Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Friday, 12 June 2015

Terancam

Salam

Dua ekor singa jantan tidak boleh berada dalam satu kawasan, pasti berkelahi. Ia akan berjuang menakluki kawasan yang sama hingga salah satu daripadanya menang, yang kalah akan terusir keluar. Singa-singa betina dan anak tetap berada dalam kawasan sama walaupun singa jantan sudah bertukar daerah. Itu sifat binatang. Jika terancam, ia pasti bergaduh dan berebut.
image google

Bagaimana sifat manusia apabila terancam? Tidak banyak beza, kita juga akan mengangkat senjata dan berperang demi mempertahankan apa sahaja 'milik' kita. Jika singa berperang berebut kawasan, manusia juga berperang mempertahan dan memperluaskan daerah yang dimiliki atau mahu dimiliki. Benar, kita tidak banyak beza berbanding singa iaitu seekor haiwan.

Bagaimana pula jika manusia berada dalam kawasan yang sama? Apakah kita tidak rasa terancam? Apakah bentuk ancaman yang dirasai sesama manusia?

Saya selalu terfikir, mengapa sesama pensyarah seringkali wujud rasa bersaing dalam mencari ilmu. Sesama adik-beradik berkelahi merebut perhatian mak ayah. Sesama artis, bertikam lidah menunjuk kelebihan diri. Sesama orang kaya bersaing menukar kereta, siapa lebih hebat dan ternama. Kita tidak akan berkelakuan begini jika tidak terancam. Kita tidak akan menjadi singa jika daerah kita tidak dicerobohi sesuka hati.

Apa punca ancaman kita pada orang atau orang lain pada kita, sedangkan kita tidak berebut daerah jajahan seperti mana seekor singa.

Ancaman boleh jadi dalam bentuk perhatian seperti persaingan adik-beradik. Boleh jadi dalam bentuk pengiktirafan siapa lebih kaya, ternama dan berpengaruh. Manusia sanggup buat apa sahaja untuk kelihatan mewah dan bergaya, glamor dan mempunyai pengikut. Ini antara faktor tanpa sedar mengapa kita menjadi ancaman pada orang lain dan orang lain terhadap diri kita. Jujur sungguh naluri manusia, tidak ada beza seperti haiwan.

Pensyarah bermasam muka sesama sendiri kerana tidak mendapat pengiktirafan dekan fakulti. Anak-anak bergaduh tidak berhenti demi menjadi 'buah hati' pada ibu ayah. Kawan sekerja tidak habis bertelagah mahu memungut 'pujian' daripada bos besar. Suami isteri berperang dingin apabila pasangan membuat keputusan tanpa dirujuk terlebih dahulu. Jiran tetangga pantang bersua muka, marahkan rumput panjang di kawasan sebelah.

Jika kita mengambil masa berfikir, ancaman yang dirasai oleh kita semua baik sebagai anak, suami, pekerja atau bos hanyalah kerana ketidakprihatinan tentang sempadan antara diri kita dan orang lain. Kuasa autonomi yang kita pegang dan iktiraf diganggu-gugat oleh orang luar tanpa kebenaran. Kita rasa terancam apabila orang lain memperkotak-katikkan kewujudan diri. Tidak pelik jika saya katakan, ego tercalar oleh sikap tidak endah orang lain terhadap kita. Puncanya, kita terancam dek kerana EGO.

Kadangkala, saya tertanya-tanya mengapa kita berkelakuan asing terhadap orang yang mempunyai taraf pendidikan dan keupayaan material berbeza daripada kita. Saya selalu memberi komen menarik pada suami; orang kaya itu baik dengan saya walaupun kita tidak sekaya mereka. Orang bertokoh itu mesra dengan saya walaupun saya tidak 'bernama' seperti mereka. Terasa diri dihargai dan dihormati walaupun pada dasarnya kemampuan kami bagaikan langit dan bumi.

Jawapan suami mengejutkan, " You are no threat to them."

Adakah ego kita tersimpan dan terselamat selagi tidak bertemu buku dan ruas?

Mungkin juga.




No comments: