Hai semua
Selamat bermalam minggu disamping keluarga tersayang. Ikutkan hati ingin menyambung kerja yang belum habis tetapi kasihan pula pada anak-anak. Bapanya sibuk ke kelas dan uminya sibuk hendak siapkan kerja di malam minggu, rasa macam tidak patut pula! Selepas waktu magrib, saya membawa anak-anak keluar makan malam.
Bila suasana tenang tanpa jadual sepertimana hari-hari sekolah, peluang untuk bersembang dengan anak-anak lebih terbuka luas. Kami berbual sambil makan dan gelak tawa anak-anak menyegarkan perasaan. Anak daraku ini suka bermain dengan "perkataan dan ayat-ayat", antaranya three words to describe me atau one sentence to describe you. Apa yang keluar daripada mulut comelnya apabila dia menggambarkan umi ini ialah, "you're allergic to fun". Walaupun dalam ketawa mendengar komentar anak itu, di dalam hati bagaikan terkesima dengan jawapannya. Betulkah saya ada alergi dan alergi pada keseronokkan? Sungguh menyayat hati!!
Agaknya benar, kekadang menjadi umi, kita bagaikan bekerja 16 jam satu hari sebagai tukang kemas, tukang masak, tukang bersih, tukang mengajar, tukang supir dan segala jenis tukang hingga kita terlupa menjadi seorang umi yang sentiasa senyum pada anak-anak. Anak-anak ajak bersembang, kita suruh dia diam! Anak ajak bermain dam, kita suruh dia masuk bilik! Anak ajak pergi berenang, kita kata hari hendak hujan(memang musim hujan pun). Pendek kata, anak-anak senantiasa cari peluang dan masa untuk bersuka-ria, dan kita senantiasa cari alasan untuk tidak berseronok dan menghargai peluang yang ada! Apa masalah kita sebenarnya? Adakah hati saya sudah kering untuk berseronok atau kepala saya terlalu penuh dengan aktiviti untuk diri sendiri tanpa melibatkan anak-anak. Padanlah, anak menggambarkan saya sedemikian rupa!
Apabila bersembang dengan anak-anak, satu per satu dimensi kehidupan akan keluar daripada mulut mereka berdasarkan perspektif yang tercorak dalam fikiran. Pertanyaan demi pertanyaan yang diungkai, membayangkan kefahaman mereka tentang dunia yang berputar. Gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk membentuk kefahaman, keperibadian dan mengukuhkan nilai-nilai kehidupan yang ada dalam diri anak-anak. Bayangkan jika di usia anak-anak begini, mereka sudah mahir tentang ilmu kehidupan seperti yang tertera di dalam buku 7 habits of highly effective people. Bayangkan pula bagaimana mereka akan memfokuskan hidup ini dengan cara paling efektif apabila usia mencecah awal kedewasaan.
Jangan bimbang tentang kefahaman mereka pada subjek-subjek abstrak sebegini, mereka mungkin memahami 50 peratus daripada apa yang kita ceritakan. Oleh itu, kita harus mengulanginya dari masa ke masa dan memberi contoh-contoh yang sesuai dengan usia. Saya berikan contohnya di sini;
Umi, "Abang suka naik kereta ke, motor ke, basikal ke atau jalan kaki?"
Anak, "Alah...tak suka naik motor, nanti senang eksiden!"
Umi, "Kalau macam tu...naik apa pun akan eksiden, tak semestinya motor saja?"
Anak, "Ya...tapi kalau motor eksiden, terus mati..buekkk!!(menunjukkan matanya yang bulat dan lidah terkeluar cam katak mati kena langgar!)".
..................................................................................................................
Saya mengambil sebatang pensel dan menunjukkan demo di depan kedua-dua anak ini. Jika umi angkat satu hujung pensel, satu hujung lagi terangkat atau tidak? Mereka menjawab, "terangkat". Saya ubah posisi pensel berulang kali dan jawapannya tetap sama, "terangkat". Saya berkata pada mereka, setiap perkara awalan pasti ada akhiran. Awalan itu kita pilih tetapi akhiran akan menuruti awalan samada kita suka atau tidak. Kita pilih untuk jadi malas, mungkin akhirannya kita tidak akan berjaya. Berbalik pada perbualan motor di awal tadi, pilihan apa pun yang kita buat, samada motor, kereta atau basikal, akhiranya pasti ada. Jadi pilihlah apa pun dalam kehidupan ini, samada hendak jadi rajin, malas atau apa saja ...yang pasti akhirannya tetap ada dan ia berbeza mengikut pilihan.
Tidak semena-mena adik mencelah, "Kalau macam tu, pilih jalan kaki pun tak best...nanti orang pulak langgar kita!"
Hahahaha, saya rasa anak-anak ini telah mula memahami konsep "consequences in life".
Wassalam
No comments:
Post a Comment