Salam
Saya selalu berangan ingin menulis perihal anak-anak di dalam sebuah buku dan dihiasi dengan gambar-gambar mereka sejak bayi hingga terkini. Matlamatnya cuma satu, itulah harta memori yang akan berkekalan hingga ke anak cucu. Mungkin cucu juga akan mengenali nenek ini menerusi nukilan dan gambar yang terdapat di dalam buku tersebut. Paling tidak, sekarang saya mulakan usaha dengan menulis di sini.
Nukilan kali ini bermula dengan peel anak daraku nan seorang ini. Entah kenapa, berbeza benar berbanding si abang, dia tidak boleh diajak bergurau, tidak boleh digelakkan, tidak boleh dipermainkan walaupun hanya untuk suka-suka. Kesannya kami selalu naik angin dengan kelakuannya. Asal kami bergurau, dia tidak akan melepaskan peluang mengenakan si abang, si abah ataupun saya, si umi. Masalahnya, jika giliran kami mengenakan dia, mukanya menjadi masam mencuka dan berakhir dengan tangisan. Si abang akan memprotes tanda tidak puas hati dan kami biasanya, mengambil sikap tidak memujuk. Biarkan hingga dia pulih sendiri!
Berbeza pula dengan si abah, bak kata anak sulungku; keluarga abah memang suka memujuk orang. Hahaha!
Secara psikologi, individu yang malu dengan kekurangan diri, selalu rasa rendah diri dan tidak mampu menggelakkan diri sendiri adalah tanda-tanda dia mengalami simptom low self-esteem. Benar, orang yang mengalami simptom sebegini tidak mampu melihat kekurangan diri secara positif, mereka tidak mampu melihat ia sebagai sumber untuk memperbaiki kelemahan diri. Ya, saya boleh terima jika anak dara saya yang berusia 6 tahun sebegitu. Bagaimana dengan individu yang sudah dewasa, tetapi masih tidak mampu mentertawakan diri sendiri di atas apa saja kelemahan dan keburukan diri? Masih malukah kita dalam usia begini untuk mengaku kita kuat makan, badan kita gempal, kepala kita sedikit lembab apabila berbicara tentang quantum physic? Cuba berlatih untuk ketawa pada perkara-perkara bodoh yang kita lakukan. Contohnya, bila tersilap mengambil besen ke meja makan. Gelak dan gelengkan kepala, pasti kita akan berasa lega! Kita akan sedar bahawa kita cuma manusia, kadangkala membuat kesilapan. Apabila kita faham, perbuatan mentertawakan diri sendiri tidak sedikit pun mencemar rasa self-worth, ia tidak lansung mengurangkan kredibiliti diri. Ia hanya satu gambaran tentang diri kita yang sepertimana juga orang lain. Orang lain bermaksud, setiap daripada kita mempunyai kelemahan dan keburukan.
Berbalik pada kisah anak daraku itu. Perkara pertama yang harus saya ajar padanya ialah ADMIT siapa diri kita. Sudah terima barulah kita boleh ACCEPT kelemahan dan keburukan diri. Bila dua-duanya sudah difahami, mudah untuk kita bergerak lebih jauh untuk memperbaiki, IMPROVE. Kadangkala, saya tertanya-tanya kenapa anak sulung ini sudah dilengkapi dengan kecerdikan ini? Ohh...rupanya dia ada kecerdikan interpersonal ini daripada kecil, mungkin warisan daripada si abah. Berbeza dengan saya, belajar daripada scratch jadi saya sedar, kecerdikan ini sangat penting untuk pembangunan diri.
No comments:
Post a Comment