Salam
Ada benda mengganggu fikiran. Semasa berbual dengan adik semalam, dia menegur saya tentang satu kecenderungan yang sering saya lakukan. Termalu juga ditegur, maklumlah ini bukan kali pertama. Sudah banyak kali sebenarnya, tetapi saya masih terjatuh dalam lubang yang sama, berkali-kali. Aduh!
Seperti biasa, saya mencari teman untuk bertukar fikiran. Buntu memikirkan apa yang tidak kena dengan diri sendiri. Masalahnya, apabila mendapat nasihat daripada orang yang karektornya berlainan daripada kita, solusinya bagaikan tidak bersesuaian pula. Bukan sekali suami memberi nasihat dari sudut pandangan beliau, sejak dari mula berkahwin. Saya tiada idea untuk membantah kerana pada saat itu, itulah jalan terbaik. Tetapi lama kelamaan, rasa hati mengatakan ia seperti tidak berapa tepat. Benarkah, demi mengelak diri rasa disakiti oleh kawan, jangan berkawan? Demi mengelak diri daripada mengungkit kebaikan kita pada orang tanpa mendapat balasan, berhenti membuat perkara baik? Demi menjaga diri daripada berfikir yang bukan-bukan tentang orang, berkawan dengan lembu? Masuk akal ataupun tidak, solusi ini?
Sekali fikir, saya akui itulah yang saya lakukan. Sejak mendapat nasihat ini, 13 tahun yang lalu, itulah yang saya amalkan walaupun kadangkala ia bertentangan dengan kehendak hati. Alasan cuma satu, saya tidak mahu ada rasa terkilan, tidak sedap hati sesama manusia lain. Saya tidak mahu ada rasa kecewa di akhir sketsa, kerana mengharap orang lain menjadi seperti kita. Tetapi dalam masa yang sama, naluri kuat mengatakan ada sesuatu yang tidak berapa betul. Mendengar nasihat daripada adik, bagaikan terngiang-ngiang nasihat daripada orang yang sama karektornya, iaitu introvert. Bagi mereka yang berperwatakan introvert, memberi nasihat, menolong orang, mengasihani orang adalah perkara yang sangat eksklusif. Maksudnya, mereka akan menunjukkan kesemua ciri-ciri itu pada orang yang bermakna dalam hidup mereka sahaja. Dalam erti kata lain, orang yang tiada mengena dalam kehidupan mereka, orang yang tidak mengganggu tidur mereka di malam hari, tidak perlu tahu akan kewujudan kualiti ini dalam diri. Oleh kerana itu, mereka mahir dalam membatas diri daripada memberi nasihat tidak perlu, sukar membantu tanpa disuruh dan menjaga diri sendiri adalah perkara utama dalam agenda kehidupan mereka. Hasilnya sangat berbaloi-baloi berbanding orang-orang extrovert, yang selalu bermasalah dengan segala jenis macam rasa dengan orang-orang keliling.
Sebagai extrovert, saya masih mencari penyelesaian pada kekalutan ini. Saya suka memberi, tetapi bagaimana mahu membatas diri daripada mengharap. Jika dituruti nasihat sebelum ini, semua kebaikan akan terhenti di situ kerana tiada balasan yang diterima. Paling parah dan terluka, jika orang mengatakan kita tidak ikhlas. Masakan boleh terjengah perkataan ikhlas, jika kita sendiri tahu, kita mengharapkan sesuatu daripada sesuatu pemberian. Jadi bagaimana? Bukan sekali dua saya mendengar kaum keluarga, mahupun kawan-kawan memberi komen bahawa sukar untuk menjaga siratulrahim sesama manusia dalam zaman moden ini. Jika ada yang rajin pada awalnya, lama kelamaan ia terhenti kerana tiada sambutan daripada orang lain. Kebaikan yang sepatutnya dipanjangkan, terhenti kerana tiada seorang pun yang rajin menyambut dan menyambung. Akhirnya, kebaikan terhenti dan kita sibuk dengan hal sendiri. Paling tidak, itu yang dimaksudkan oleh adik saya tadi. Tidak perlu terluka jika tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan.
Alhamdullilah, selepas berborak panjang dengan teman sejiwa yang berada di seberang sana, saya teringatkan kata-kata nasihat daripada seorang motivator hebat. Rupanya, kata-kata pencerahan ini sudah lama saya dengar cuma ia terlipat dalam gobok memori. Itulah jawapan yang dicari selama ini dan ia lebih mendamaikan hati daripada terpaksa memilih untuk berkawan dengan lembu.
Kebaikan yang diberi oleh kita, akan dan pasti dibalas oleh Allah swt, jadi kenapa perlu risau? Kita sering mendambakan balasan daripada orang keliling tetapi kita lupa bahawa balasan daripada manusia tidak setanding dengan balasan daripada Allah yang maha kaya. Kenapa perlu bimbang dan terluka? Kita biasa alami dan mendengar, adakalanya tuhan mengutuskan orang lain untuk membantu kita yang sedang dalam kesusahan. Orang asing yang langsung kita tidak tahu mana asal-usulnya dan apa tujuan mereka membantu kita. Jauh sekali, mereka bukan orang yang selalu kita harapkan. Perkara ini membuat saya sedar, kita tidak mampu mengawal satu perkara pun yang bakal berlaku pada kita. Jadi kebaikan kita selama ini akan dibalas oleh Allah dalam rahsiaNya, selagi kita berbaik sangka dan mengharap ikhsannya. Bukankah ini lebih mendamaikan hati berbanding nasihat supaya jangan berbuat baik jika tidak boleh berhenti mengharap atau tidak ikhlas. Akhir sekali, latih diri kita berbuat baik kepada mereka yang tidak mampu, seperti memberi sedekah kepada orang fakir, anak-anak yatim, balu kematian suami dan sesiapa sahaja yang pasti tidak mampu membalas. Ia bukan sahaja mendidik hati mejadi ikhlas, paling penting kita masih boleh menyalurkan kebaikan tanpa perlu bimbang akan rasa terluka mahupun terkilan.
Warkah ini khusus buat diri saya yang masih mencari, pada mereka yang mendapat kebaikan daripadanya. Alhamdullilah.
No comments:
Post a Comment