Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Friday, 14 February 2014

Ibu Mulia

Salam semua


Ini cetusan dari hati paling dalam seorang bergelar umi, ibu, emak, mama atau apa sahaja panggilan lain yang bersesuaian. Sebagai permulaan pengakuan, saya bukan umi sempurna seperti kebanyakan ibu-ibu di luar sana. Saya tidak dapat melahirkan bayi secara normal, dan saya tidak berupaya memberi mereka susu ibu untuk jangka masa panjang seperti yang disarankan dalam agama. Pun begitu, saya berusaha mengutip segala sisa atau saki baki permulaan perjuangan ini untuk tetap menjadi umi pada anak-anak saya.

Hati saya sering terguris apabila membicarakan tentang keupayaan seorang ibu melahirkan bayi secara normal dan menyusu bayi mereka hingga berusia dua tahun. Walaupun berulang-ulangkali saya pelajari dan fahami, mereka yang terjatuh dalam golongan berkeupayaan ini sangat kering hati dan sadis apabila memberi komen tentang isu ini. Mode menghukum dalam saraf otak mereka sentiasa segar mencari peluang untuk kelihatan lebih mulia daripada ibu-ibu lain yang tidak berkemampuan. Pendek kata, bagaimana unik pun kes kita dipotong, ditoreh, dijahit dan diplaster, kita tetap bukan ibu sempurna sepertimana mereka yang bersalin normal. Bagaimana sukar sekali pun kita berusaha menyusukan bayi, bermasalah puting, masalah bayi untuk lekap dan hisap, masalah bebanan emosi hingga ke masalah susu badan kering, kita tetap bukan ibu sempurna seperti mereka yang menyusu badan. Lebih banyak penjelasan kita berikan untuk menerangkan keadaan diri, lagi giat mereka menghukum kita tanpa simpati dan menuduh kita mencari 1001 alasan.

Saya tiada hujah untuk diberikan pada mereka, cuma saya minta mereka percaya rezeki kita sebagai hamba berbeza antara satu sama lain. Benar, saya tidak mampu bersalin normal tetapi melihat wanita lain yang susah hendak mengandung membuat saya rasa bersyukur tidak terhingga. Benar, saya rugi tidak dapat menyusu badan, tetapi melihat anak-anak yang langsung tiada keupayaan menghadam laktosa, buat saya bersyukur dengan apa sahaja pemberian tuhan. Saya tidak berminat menegakkan benang atau membuat justifikasi atas ketidakupayaan diri. Saya cuma meminta ibu-ibu mulia di luar sana supaya belajar dan memahami kesusahan dan faham akan percaturan rezeki orang lain. Ustaz di Mekah berkata pada kami para jemaah, Allah jarang memberi hambanya ketiga-tiga jenis rezeki di atas dunia. Jarang seorang manusia mempunyai anak-anak, kekayaan dan ilmu dalam masa yang sama. Adakalanya kita murah rezeki dari segi ilmu tetapi kurang berduit dan kurang anak. Tetapi ilmu bermanfaat itu nanti mampu menyuluh kegelapan kita di sana kelak. Ada orang kurang harta dan ilmu tetapi ramai anak-anak. Moga anak-anak itu esok mampu bersedekah Al-fatihah pada kita di sana. Begitu juga, ada sesetengah daripada kita kurang anak dan tidak berilmu, tetapi banyak harta yang boleh diinfakkan ke jalan Nya. Atas dasar yang sama, bolehkah para ibu mulia di luar sana berlapang dada menerima rezeki ibu lain yang tidak berupaya seperti saya. Benar, saya tiada upaya melahirkan bayi secara normal dan anak tidak ramai, tetapi saya diberi rezeki lain oleh Allah swt untuk mendidik dan mengajar anak-anak daripada satu huruf rumi, arab dan jawi hingga mereka boleh membaca, mengaji dan mendirikan solat. Benar, saya tidak dapat menyusu bayi dengan titisan susu yang membawa pahala berganda, tetapi setiap huruf dan bacaan quran dan ilmu asas membaca, mengaji dan mengira itu merupakan pahala berpanjangan kepada saya. Mengapa perlu menghukum sesama kita, padahal keupayaan dan rezeki kita berbeza.

Ini baru isu keupayaan menyusu, belum lagi bercerita tentang kebaikan-kebaikan lain seperti antibodi, khasiat nutirisi hingga ke isu IQ anak-anak. Betapa low-class nya kami ibu-ibu yang tidak mampu menyusu. Cubalah belajar untuk berlapang dada dengan keperitan orang lain. Tidak salah berkongsi ilmu dan tips, tetapi matikan mode 'judging' dalam saraf otak itu supaya kami yang tidak sempurna ini rasa nikmat menjadi seorang ibu sepertimana kalian juga. Boleh bukan?

Wassalam.


No comments: