Hah, dahsyat tajuk di atas!
Hari ini sahaja, lebih tiga tajuk akhbar 'panas' memaparkan berita suami menganiayai isteri lalu menuduh dan mempercayai mereka curang. Suami-suami ini menyiram air panas, mencederakan muka dan badan isteri bagi melepaskan baran di hati. Saya tidak tahu siapa bersalah, dan jika pun isteri bodoh itu bersalah. Apakah itu alasan terbaik untuk mencederakan orang lain? Dan orang lain itu adalah ibu kepada anak-anak mereka sendiri. Tutup isu di sini.
Google Image |
Saya tidak berminat untuk memperhalusi corak dan gaya suami isteri zaman kini. Tetapi saya teruja untuk meneropong dan membincangkan kualiti lelaki aka suami secara keseluruhan. Suami sekarang jauh berbeza daripada suami zaman ayah-ayah kita; lebih prihatin, lebih 'sporting' dan lebih berperikemanusiaan. Suami era lepas merdeka lebih garang, lebih tegas dan urusan rumahtangga. Jika putih kata mereka, putihlah kata isteri dan anak-anak. Jika hitam pilihan mereka, hitamlah pilihan isteri dan anak-anak. Kini suami memilih hitam, isteri memutar menjadi kelabu, anak pula memusing menjadi putih. Apakah maksudnya itu? Suami sekarang boleh dimanipulasi dengan mudah oleh isteri, anak dan orang keliling.
Benar, ada baik dan buruk. Tetapi mengapa suami sekarang mudah menceraikan bini sesuka hati. Suami dahulu lebih panas barannya, ini kata emak pada kami anak-anak perempuan. Suami dahulu pantang silap buat air, terkurang manis, mahu melayang piring cawan keluar dapur. Suami dahulu pantang disuruh duduk di dapur dan membantu isteri di rumah. Pada mereka, tugas di rumah adalah mutlak tugas isteri dan tugas mereka hanya di luar rumah. Melihatkan sosio budaya masyarakat pada waktu itu, kita tidak dapat menafikan tuntutannya memang sewajarnya begitu. Malangnya dunia sekarang berubah, fungsi suami isteri turut berubah sejajar dengan teknologi iphone 6. Malangnya lagi, golongan suami hari ini walaupun berganding bahu mencari rezeki bersama isteri bagi menampung keperluan, tetapi perangainya masih tidak ubah seperti para suami di era zaman lepas merdeka. Bukan semua, tetapi kebanyakannya.
Hendak dimarahkan golongan lelaki sahaja adalah tidak adil. Anak lelaki ini semuanya dididik sempurna mengikut gaya ibu ayah mereka. Ada gaya diwarisi turun-temurun oleh ibu-ibu sebelum ini dan dilengkapi indah oleh budaya dan resam orang keliling. Secara amnya, ibu zaman sekarang terlalu memanjakan anak-anak lelaki hingga mereka tidak mampu berdikari dan bertegas sebagai seorang lelaki aka suami. Saya lihat trend ini berlaku dalam famili sendiri. Anak lelaki diberi layanan istimewa, anak perempuan dikerah sehabis-habisnya untuk menjadi 'superwoman' dalam keluarga. Kelak anak lelaki menjadi 'sotong' dan anak perempuan menjadi penyelamat keluarga. Konfliknya lagi, suami 'sotong' begini tidak mampu berdikari tanpa sokongan isteri. Mereka menggunakan kuasa veto sesuka hati atas label 'suami' dan mempunyai penasihat peribadi iaitu ibu sendiri. Di manakah tempat isteri? Di ofis, rumah dan dapur, padahal segala keperluan rumah tangga dan anak-anak dikongsi bersama tanpa rasa segan silu. Suami begini kelihatan bertanggungjawab menjaga keperluan ibu, tetapi apabila diperhalusi mereka seperti lembu dicucuk hidung. Tanggungjawab dalam rumahtangga diserahkan atau dikongsi bersama isteri. Tetapi kuasa membuat keputusan dan mengemudi rumahtangga dikongsi kuasa bersama ibu. Pelik bin ajaib.
Para ibu semua, tidak ada ibu tidak sayangkan anak. Tetapi sayang berlebihan hingga menyusahkan diri akan memakan diri sendiri kelak. Anak lelaki kita bakal menyusahkan isteri disebabkan sikap sayang ibu berlebihan. Dan putaran ini tidak akan berhenti sehingga kita sedar akan kesilapan yang bakal kaum wanita lalui lagi dan lagi. Orang cerdik pandai berkata, 'Those who are heartless, once cared too much". Anak lelaki yang kita manjakan akan menjadi beban pada anak perempuan orang lain. Anak yang dimanjakan berlebihan menjadi keras hati dan tiada belas kasihan pada orang lain.
Anak lelaki harus dilengkapkan dengan kemahiran hidup sebagaimana kita persiapkan pada anak perempuan. Anak lelaki harus diajar asas membasuh, memasak dan mengemas seperti anak perempuan. Jika anak perempuan boleh bersaing belajar, mendapat pekerjaan dan membantu menaikkan taraf ekonomi sebuah keluarga, mengapa suami tidak boleh membantu meringankan beban kerja di rumah.
Saya ibu yang mempunyai anak lelaki dan perempuan. Saya didik anak lelaki tidak ubah seperti mak mendidik saya dahulu. Anak lelaki boleh mengemas, membasuh, menyidai, mengangkat dan melipat baju. Anak lelaki boleh memasak serba ringkas, membancuh air dan mencuci dapur. Beliau juga boleh menghidang, mengemas meja makan, membasuh pinggan dan menyapu sampah. Walaupun masih perlu bersuruh, diingatkan dan dipesan berkali-kali, tetapi itulah seni mendidik anak-anak. Tidak ada anak akan membuat perkara yang disuruh dengan sekali permintaan atau peringatan. Harapan saya bukan mahu menjadikan anak seperti 'sotong' dengan membuat kerja rumah. Tetapi saya mahu beliau ada rasa belas kasihan pada isteri. Beliau boleh membantu meringankan beban isteri di rumah dan itu tidak menjejaskan status quo dirinya sebagai ketua keluarga. Harapan saya bakal isterinya nanti tidak menggunakan kesempatan atas kelebihan ini untuk bermalasan. Jika ia berlaku saya akan salahkan anak lelaki sendiri kerana gagal mendidik seorang isteri.
Sifat ibu moden hari ini sangat menjengkelkan. Kita didik anak-anak terutamanya anak lelaki seperti bos. Permintaan, kehendak dan keperluan mereka kita junjung hingga menafikan keperluan anak perempuan lain. Kononnya, anak lelaki bakal menjaga orang tua esoklusa, tetapi hakikat yang berlaku adalah sebaliknya. Anak lelaki hanyut membawa diri apabila beristeri, dan anak perempuan juga yang akan menanggung ibu ayah atas dasar belas kasihan. Anak lelaki yang tidak pernah dididik dengan tanggungjawab mengurus keperluan keluarga, dijangka lebih prihatin mahu menjaga ibu ayah sendiri. Ternyata kita sangat kuat berangan. Anak lelaki yang tidak pernah dididik mempunyai rasa belas pada adik-beradik perempuan, dijangka akan mempunyai rasa belas pada ibu ayah. Sekali lagi, kita ibu ayah yang tidak cukup makan garam.
Ada ibu ayah tidak segan silu membantu anak lelaki hingga menyediakan duit hantaran perkahwinan, majlis perkawinan pun dibayarkan kosnya. Anak lelaki dididik tidak bertanggungjawab sejak mereka kecil. Dalam keluarga, anak perempuan menyokong abang dan adik lelaki. Selain adik-beradik perempuan, ibu ayah menyokong beban kewangan anak lelaki, kelak dalam rumah tangga isteri pula terpaksa menanggung beban yang sama. Ada ibu ayah tidak mengaku kegagalan mereka mendidik anak lelaki, malah menuduh pula para isteri aka menantu menyusahkan anak lelaki mereka. Tidakkah kita buka mata dan hati melihat kepincangan yang sedang berlaku dalam masyarakat hari ini? Mengapa ibu-ibu moden buta hati dan telinga untuk memahami. Keruntuhan akhlak lelaki aka suami adalah berpunca daripada kegagalan ibu ayah mendidik anak sendiri. Tanpa menyalahkan anak orang lain, terutamanya para menantu.
Mungkin ramai yang menyangka, saya antara mangsa ibu mertua yang gagal mendidik anak lelaki. Sangkaan itu salah sama sekali. Hakikatnya, saya mendidik anak lelaki sebagaimana ibu mertua mendidik suami. Saya antara isteri bertuah kerana suami tidak berat tulang membantu saya di dapur. Saya isteri bertuah kerana ibu mertua tidak rasa terhina jika anak lelakinya membantu saya meringankan kerja-kerja di rumah. Dan saya mahu anak perempuan dan semua wanita lain rasa bertuah seperti saya.
No comments:
Post a Comment