Salam
"You can drive my dear, but no...you can't have your license today. You need to learn more..OK sweetie."
Mat Salleh tua yang ramah berbahasa melayu memberi respon selesai saya menjalani ujian pemanduan di sini.
Saya ingatkan dengan ramahnya bercerita tentang Malaysia; masakan melayu terutamanya rendang daging dan ayam, dia akan berlembut hati meluluskan saya dalam ujian ini. Jangan harap, kerja tetap kerja, amanah tetap amanah.
Saya tidak simpan di hati, mestilah sedih tapi saya sendiri tidak rasa saya patut lulus. Ntah mengapa banyak perkara saya terlupa, gugup agaknya kerana ada orang memerhati tingkah-laku kita membawa kereta. Padahal saya pegang lesen Malaysia lebih 15 tahun, dan memandu kereta di UK dan balik semula ke Malaysia lebih 10 tahun. Memandu hari-hari tidak kenal siang dan malam, tetapi masih gagal cemerlang.
"Susah ke nak lulus?" Soal kawan-kawan yang tahu saya gagal tiga kali.
"Tak susah, instructor cakap, 40% kemahiran memandu, 40% keadaan jalan sama ada sibuk atau tak, dan 20% sama ada rezeki atau tak."
"Tiga kali gagal, belum rezeki saya nak lulus." Saya jawab malas.
Tapi kegagalan saya pada kali yang kedua dan ketiga mengundang rasa panas jiwa dan raga. Kali kedua gagal, saya terlalu stress dan pemeriksa perempuan gemuk itu memang tidak berpuas hati kerana emosi saya agak tegang. Pemandu harus positif, relaks dan bersahaja tanpa keras berfikir. Dia mencari alasan untuk saya gagal, dan 'bom' saya gagal. Saya menangis dalam perjalanan balik ke rumah, puas dipujuk instructor minah salleh.
Kegagalan kali ketiga lebih meracun emosi, instructor menuduh saya tidak bawa dokumen pengenalan diri. "Hello, I was here two times before OK...I have this, I have that."
"Nope, I need your passport as primary document."
"Can we at least do the test first, my husband will bring my passport in no time."
"Nope, sorry I can't accept that."
Menangis lagi, kali ini berjalan balik sendiri dalam hujan. Setibanya di rumah, saya mengamuk pukul suami kerana membiarkan saya melalui pengalaman kelat sebegini di usia 40an.
Ia bukan sekadar gagal, masalah berikutnya adalah untuk mendapatkan slot ujian seterusnya. Adakalanya lebih tiga bulan untuk dapatkan slot baharu, dan duit berterusan keluar untuk pastikan saya tidak terlupa akan peraturan dos and dont's sebelum menduduki ujian amali.
Itu belum lagi dikira bebanan emosi setiapkali kali tarikh ujian menghampiri. Makan tak kenyang, tidur tak lena, madia masih basah tetapi tekanan yang melampau-lampau hingga boleh jadi murung. Tiba masanya, fizikal dan emosi saya bertukar keras dan kaku. Itulah agaknya ada orang terpaksa melalui ujian amali hingga ke-20 kali. Aduh...
Ujian kali keempat, saya dinasihatkan supaya bertukar tempat ujian kerana menurut kawan-kawan dan instructor, tempat sebelum ini agak kritikal untuk lulus. Dalam bulan puasa tahun ini, sebelum pulang beraya, instructor berjaya mendapatkan slot baharu untuk saya. Jika diikutkan slot ujian di tempat lama, saya harus menunggu hingga bulan September. Tarikh keramat 25 Jun, saya dibawa ke tempat ujian sejauh satu jam jarak perjalanan dari rumah.
Doa tidak henti-henti saya panjatkan pada Allah swt supaya memudahkan urusan saya kali ini. Saya minta suami dan anak-anak turut berdoa untuk kuatkan semangat saya melalui ujian getir ini. Anak menguruskan diri sendiri untuk ke sekolah dan seawal jam lima pagi saya sudah bertolak ke tempat ujian.
Saya orang pertama dalam senarai pemandu yang diuji pagi itu, hati masih tidak tenang membayangkan jika saya gagal lagi pada kali ini. Sudahlah jauh, bandar baharu, tidak biasa dengan jalan-jalan di sini dan trafik pagi yang agak sibuk kerana orang sudah mula keluar untuk pergi kerja.
Ya Allah...hati bagai terhenti, saya menutup muka dengan tapak tangan sambil merehatkan kepala atas stereng kereta. Dalam kepala ligat memainkan memori kesalahan demi kesalahan yang saya lakukan sepanjang ujian tadi.
"Ok...this time you passed!" Pemeriksa mengira markah kertas periksa dan menandatangan di atasnya.
"Allahukhbar...alhamdullilah. Thank you sir..." Senyum selebar yang boleh.
Melihat kertas peperiksaan amali, saya cuma lebih satu mata sebelum gagal untuk kali yang keempat. Saya tidak akui kejayaan ini adalah milik peribadi atau kemahiran diri dalam memandu tetapi berkat doa saya, suami dan anak-anak dalam bulan puasa penuh barakah.
Itulah namanya rezeki, tuhan permudahkan urusan saya. Berbekalkan lesen kereta ini, saya diberi kepercayaan untuk memandu kereta di mana-mana jalan di dunia.
Berapa banyak pelaburan untuk mendapatkan lesen kereta ini?
Lebih lapan ribu ringgit, mengambil masa setahun setengah dan empat kali ujian. Bayangkan mereka yang terpaksa lalui 20 kali ujian amali.
Pengsan!
No comments:
Post a Comment