Salam
Rasanya, ini coretan terakhir aku sebelum kita semua bergembira bersama keluarga di hari raya. Selamat hari raya aidilfitri pada semua yang mengenali ataupun tidak. Semoga keberkatan aidil fitri kali ini akan menyatukan dan mengukuhkan siratulrahim sesama kita. Amin.
Baiklah, sebagai topik terakhir sebelum bercuti panjang kali ini, aku akan berkongsi pengalaman-pengalaman getir menjadi seorang suri(seperti yang dijanjikan). Pengalaman yang aku kongsikan di sini bukan eksklusif datangnya daripada aku tetapi juga daripada rakan dan kenalan selama ini. Pengalaman-pengalaman manis mahupun pahit tetap mengajar kita tentang erti kehidupan. Jadi, selamat membaca dan ambillah panduan di mana perlu.
Bagi memudahkan pemahaman kita semua, aku letakkan subtopik pada setiap isu yang dibincangkan. Ia kelihatan lebih teratur supaya idea aku juga tidak kacau bilau. Antara isu-isu yang membelenggu kehidupan seorang suri adalah seperti berikut;...jeng..jeng..jeng...
Melawan arus
Google Image |
Memilih menjadi seorang suri secara paksa mahupun sukarela, adalah pilihan berlawanan arus. Bila kita sedar ia berlawan arus, usaha untuk mendapat pengesahan dan rasa hormat orang keliling adalah satu perkara yang agak sukar. Pengesahan yang dimaksudkan di sini ialah daripada orang awam, khususnya mak dan ayah, suami dan anak-anak, adik-beradik, jiran tetangga dan rakan taulan yang mengiktiraf kewujudan dan kepentingan suri.
Pengesahan adalah keperluan asasi yang diperlukan oleh setiap individu hatta pada diri seorang anak kecil. Ia adalah satu keperluan semula jadi pada setiap orang bergelar manusia dan bertindak sebagai pendorong motivasi di atas segala perbuatan baik yang dilakukan oleh seseorang individu. Malangnya kerjaya suri tidak memberi peluang untuk kita mengecapinya dengan mudah berbanding dengan mereka yang bekerjaya hebat di luar sana sepertimana cikgu, jururawat, kerani atau lain-lain. Tiada bonus pencapaian, elaun lebih masa atau sijil penghargaan menanti suri di akhir tahun sepertimana mereka yang bekerjaya . Tanpa pengesahan sewajarnya, terutama daripada ahli keluarga terdekat , ia akan mengundang rasa lemah jati diri dan kekeringan emosi di kalangan suri-suri. Rentetan daripada kelemahan dan kekurangan ini, aura negatif itu kelak terpancar dengan jelas daripada diri suri apabila mereka berinteraksi dengan orang luar. Tanggapan negatif seperti suri low self-esteem, kurang berkeyakinan, malu tidak bertempat dan kurang pandai menyesuaikan diri dalam masyarakat sering saja lekat pada tag nama seorang suri. Paling malang, setiap kelakuan buruk seperti mengumpat, mengangkang, menonton telenovela, bergayut dan membeli-belah seakan-akan cara terbaik apabila orang awam mendeskripsi kerjaya seorang suri. Kasihan!
Dalam masyarakat kita di sini, kredibiliti dan kehormatan seorang individu diberi darjah tinggi sekiranya dia mempunyai gelaran dipangkal nama atau mempunyai kelebihan material atau berposisi tinggi di pejabat. Memilih menjadi seorang suri bermakna, kita tidak mempunyai semua kelebihan-kelebihan tersebut kecuali sekadar menumpang kelebihan atau kemewahan si suami atau menumpang harta keluarga. Oleh itu, apabila memilih kerjaya suri, ia ternyata berlawanan arus dari tuntutan-tuntutan tipikal masyarakat setempat.
Seorang wanita yang berpendidikan seharusnya berada di ofis dan bukan bergelumang dengan anak-anak. Seorang wanita berpendidikan harus mempunyai kerjaya baik demi menjana ekonomi keluarga. Maklumlah dunia sekarang memerlukan duit melebihi keperluan-keperluan emosi lain. Seorang wanita berpendidikan, bekerjaya hebat pula seharusnya membawa tanggapan hebat masyarakat pada kedua ibubapa yang berjaya mendidiknya dan keberuntungan si suami kerana berjaya memperisterikannya. Tidak lupa juga pada anak-anak, mereka tetap berbangga siapa ibunya tetapi naluri bersih mereka tidak memilih berdasarkan pangkat dan duit semata-mata.
Sebaliknya pula, kerjaya seorang suri dilihat seperti tidak memberi pulangan modal kepada kedua ibubapa yang membesarkannya selama ini. Tidak juga meringankan beban mencari nafkah yang tertanggung di atas bahu seorang suami. Cuma, anak-anak saja bersorak gembira kerana ibunya seorang suri. Maklumlah, ada orang yang sentiasa membontoti dan menyediakan keperluan mereka.
Jadi tidak mudah bukan untuk menongkah arus kerana dalam usaha menongkah itu , kita akan terus berhadapan dengan konflik self-esteem yang kronik. Soalan-soalan selfish seperti: berbaloi ke aku cuma menyokong suami di belakang takbir, bagaimana jika suami aku lebih tertarik dengan wanita bekerjaya maklumlah, they got beauty, brain and "ber-wang", adakah anak-anak akan melihat aku sebagai ibu yang hebat sepertimana ibu kawan-kawannya. Siri-siri soalan negatif ini sentiasa bermain dan bersarang di kepala suri dan boleh membuat jati diri mereka makin lemah dan rasa makin tidak berbaloi. Sekiranya diri sendiri pun sukar menghargai, bagaimana mereka hendak dihargai oleh orang lain.
Err...dah panjang sudah, rasanya subtopik seterusnya akan disambung pada coretan lain.
Tunggu..............SELAMAT HARI RAYA SEMUA :))
2 comments:
Arghhh ini yang dirasai sekarang!!Ape best sgt ke ada title jurutera!!Kejar date line..bgn buat bekal nak pegi keje, balik rumah terkejar masak..suami balik rumah tgk bini dah mcm zombie!!DUIT RAYA & HOLIDAY je motivasi sekarang ni..
Suami kata, jadi Datuk Siti Nurhaliza pun penat....hehehe
Post a Comment