Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Friday, 23 December 2011

Gelakkan diri sendiri

Salam


Saya selalu berangan ingin menulis perihal anak-anak di dalam sebuah buku dan dihiasi dengan gambar-gambar mereka sejak bayi hingga terkini. Matlamatnya cuma satu, itulah harta memori yang akan berkekalan hingga ke anak cucu. Mungkin cucu juga akan mengenali nenek ini menerusi nukilan dan gambar yang terdapat di dalam buku tersebut. Paling tidak, sekarang saya mulakan usaha dengan menulis di sini.


Nukilan kali ini bermula dengan peel anak daraku nan seorang ini. Entah kenapa, berbeza benar berbanding si abang, dia tidak boleh diajak bergurau, tidak boleh digelakkan, tidak boleh dipermainkan walaupun hanya untuk suka-suka. Kesannya kami selalu naik angin dengan kelakuannya. Asal kami bergurau, dia tidak akan melepaskan peluang mengenakan si abang, si abah ataupun saya, si umi. Masalahnya, jika giliran kami mengenakan dia, mukanya menjadi masam mencuka dan berakhir dengan tangisan. Si abang akan memprotes tanda tidak puas hati dan kami biasanya, mengambil sikap tidak memujuk. Biarkan hingga dia pulih sendiri!
Berbeza pula dengan si abah, bak kata anak sulungku; keluarga abah memang suka memujuk orang. Hahaha!


Secara psikologi, individu yang malu dengan kekurangan diri, selalu rasa rendah diri dan tidak mampu menggelakkan diri sendiri adalah tanda-tanda dia mengalami simptom low self-esteem. Benar, orang yang mengalami simptom  sebegini tidak mampu melihat kekurangan diri secara positif, mereka tidak mampu melihat ia sebagai sumber untuk memperbaiki kelemahan diri. Ya, saya boleh terima jika anak dara saya yang berusia 6 tahun sebegitu. Bagaimana dengan individu yang sudah dewasa, tetapi masih tidak mampu mentertawakan diri sendiri di atas apa saja kelemahan dan keburukan diri? Masih malukah kita dalam usia begini untuk mengaku kita kuat makan, badan kita gempal, kepala kita sedikit lembab apabila berbicara tentang quantum physic? Cuba berlatih untuk ketawa pada perkara-perkara bodoh yang kita lakukan. Contohnya, bila tersilap mengambil besen ke meja makan. Gelak dan gelengkan kepala, pasti kita akan berasa lega! Kita akan sedar bahawa kita cuma manusia, kadangkala membuat kesilapan. Apabila kita faham, perbuatan mentertawakan diri sendiri tidak sedikit pun mencemar rasa self-worth, ia tidak lansung mengurangkan kredibiliti diri. Ia hanya satu gambaran tentang diri kita yang sepertimana juga orang lain. Orang lain bermaksud, setiap daripada kita mempunyai kelemahan dan keburukan. 


Berbalik pada kisah anak daraku itu. Perkara pertama yang harus saya ajar padanya ialah ADMIT siapa diri kita. Sudah terima barulah kita boleh ACCEPT kelemahan dan keburukan diri. Bila dua-duanya sudah difahami, mudah untuk kita bergerak lebih jauh untuk memperbaiki, IMPROVE. Kadangkala, saya tertanya-tanya kenapa anak sulung ini sudah dilengkapi dengan kecerdikan ini? Ohh...rupanya dia ada kecerdikan interpersonal ini daripada kecil, mungkin warisan daripada si abah. Berbeza dengan saya, belajar daripada scratch jadi saya sedar, kecerdikan ini sangat penting untuk pembangunan diri.

Sunday, 11 December 2011

Mengalah

Salam

Umi, "Cubalah mengalah dengan adik, abang kan dah besar."
Anak sulung membungkam tanda protes, "Asyik-asyik A saja yang kena mengalah!!"
Umi, "Mengalahkan amalan mulia, elak daripada bersengketa sesama adik-beradik."
Anak menjawab, "Kalau asyik mengalah, sampai bilalah saya takkan menang dan sampai bila-bila orang takkan tahu dia salah?"
Google image
Here we go, he got a brilliant point over there!

Kualiti mengalah ini baik jika dilihat secara kasar, bak kata-kata orang bijak, "Mengalah bukan bererti kalah", tetapi betul ke? Hehehe. Bagaimana dengan pengalaman kita mengalah hingga dipijak kepala, emak pijak kepala anak, suami pijak kepala isteri, abang pijak kepala adik, adik pijak kepala kakak? Betul, mengalah bukan bererti kalah, mengalah juga bukan bererti menang tetapi mengalah bermaksud menanggung bebanan sakit jiwa jika ia berlarutan sekian lama! Tidak berani bersuara kerana bimbang dicop sebagai laser, kurang ajar, kurang adab dan lebih teruk kurang akal. Isu ini membuat saya terfikir, mengalah yang bagaimana harus kita promosikan pada diri sendiri, mungkin juga pada anak-anak supaya kita tidak dilihat lemah kerana kualiti mengalah yang berlebih-lebihan.

Perbuatan mengalah membawa pelbagai perspektif berbeza kepada si penerima. Ada yang beranggapan kita tidak cukup sumber, bilamana masing-masing hendak menunjuk kekayaan diri sendiri. Awak tukar langsir, dia tukar langsir. Awak tukar kereta import, kita pun harus tukar kereta import. Jika kita memilih untuk mengalah daripada sudut begini, walau apapun orang beranggapan pada kita, ia adalah satu perbuatan mulia! Risaukah kita jika orang tahu kita tidak cukup sumber? Pasa saya, ia jauh daripada isu risau kerana memang benar pun, sumber kita di dunia ini terhad! Siapa berani menafikannya! Bayangkan pula situasi bilamana pekerja pejabat membentangkan kertas projek tetapi ideanya dicilok oleh staf lain dan diakui hak miliknya. Dia bukan sahaja mendapat kredit daripada usaha mencilok tetapi bonus tahunan syarikat juga menjadi rezekinya. Perlukah kita mengalah dalam situasi sebegini? Perlukah kita amalkan filosopi "mengalah bukan bererti kalah" selamanya, atau kita pasang strategi untuk mengubah keadaan.

Kualiti assertive tidak popular di dalam budaya kehidupan orang-orang melayu. Tidak terjumpa terjemahan positif yang boleh diceduk secara lansung untuk menerangkannya dalam bahasa kita, selain daripada perkataan mendesak, terburu-buru atau mungkin agresif (ia lebih bersifat neutral). Jangan terkejut jika di luar negara, kualiti ini diajar secara ilmiah dan terbuka di dalam mana-mana kursus pembangunan manusia dan banyak artikel seumpama ini terdapat di laman sesawang jika kita berminat. Walaupun begitu, janganlah pula mengamalnya di tempat-tempat tidak sesuai. Usah diajar kualiti ini pada anak-anak jika bertandang ke rumah tetamu, ada pula yang akan dihalau dengan penyapu! Hahaha.

Langkah pertama untuk mahirkan kualiti baru ini dalam kehidupan ialah dengan bercakap TIDAK pada diri sendiri. Usah bimbang dengan orang lain, latih diri untuk bercakap "tidak".  Setelah mahir boleh digunakan pada orang lain, contohnya jika orang menyuruh kita datang menggantikan dirinya dalam kursus tanpa alasan munasabah, katakan tidak! Jika suami menyuruh siisteri bangun tidur dan memasak mee kari pada jam tiga pagi, katakan tidak! Walaupun begitu, gunakanlah kewarasan yang ada, jika pilihan mengalah melebihi nilai daripada bersikap assertive, teruskan mengalah. Jika kualiti assertive melebihi nilai mengalah, jangan rasa bersalah untuk bercakap tidak!

Hampir pada penghujung tulisan ini, baru saya tersedar mengapa sesetengah daripada kita ternyata kurang nilai "common sense" yang perlu diamalkan dalam hidup seharian. Tiada proses timbal balik dalam fikiran, mengalah atau perlu berkerat rotan semata-mata hendak menunjukkan kita betul(negatif assertive), sedangkan kita tahu persepsi betul atau salah hanya sebuah label bergantung pada si pemikir. Tidak mudah untuk belajar menjadi waras, perlu ada ilmu dan pengalaman hidup yang luas supaya perbuatan kita berpasak pada nilai tambah yang betul. Sama-samalah kita berusaha ke arahnya.

Akhirkata, saya tinggalkan persoalan ini pada semua. Fikir-fikirkan!

Sekian.

Sunday, 4 December 2011

You're allergic to fun!

Hai semua

Selamat bermalam minggu disamping keluarga tersayang. Ikutkan hati ingin menyambung kerja yang belum habis tetapi kasihan pula pada anak-anak. Bapanya sibuk ke kelas dan uminya sibuk hendak siapkan kerja di malam minggu, rasa macam tidak patut pula! Selepas waktu magrib, saya membawa anak-anak keluar makan malam. 

Bila suasana tenang tanpa jadual sepertimana hari-hari sekolah, peluang untuk bersembang dengan anak-anak lebih terbuka luas. Kami berbual sambil makan dan gelak tawa anak-anak menyegarkan perasaan. Anak daraku ini suka bermain dengan "perkataan dan ayat-ayat", antaranya three words to describe me atau one sentence to describe you. Apa yang keluar daripada mulut comelnya apabila dia menggambarkan umi ini ialah, "you're allergic to fun". Walaupun dalam ketawa mendengar komentar anak itu, di dalam hati bagaikan terkesima dengan jawapannya. Betulkah saya ada alergi dan alergi pada keseronokkan? Sungguh menyayat hati!!

Agaknya benar, kekadang menjadi umi, kita bagaikan bekerja 16 jam satu hari sebagai tukang kemas, tukang masak, tukang bersih, tukang mengajar, tukang supir dan segala jenis tukang hingga kita terlupa menjadi seorang umi yang sentiasa senyum pada anak-anak. Anak-anak ajak bersembang, kita suruh dia diam! Anak ajak bermain dam, kita suruh dia masuk bilik! Anak ajak pergi berenang, kita kata hari hendak hujan(memang musim hujan pun). Pendek kata, anak-anak senantiasa cari peluang dan masa untuk bersuka-ria, dan kita senantiasa cari alasan untuk tidak berseronok dan menghargai peluang yang ada! Apa masalah kita sebenarnya? Adakah hati saya sudah kering untuk berseronok atau kepala saya terlalu penuh dengan aktiviti untuk diri sendiri tanpa melibatkan anak-anak. Padanlah, anak menggambarkan saya sedemikian rupa!

Apabila bersembang dengan anak-anak, satu per satu dimensi kehidupan akan keluar daripada mulut mereka berdasarkan perspektif yang tercorak dalam fikiran. Pertanyaan demi pertanyaan yang diungkai, membayangkan kefahaman mereka tentang dunia yang berputar. Gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk membentuk kefahaman, keperibadian dan mengukuhkan nilai-nilai kehidupan yang ada dalam diri anak-anak. Bayangkan jika di usia anak-anak begini, mereka sudah mahir tentang ilmu kehidupan seperti yang tertera di dalam buku 7 habits of highly effective people. Bayangkan pula bagaimana mereka akan memfokuskan hidup ini dengan cara paling efektif apabila usia mencecah awal kedewasaan. 

Jangan bimbang tentang kefahaman mereka pada subjek-subjek abstrak sebegini, mereka mungkin memahami 50 peratus daripada apa yang kita ceritakan. Oleh itu, kita harus mengulanginya dari masa ke masa dan memberi contoh-contoh yang sesuai dengan usia. Saya berikan contohnya di sini;
Umi, "Abang suka naik kereta ke, motor ke, basikal ke atau jalan kaki?"
Anak, "Alah...tak suka naik motor, nanti senang eksiden!"
Umi, "Kalau macam tu...naik apa pun akan eksiden, tak semestinya motor saja?"
Anak, "Ya...tapi kalau motor eksiden, terus mati..buekkk!!(menunjukkan matanya yang bulat dan lidah terkeluar cam katak mati kena langgar!)".
..................................................................................................................

Saya mengambil sebatang pensel dan menunjukkan demo di depan kedua-dua anak ini. Jika umi angkat satu hujung pensel, satu hujung lagi terangkat atau tidak? Mereka menjawab, "terangkat". Saya ubah posisi pensel berulang kali dan jawapannya tetap sama, "terangkat". Saya berkata pada mereka, setiap perkara awalan pasti ada akhiran. Awalan itu kita pilih tetapi akhiran akan menuruti awalan samada kita suka atau tidak. Kita pilih untuk jadi malas, mungkin akhirannya kita tidak akan berjaya. Berbalik pada perbualan motor di awal tadi, pilihan apa pun yang kita buat, samada motor, kereta atau basikal, akhiranya pasti ada. Jadi pilihlah apa pun dalam kehidupan ini, samada hendak jadi rajin, malas atau apa saja ...yang pasti akhirannya tetap ada dan ia berbeza mengikut pilihan. 

Tidak semena-mena adik mencelah, "Kalau macam tu, pilih jalan kaki pun tak best...nanti orang pulak langgar kita!"

Hahahaha, saya rasa anak-anak ini telah mula memahami konsep "consequences in life".

Wassalam