perempuan saya sudah menampakkan kecenderungannya dalam menulis dan melukis. Anak lelaki saya dengan tabiatnya, lebih kerap berkongsi kisah-kisah sejarah yang sudah dihadamnya dengan lebih terperinci dan kritis. Perjalanan mereka masih jauh, dan ia masih belum menjanjikan apa-apa buat masa sekarang tetapi saya sudah jumpa solusi dalam membantu mereka mencungkil daya kreativiti diri.
Persoalannya sekarang, apakah kita mampu menyediakan persekitaran yang menyumbang pada kebosanan anak-anak? Dalam dunia serba maju dan laju seperti hari ini, adakah kita boleh melihat anak-anak bosan tanpa gadget seperti rakan-rakan mereka yang lain? Persoalan ini banyak bergantung kepada kita sebagai ibu dan ayah, dan ia tidak semudah yang disangkakan.
No comments:
Post a Comment