Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Wednesday, 25 February 2015

Positif vs Berburuk Sangka

Salam

Menuduh orang jahil, tidak menjadikan kita berilmu. Mengata orang jahat, tidak menjadikan kita baik. Menghukum orang berdosa, tidak melayakkan kita masuk syurga.

Atas prinsip yang sama, saya melihat guru-guru positif  dalam masyarakat suka menegatifkan orang lain yang tidak sependapat. Mungkin dengan harapan mereka dipandang positif. Sejujurnya, jauh panggang dari api. Saya berpendapat mereka seperti burung kakak tua yang cuma tahu sebut positif, positif dan positif. Tanpa memahami hikmah tidak berburuk sangka.

Apa maksud positif? Fikiran cetek saya, tidak berburuk sangka.

Ia tidak mudah, hampir mustahil untuk tidak berburuk sangka. Bagaimanapun, berusahalah untuk tidak menghukum orang lain. Kita tidak tahu apa yang mereka lalui. Kita tidak rasa onak duri yang menyeksa batin dan fizikal mereka. Kita tidak berada dalam kasut ketat dan busuk mereka sepanjang hari, minggu, bulan dan tahun.

Semua tahu Rasullulah saw adalah contoh terbaik buat kita. Baginda tidak berburuk sangka pada musuh-musuhnya tanpa ilham daripada Allah swt. Baginda tidak menuduh isteri tercinta sayditina Aisyah bermukah tanpa petunjuk dari Allah. Baginda mendamaikan perbezaan dengan kefahaman dan kasih sayang. Tetapi kita dengan menggelar orang kafir dan negatif.

Carl Yung seorang psikologis yahudi mendera mental bertahun lamanya membuat kajian tentang manusia. Beliau mengenalpasti manusia tergolong dalam enam belas jenis karektor berbeza. Pelbagai ragam dan cara fikir. Dr. Hartman membicarakan tentang manusia melalui kod warna. Dilondeh satu persatu ciri kod warna yang ada. Beliau yakin komplikasi wujud dalam diri jika kod karektor itu bertindih. Mr. Pink dalam bukunya Drive, membuka rahsia dorongan dalam individu tanpa melabel sepatah perkataan negatif pada mereka yang tidak sealiran.

Kita bukan Carl Yung, Dr Hartman atau Mr. Pink, tetapi memiliki kepakaran luar biasa berbanding mereka yang ternama. Mudah sungguh kita menegatifkan orang lain kerana tidak sepandapat dan sealiran. Seronok menghukum mereka yang memilih jalan darat berbanding air. Berburuk sangka sesama sendiri tanpa cuba memahami.

Teringat akan sebuah kisah yang diceritakan oleh adik, tentang seorang anak muda di zaman Rasullulah saw. Seringkali terserempak dengannya di masjid, baginda Rasullulah saw mengatakan pemuda ini bakal penghuni syurga. Tidak berpuas hati dengan pengakuan baginda, seorang sahabat mencari jalan untuk menghampiri pemuda istimewa itu bagi mencungkil rahsia amalan hingga melayakkannya ke syurga. Berbekalkan tipu helah dia berjaya menetap selama tiga malam bersama pemuda itu. Sahabat memerhatikan tingkahlaku pemuda tanpa henti. Habis tempoh masa tiga hari, beliau tidak berpuas hati dengan hasil pemerhatian sendiri. Dalam hatinya berkata, mana mungkin Rasulullah tersilap. Pemuda ini tidak punya amalan istimewa, solatnya pun biasa-biasa. Tahajudnya juga lompang tidak sempurna.

Dalam keadaan tidak berpuas hati, beliau menguatkan diri menghampiri dan bertanyakan rahsia amalan pemuda itu. Diberitahu tujuan asal beliau ke mari walaupun terpaksa membuat helah. Tetapi beliau tidak mendapat apa yang dicari lalu memohon pemuda itu berkongsi rahsia dengannya. Dalam keadaan terpinga-pinga tidak percaya bahawa dirinya bakal penghuni syurga seperti yang dijanjikan oleh baginda Rasulullah saw, pemuda itu pun berkongsi keadaan pelik dalam dirinya.

"Saya tidak pernah berburuk sangka sesama manusia. Saya tidak tahu mengapa, tetapi saya cuba bersangka baik dengan semua orang."

MasyaALLAH, bergetar hati saya tatkala mendengar kisah ini.

Saya masih dalam perangkap berburuk sangka, ya ALLAH bantulah kami membebaskan diri.


No comments: