Salam warga blog
Wow, saya betul-betul sudah masuk fasa malas menulis. Susah pula mendapat ilham atau cetusan idea untuk menitip. Lagi mencabar apabila anak-anak berada di rumah sepanjang hari dan masa. Cabarannya bukan sahaja dalam menyediakan keperluan harian mereka, tetapi masa lengang membaca dan menulis juga semakin sempit. Tiada lagi ruang pagi untuk saya berteleku mencurah idea. Hanya ipad menjadi tempat saya menulis perkara terbuku di hati. Tetapi kesannya tidak sepuas menulis dalam blog. Idea yang datang harus dipendek dan diringkaskan seboleh mungkin. Maklumlah, kita tiada masa membaca luahan hati dalam medium seperti FB. Hehe...
Tajuk kali ini agak menjengkelkan, iaitu mengupas isu ironik dalam diri kita sebagai ibu ayah. Kita adalah ibu dan ayah yang diamanahkan oleh tuhan untuk mendidik anak-anak. Mengapa saya pilih perkataan ironik, kerana apa yang kita tuturkan dan impikan berbeza dengan realiti yang kita amalkan dan tunjukkan di hadapan mereka. Saya tidak mahu menunding jari pada orang lain, pasti kita dilema situasi yang sama. Itupun jika ada yang sudi mengaku. Ironiknya, kita marah itu ini, tetapi kita sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik. Kita tegur anak itu ini, tetapi kita sendiri berulangkali melakukan kesalahan yang sama di hadapan mereka. Kita tegas membuat peraturan itu ini pada anak, tetapi kita juga tanpa segan silu melanggar peraturan sendiri. Itu baru peraturan sendiri, bukan peraturan Allah swt.
Sedar atau masih kelabu asap, betapa ironiknya kita sebagai ibu dan ayah.
Psikologi manusia sangat kompleks. Ada orang kata, perkara yang kita benci pada orang lain sebenarnya ada dalam diri kita. Contohnya, kita marah jika anak bangun tidur lewat di pagi hari. Sebenarnya, kualiti bangun lewat itu ada dalam diri kita. Kita marah anak suka menangguh kerja sekolah, tetapi kita sendiri suka bertangguh-tangguh urusan yang perlu disiapkan. Kita marah anak pemalu dan tidak berkeyakinan, tetapi secara dalamannya kita sendiri pun begitu. Penerangan dari sudut psikologi adalah kita bukan memarahi anak sahaja tetapi lebih tersirat, kita sebenarnya kecewa dengan diri sendiri. Kita zahirkan rasa marah itu pada anak secara terang-terangan, tetapi pada dasarnya kita malu, kecewa dan marah pada diri sendiri. Kita benci diri sendiri yang berulang kali membuat perkara yang sama, tetapi kita tujukan kemarahan itu pada anak-anak. Tidak adil bukan?
Jadi, bagaimana mahu melawan kesan psikologi sebegitu? Kita harus menunjukkan contoh yang baik pada mereka. Ramai cerdik pandai berkata, anak tidak mengikut apa yang kita ajar pada mereka tetapi melihat dan mencontohi apa yang kita amalkan di hadapan mereka. Tanya diri sendiri; kita marah anak tidur dan bangun lewat. Adakah kita sendiri ada sifat-sifat kelawar? Kita tidak suka melihat orang sombong, tetapi secara tersirat adakah sifat ini bersembunyi dalam diri dengan panggilan lain iaitu EGO. Kita marah orang tidak melayan kehendak kita dengan baik, tetapi kita sendiri pun sambil lewa sahaja melayan kehendak orang lain. Harapan kita melalui contoh yang baik dan berterusan, ia akan dapat memberi sedikit warna pada kehidupan orang lain. Moga air yang berkocak itu lebih luas riaknya dan dapat dirasai oleh individu lain.
Pada mereka yang biasa dengan hukum LOA; law of attraction, saya pasti ramai yang angguk-angguk tanpa bantah. Tetapi saya tidak menyokong hukum ini seratus peratus. Dalam apa pun bentuk hukum kepercayaan manusia pasti akan ada kes-kes terpencil seperti mengapa Nabi Nuh as tidak berjaya mengimamkan isteri dan anak-anaknya. Adakah baginda seorang yang suka bangun lewat, suka berlengah-lengah, suka mencari alasan dan suka berdolak-dalik? Mengapa dalam kes-kes istimewa sebegini; contoh yang baik, amal yang mulia dan usaha berterusan tidak mampu mengubah anak-anak menjadi orang yang baik, taat dan beriman? Mengapa LOA tidak menunjukkan kekuasaannya dalam kes-kes istimewa yang melibatkan orang-orang hebat dalam sejarah manusia? Jawapan saya cuma satu, hukum Allah swt boleh melewati kesemua hukum jelmaan yang kita fahami selama ini.
Apa hak dan peranan kita sebagai ibu dan ayah ironik?
Wassalam.
No comments:
Post a Comment