Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Wednesday, 7 March 2012

Let go...

Salam

Lama benar menyepi, sungguh tidak sempat menulis walaupun sekadar menjengah. Tapi hari ini, kerja baru siap dihantar jadi saya luangkan sedikit masa untuk berkongsi.

Let go...dalam bahasa asing, apa perkataan lebih sesuai untuk diterjemah ke dalam bahasa kita? Intipatinya mudah, seperti meminta sesuatu dilupakan, dibiarkan, dimaafkan, di...dan di, yang pastinya ia bermula daripada kita sendiri. Memang mudah untuk bercakap dan meminta orang melupakan, tapi jika ia berlaku pada diri sendiri. Baru sedar, tinggi atau rendahnya langit! Kenapa sesetengah orang susah untuk melupakan, dan masih marah juga berdendam. Saya tahu jawapannya, hahahahah!!! Saya mengaku sebab saya pernah lalui pengalaman itu dan saya senantiasa bertanya, kenapa dan kenapa terlalu sukar untuk saya melupakan dan memaafkan. Saya mencari penawar pada penyakit ini melalui cerita motivasi, bertunjangkan orang-orang yang besar jiwanya seperti nabi Muhammad saw antaranya, dan ramai lagi tokoh-tokoh asing walaupun berlainan agama dan resam.

Kini, walaupun saya masih belum mahir dalam kemahiran ini tetapi saya tetap belajar, sedikit demi sedikit untuk mengawal emosi yang tidak mendatangkan apa-apa faedah kecuali, busuk dan membakar diri sendiri. Dan, apabila berhadapan dengan orang-orang sebegini dalam diskusi alam maya, saya cuba mengelak diri daripada terjebak dalam kemelut ini. Walaupun adakalanya, ia terjadi tanpa sedar tetapi kita masih boleh mengenali mereka dengan mudah. Ia bagaikan tiada kesudahan dan kesannya, hati menjadi sangat kotor dan tidak tenteram. Bila difikir balik, siapakah yang mendapat faedahnya, jika bukan diri sendiri. Jadi bagaimana untuk belajar, to let go....

Satu quote yang paling saya suka ialah, "Orang yang memegang bara dengan niat untuk dilontarkan kepada orang lain, akan membakar diri sendiri sebelum sempat orang lain itu terbakar." Bayangkan diri kita yang sedang terbakar. Adakah berbaloi untuk menyimpan bara itu, atau kita belajar untuk lepaskan genggaman erat itu dan selamatkan diri daripada terbakar?

Akhir kata, saya selalu berfikir...bodohnya saya kerana selalu membiarkan diri terbakar sedangkan orang itu menikmati hidup tenang dan selesa. Betul kan?

No comments: