Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Friday, 12 December 2014

Hati Seorang Guru

Salam

Kerjaya guru tidak seglemer seperti doktor, peguam, jurutera dan kerjaya lain. Saya sendiri tidak suka akan kerjaya guru kerana kurang dihormati masyarakat. Dipandang rendah berbanding profesyen lain yang lebih berprestij dan bergaji lumayan. Seakan-akan kerjaya '2nd class' dan sering dipandang sepi oleh golongan profesional.

Bagaikan semua orang layak menjadi guru, tetapi hakikatnya tidak.

Semasa di universiti, saya pernah dipuji oleh seorang kawan yang meminta saya mengajarnya subjek matematik. Dia tidak hadir ke kelas pada waktu itu. Lama dia merenung muka saya dan katanya, "Awak boleh jadi sorang guru yang baik." Saya gelak gelihati menidakkannya. Dalam hati terdetik, "Tidak glemer langsung!"

Masin mulut teman sekuliah, saya memulakan kerjaya sebagai seorang guru kerana tidak suka akan kerjaya auditor sepertimana kawan-kawan lain. Graduasi pada zaman ekonomi merudum, tidak memberi banyak peluang pada lepasan ijazah. Jadi, saya menjadi guru bukan atas pilihan hati. Tetapi saya rasa keserasian dalam kerjaya ini berbanding kerjaya auditor, walaupun namanya tidak glemer.

Berada dalam kelompok bergelar guru atau glemer bergelar pensyarah, saya dapat lihat pelbagai jenis ragam manusia. Ada yang tidak boleh salah, walaupun ternyata mereka bersalah. Ada yang mesti menang, walaupun ternyata mereka sepatutnya kalah. Saya mula faham, tidak semua guru berhati mulia seperti kisah-kisah mahaguru dalam wayang gambar atau buku cerita.

Setelah agak lama, saya dapati kerjaya guru adalah sangat mulia. Kata suami, beliau tertarik hati mendekati kerana kerjaya saya seorang guru. Pelik! Saya fikir wanita bekerjaya hebat seperti peguam dan doktor lebih laku keras berbanding seorang guru. Sudah pasti lelaki bekerjaya hebat mahukan isteri bekerjaya hebat juga. Kata suami, ukuran seorang isteri terletak pada keupayaan mendidik anak-anak bukan pada gahnya kerjaya. Sudah jodoh kami agaknya.

Hati seorang guru sungguh unik. Mereka tidak bimbang jika anak murid lebih berkebolehan berbanding dirinya. Tidak defensif apabila ditegur atau diajak berdiskusi tentang ilmu yang dimiliki. Mampu meraikan kepentingan dan kelebihan ilmu-ilmu lain tanpa merendah-rendah ilmu yang tidak diketahui. Mereka akui sifat ilmu beranak-anak, makin diberi makin berakar-umbi dalam jiwa. Ilmu sifatnya membiak, tidak berkurang pahala malah berganda-ganda apabila dikongsi.

Hati seorang guru seperti matahari yang memberi. Saya berpendapat, orang kedekut ilmu tidak memiliki jiwa seorang guru. Orang berfikiran ilmu milik peribadi, tidak faham ideologi seorang guru. Orang berpendapat ilmunya seluas lautan, tidak memahami perbezaan antara hamba dan pencipta. Orang menganggap ilmu hak eksklusif diri, tidak sedar mereka akan mati bersama ilmu itu

Hati guru tidak mudah calar oleh kelebihan disiplin lain. Guru tidak punya jawapan pada setiap persoalan. Tidak punya jawapan, bukan bermakna kita seorang guru yang gagal. Guru adalah mereka yang mampu melorong orang lain membuka pintu. Guru sejati berkebolehan memimpin tangan pelajar ke arah pintu yang sesuai. Pelajar harus berupaya mengetuk dan membuka atas keinginan sendiri. Guru hanya mampu meminta para pelajar melihat, tetapi bukan apa yang perlu dilihat.

Akhir sekali, hati guru puas apabila pelajar mereka cemerlang dan mampu mencapai impian. Tidak timbul rasa menyesal atau terkilan kerana mereka masih sama dan makin lama. Kepuasan guru berbeza rasa berbanding orang biasa, itulah hati seorang guru.

Ilmu bermanfaat tidak harus dimiliki tetapi dikongsi, inilah falsafah seorang guru.
Guru bukan sebatang lilin yang menerangi dan memudaratkan diri, tetapi mereka adalah matahari.

No comments: