Salam
"Suri yang tidak berpendidikan lebih tenang dan redha menjalani hidup dalam alam rumah tangga berbanding suri berpendidikan tinggi.Mereka lebih komited mengurus rumah tangga dan tidak pentingkan diri sepertimana suri berpelajaran. Mereka lebih redha dan mudah berpuas hati dengan kejayaan suami dan anak-anak atau apa yang ada di hadapan mata."
Komen ini datangnya daripada seorang kawan yang punya ijazah. Dan saya akui kata-katanya adalah benar belaka.
Konflik ini nyata wujud pada kebanyakan suri berpendidikan tinggi. Ia mampu meracuni minda dan ketenangan diri berbanding mereka yang tidak berpendidikan. Seolah-olah, ketenangan hati bukan milik suri yang mempunyai cita-cita selain tanggungjawab di rumah. Mereka terus mencari sesuatu yang memberi kepuasan, selain bergelumang dengan suami dan anak-anak. Salahkah kami mempunyai harapan lain di luar rumah? Berdosakah kami menggantung identiti pada perkara lain, selain suami dan anak-anak?
Saya akui, kehidupan saya sebagai suri selama ini tidak ada cacat cela. Saya antara suri bertuah; tidak perlu keluar bekerja demi mencukupkan keperluan. Saya bebas meneroka dunia baharu dalam pelbagai bidang, punya masa terluang untuk berhobi dan punya dana untuk melayan diri ke pusat kecantikkan. Tetapi kepuasan itu berlainan sifatnya.
Saya mampu mempunyai hobi tetapi tidak berdaya menjadikannya serius hingga mampu memberi kepuasan maksima. Kepuasan maksima bermaksud memberi pulangan dalam bentuk kewangan ataupun pengiktirafan yang sewajarnya. Hobi hanya berfungsi untuk mempercepatkan waktu; dari pagi ke petang dan siang ke malam, tanpa kepuasan nyata.
Saya pernah melibatkan diri dalam kerja-kerja penulisan, tetapi ia bukan sekadar hobi. Komitmen pada kerjaya ini bukan calang-calang, ia bersifat dorongan dalaman dan memerlukan momentum kuat secara berterusan. Di sini lemahnya saya, kekuatan itu tidak berpanjangan apabila terpaksa bersaing dengan keperluan anak dan suami. Urusan rumah tidak lagi teratur, dapur dan bilik tunggang-langgang akibat ketidakcukupan masa mengurus. Anak dan suami bersajikan makanan dari kedai mamak apabila 'dateline' menghampiri.
Lantas saya menyoal diri, sekali lagi. Apa sebenarnya yang saya cari? Adakah kepuasan harus bersifat kendiri tanpa melibatkan ahli keluarga yang lain? Sanggupkah melihat rumah seperti sarang tikus; tidak bersapu, berlap dan bercuci kerana sesungguhnya saya tidak punya masa jika tidak ada yang membantu. Dalam diri, konflik melanda sekali lagi.
Soalan apa yang saya cari, sering menerjah diri hingga ke hari ini.
No comments:
Post a Comment