Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Monday, 11 February 2013

KidZania~Fantasi Berbayar

Salam semua pembaca blog

Imej Hiasan
Cuti tahun baru cina sedang berlangsung, suami mengambil kesempatan membawa anak-anak ke syurga fantasi kanak-kanak. Rata-rata, anak-anak sekarang tidak sabar mahu menjadi dewasa, malah melakukan tugas-tugas orang dewasa. Saya tidak pernah rasa teruja ingin membawa anak-anak ke sini walaupun sudah ramai yang mengesyorkannya. Tiada alasan ketara, cuma mungkin saya belum faham maksud tersembunyi di sebalik keseronokkan yang ditawarkan di pusat fantasi ini. 

Pada awalnya, proses memasuki  ke lokasi tidak semudah yang disangka, berbelit-belit hingga ke destinasi. Terpegun dengan persekitaran di dalam lokasi ini, bagaikan berada di sebuah bandar mini kanak-kanak. Semua imitasi dibina dalam reka bentuk sepadan dengan kanak-kanak, sama ada saiz jalan raya hinggalah ke bangunan-bangunan yang tersergam indah. Padanlah, anak-anak bagaikan hilang akal apabila tiba di sini. 

Imej Hiasan
Saya mengambil masa hampir setengah jam melihat keliling dan cuba memahami filosopi disebalik kewujudan  mini fantasi ini. Fantasi atau realiti, antara soalan yang menerjah kotak fikiran saya? Ia berbeza dengan taman tema Disney, di mana anak-anak boleh berangan menjadi individu  di luar khayalan manusia seperti Buzz Light atau Rudy, karektor glamor dalam kisah Toy Story. Saya masih ligat berfikir, apa yang cuba disampaikan oleh pereka asal taman fantasi atau realiti ini? Kata suami, anak-anak boleh mendapat ilham akan pekerjaan masa hadapan mereka. Pada saya, itu hanya justifikasi ibu ayah yang tiada masa untuk melayan keperluan imiginasi anak-anak di rumah. Sebagai contoh, anak perempuan saya berpeluang membuat sushi di Kidzania. Hakikatnya, dia adalah pembantu setia saya apabila sushi menjadi menu utama kami. Tidak keterlaluan jika saya katakan, anak saya tidak perlu ke Kidzania hanya untuk membuat sushi kerana dia telah pun mempelajarinya di rumah. Bagaikan terkesima dengan gelagat suami sendiri, memuji dan terus memuji bagaikan baru pertama kali dia melihat anak daranya membuat sushi. Pada  penglihatan saya, ia sungguh ironik! Maaf...

Mengimbau kenangan saya menjadi anak-anak tiga puluh tahun yang lampau, fantasi yang ditawarkan dalam taman ini bagaikan realiti bagi saya dan adik-adik perempuan. Kami membantu emak memasak dan membuat kerja-kerja rumah tanpa gagal. Kami juga bermain doktor-doktor. Apa sahaja yang ada boleh dijadikan alat untuk kami beraksi seperti doktor sebenar. Kami juga menjadi beauticianist, membasuh muka adik dan menempek bedak sejuk ke atas pipi gebunya. Adakalanya kami menjadi cikgu dan mengajar adik-adik yang berlakon sebagai anak murid. Ada masanya kami mencuri pakai kain batik emak dan melaram kasut tumit sederhananya. Apa yang pelik? 

Peliknya, ramai ibu ayah termasuklah suami sendiri yang menghantar anak-anak ke Kidzania seperti tidak mempunyai kenangan seumpama itu dalam sejarah tumbesaran mereka selama ini. Buktinya, mereka kelihatan sungguh teruja dan kagum apabila melihat anak-anak beraksi seperti doktor, polis atau pemanjat tiang elektrik. Padahal, saya dan adik-adik membesar bersandarkan imiginasi sedemikian, malah lebih kreatif kerana kami tidak mempunyai peralatan secanggih sepertimana anak-anak sekarang.

Bagaimanapun, saya akui kebanyakan tugas yang dijayakan oleh anak-anak ini mempunyai peralatan lengkap, malah sangat lengkap sepertimana tugas sebenar seorang dewasa. Pengalaman menjadi pilot di Kidzania pasti berbeza berbanding menjadi pilot di rumah sendiri. Peralatan doktor gigi di Kidzania adalah sangat canggih sepertimana kita melawat klinik pergigian bagi mendapatkan rawatan tahunan. Sudah pasti, pengalaman ini lebih berharga berbanding menjadi doktor gigi di rumah, sedangkan tiada sesiapa antara adik-adik yang sudi membuka mulut untuk diperiksa giginya. Apa yang mahal sebenarnya, pengalaman bermain atau peralatan yang disediakan oleh Kidzania.

Apabila melihat pada kekurangan diri, anak saya mempunyai peralatan beraksi walaupun tidak selengkap di Kidzania, tetapi mereka tidak mempunyai teman sebaya untuk bermain. Ini mungkin antara faktor utama ibu ayah membawa anak mereka ke pusat permainan imitasi seperti ini. Itu juga mungkin menjadi alasan utama saya, sekiranya saya membawa mereka sekali lagi(rasanya tidak). Selain itu, saya tidak nampak kelebihan lain di  Kidzania berbanding taman tema Disney. Berbeza pengalaman, Disney menawarkan fantasi di luar dunia realiti, ia membawa anak-anak melampaui dunia fana dengan imiginasi tanpa batasan. Sememangnya, ibu ayah tidak mampu menawarkan pengalaman seumpama ini di rumah tanpa peralatan bersesuaian. 

Pada saya, realiti dalam bentuk fantasi yang ditawarkan di Kidzania adalah realiti yang dicorakkan dengan kelebihan dan kekurangan kita sebagai ibu dan ayah. Kita mungkin lebih duit tetapi kurang masa untuk mengajak anak-anak bermain masak-masak di rumah. Kita mungkin lebih masa dan duit tetapi kurang anak untuk menawarkan persekitaran permainan yang lebih mencabar. Kita juga mungkin lebih duit, masa dan anak, tetapi kurang imiginasi dan daya kreativiti untuk bersama-sama meneroka zaman keseronokkan anak-anak. Saya faham, kita ke sana dengan matlamat dan impian tersendiri. Alasan suami apabila membawa anak-anak ke sana adalah untuk menyuntik ilham pekerjaan masa hadapan untuk mereka. Walaupun saya tidak bersetuju tetapi paling tidak, banyak pengalaman yang dikutip ketika berada di situ. Ada ayah bergaduh dengan anak yang mahu menjadi polis, sedangkan ayah inginkan dia menjadi peguam dan berada di mahkamah. Kami pula ingin anak merasai pengalaman membawa kapal terbang AA, sedangkan anak berpatah balik selepas setengah jam menunggu. Ada juga anak-anak tidak mampu membuat keputusan hingga ke saat akhir kerana keliru dengan pendapat mak dan ayah. Kelakar tetapi itulah realiti kehidupan.

Sketsa ironik, apabila saya melihat keletah anak-anak yang sangat teruja menjadi ahli bomba, pegawai polis, membawa bungkusan sebagai pekerja pos atau memanjat tiang elektrik. Andaikata satu hari nanti, anak-anak memilih pekerjaan itu sebagai destinasinya, adakah kita masih seronok dan menyokong impian mereka. 

Jangan ada yang menyaman Kidzania...sudah cukup baik. 

No comments: