Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Sunday, 28 April 2013

Demam

Salam semua

Kini, kita semua dilanda demam pilihan raya umum PRU13. Tidak boleh lari daripada terkena demam ini, walaupun hakikatnya saya bukan penyokong taksub mana-mana parti. Saya tidak menyokong mana-mana parti kerana pada saya, semuanya sama kecuali warna benderanya. Orang tetap orang; ada yang baik, ada berusaha menjadi baik, ada yang kurang baik dan ada yang sentiasa perasaan 'dia' cukup baik. Jadi saya memilih mereka yang berakhlak, paling tidak saya tidak 'kuciwa' kerana mempercayai mereka.

Bukan niat saya mahu membantu mempromosikan mana-mana parti yang bertanding. Pada saya, mereka semua mempunyai peluang sama rata untuk menang. Saya suka akan fenomena ini, paling tidak, tiada yang terlena dalam rangkulan kuasa sekian lama. Paling tidak, semua berada dalam 'zon bahaya', jadi mereka tidak akan senang duduk atau berdiri sehingga segalanya berakhir. Bukankah ini satu 'permainan' yang adil dan saksama pada kita semua rakyat Malaysia? Tiba-tiba suara rakyat menjadi "berkuasa", jika selama ini bagaikan bunyi langau tetapi kini, ia sudah bertukar menjadi ngauman singa. Bertenaga dan berapa-api!

Apa yang menarik perhatian apabila demam ini semakin menuju ke kemuncak adalah reaksi rakyat-rakyat bawahan seperti saya. Dalam newsfeed FB, makin galak berita parti menjengah masuk. Tidak kira dari mana-mana parti, sama sahaja rentaknya. Kelakarnya, berita yang masuk itu tidak langsung menjurus kepada fitnah, aib atau sesuatu yang negatif tetapi reaksi yang dilihat dalam komen-komen, berlainan sama sekali! Tidak habis-habis rakyat bawahan ini mengutuk pemimpin yang dibenci, menyanjung pemimpin yang dihormati, menghina, mengaib, memfitnah dan tidak ketinggalan kata-kata cacian yang tidak langsung mencerminkan adat budaya kita sebagai seorang yang datangnya dari timur. Kononnya... yang penuh dengan adab dan sopan. Hilang segala ilmu akhlak yang kita belajar di sekolah agama sekian lama. Terhapus segala ilmu sebagai hamba hina yang selama ini kita raih. Semuanya 'hilang' sekelip mata akibat kita semua dilanda demam tidak kebah ini. Maklumlah, datangnya 5 tahun sekali, jadi suhu badan naik bagai hilang arah.

Dalam banyak-banyak komen yang saya baca dalam FB, ada beberapa yang menarik perhatian untuk diulas berpandukan pengalaman saya sebagai rakyat bawahan dalam negara ini, Antaranya ialah;

* Sasaran kemarahan pada anggota penjawat awam seperti polis dan tentera. Bagaikan tidak masuk akal jika ada rakyat hatta pemimpin mengutuk anggota keselamatan negara hanya kerana bencikan seseorang pemimpin. Padahal, jika esok lusa parti apa pun berkuasa di bumi Malaysia, pasti anggota polis dan tentera yang sama akan berkhidmat untuk rakyat. Jadi mana logiknya, kita melepaskan sasaran kemarahan pada mereka yang hanya menurut perintah.

* Ramai ahli taksub parti tidak membaca berita sama ada benar atau palsu dari beberapa sumber berlainan. Baik dari media perdana ataupun alternatif, sama sahaja isi kandungan mereka. Saling mengutuk dan mendabik kelebihan diri. Jadi jangan membuat komen-komen 'ketara' seperti kononnya, si A saja betul dan si B saja yang salah. Kedua-duanya ada isu yang dibangkit, semua parti ada sang badut tersendiri, masing-masing ada drama lompat si katak lompat.

* Sasarkan isu perbincangan pada polisi kerajaan yang tidak betul selama ini dan bukan semua isu ada kaitan langsung dengan pemimpin dan parti yang memerintah. Jangan salahkan kerajaan jika ada penjawat awam yang malas dan lembab bekerja, kuat berFB dari meja ofis, suka bersarapan lebih masa, suka mengelat waktu pejabat. Itu bukan salah kerajaan, itu kesalahan individu yang tiada etika bekerja dan ia mungkin ada kena mengena dengan diri sendiri, kakak, abang, adik atau emak ayah yang bekerja sebagai staf awam. Sekian lama berada dalam sentimen orang-orang kita dalam negara ini, saya faham sesetengah orang suka menunding jari pada pemerintah negara jika anaknya tidak menutup aurat, menjadi mat rempit jalanan, tidak mampu membayar balik hutang pelajaran atau apa sahaja isu yang berkaitan. Mudahkan jadi jadi rakyat Malaysia, semua kerajaan yang salah!

* Sesiapa pun yang menjadi PM negara kita yang terchenta ini, beliau tidak boleh menyelesaikan 1001 masalah yang sedang dan bakal melanda Malaysia. Jadi jangan buat komen-komen yang menjurus kepada ketaksuban pada seseorang individu. Ia tidak mempamerkan kematangan kita apabila berhujah kecuali ketaksuban yang nyata tanpa cacat cela terhadapan seseorang pemimpin. Sesiapa pun yang bakal menjadi PM, pejawat awam yang sentiasa datang lewat, tetap akan datang lewat ke pejabat. Cikgu-cikgu yang sentiasa marah dengan beban kerja keterlaluan, tetap masam kelat mukanya apabila tiba ke sekolah. Kesesakan jalan raya di KL, terutamanya pada hari hujan akan tetap sama walaupun PM yang naik itu adalah buah hati pengarang jantung kita selama ini. Jadi, berbaliklah ke bumi nyata supaya kita rakyat bawahan ini tidak rasa 'terlalu' teraniaya oleh janji-janji orang di atas sana nun. Kita pegang janji sampai mati, mereka tabur janji bagai capati.

* Akhir sekali, berpada-padalah menyokong sesiapa pun. Para pemimpin pilihan kita itu hanya manusia biasa, tidak maksum dan tidak pula mulia pada mata semua. Guna hikmah dan kebijaksaan dalam menilai. Sesungguhnya manusia seperti kita ini diuji oleh tuhan berperantarakan kuasa, duit dan pangkat. Jadi semua manusia, sama ada pemimpin pilihan kita atau tidak, hatta diri kita sendiri jika berpeluang berkuasa, mungkin tidak mampu menahan godaan dan ujian sebesar itu. Buka sedikit ruang dalam minda dan hati, pemimpin yang kita percaya dan kasihkan ini, mungkin berpaling tadah apabila berkuasa. Kepercayaan kita pada mereka usah dicemari dengan sikap taksub keterlaluan hingga menghina penyokong parti lawan. Simpan sikit kegusaran itu di dalam hati supaya nanti, apabila kita tersedar dan lamunan itu terhenti, ia tidak terlalu menyakitkan. Alasan hikmahnya mudah, "Kita semua manusia biasa yang terlena dengan duit, pangkat dan kuasa." Siapa kita hendak menidakkannya, sedangkan ketua para malaikat pun kecundang, inikan pula kita...manusia biasa.


Disclamer: saya tidak berminat menegakkan mana-mana parti kerana saya percaya kita semua hanya manusia biasa. Bezanya antara kita dan mereka adalah 'peluang' yang dicipta dan tercipta. Di saat itu, adakah kita menggunakan peluang itu merentas jalan ke syurga atau neraka. We make our own call.

Saturday, 6 April 2013

Tanda Syukur

Salam semua

Pagi ini saya terbaca satu status yang masuk dalam facebook, "orang yang jarang bersyukur, biasanya tidak pernah puas hati dengan keadaan dirinya sekarang". Saya biasa terjumpa ayat-ayat begini tetapi sukar untuk mengiyakan ataupun menidakkannya. Ia juga pernah dituturkan oleh seorang kawan, tetapi perasaan saya pada waktu itu sedikit terganggu dan agak marah. Saya tertanya juga dalam hati, apa yang menyebabkan ada sedikit rasa tidak senang apabila ayat ini dituturkan ataupun dibaca.


Izinkan saya mencerna maksud ayat ini dalam beberapa bahagian supaya kita dapat memahaminya dalam perspektif berbeza. "Orang yang berpuas hati dengan keadaan dirinya sekarang, adalah orang yang sentiasa bersyukur". Maksudnya, orang yang berpuas hati dengan keadaan dirinya pada ketika dan waktu ini, tidak perlu berusaha lebih demi masa hadapan kerana dia sudah bersyukur dengan apa yang ada. Adakah kita boleh simpulkan orang yang sentiasa berusaha memperbaiki kehidupan sekarang, adalah orang yang jarang bersyukur dengan apa yang dia ada pada hari ini? Bagaimana dengan orang yang sentiasa bekerja bagaikan mereka mahu hidup 1000 tahun lamanya, dan mereka beribadat bagaikan mahu mati keesokkan harinya? Adakah ini juga petanda orang kurang bersyukur? Adakah orang yang senantiasa berpuas hati dengan apa yang dia ada walaupun secara zahirnya tidak mencapai standard ekonomi sekarang adalah tanda orang bersyukur?  

Apakah pula standard atau piawai tanda orang-orang bersyukur? Adakah orang bersyukur adalah orang yang hidup ala kadar? Adakah tanda syukur itu hanya pada mereka yang bekerja demi melangsaikan kewajipan diri dan keluarga sahaja? Akhir sekali, perlukah kita tahu akan tanda-tanda ini pada orang lain atau ia sebagai kayu ukur dalam diri sendiri sahaja.

Sekian kalinya, saya rasa isu syukur adalah isu dalaman yang tidak perlu kita komersialkan penggunaannya. Tidak perlu diucap sesama kita antara kawan dan saudara. Tidak perlu dijadikan nasihat basahan pada semua orang tanpa penjelasan yang mantap. Pada saya, bersyukur adalah isu dalaman antara kita dengan pencipta dan hanya kita dan Dia sahaja yang memahami dalam konteks yang sebenar-benarnya. Tiada tanda jelas antara kita siapa yang bersyukur ataupun tidak. Kita tidak seharusnya membuat kesimpulan singkat pada mereka yang bekerja seperti tidak cukup 24 jam sehari sebagai tidak bersyukur. Tetapi kita yang pulang kerja tepat jam 5 petang tanpa OT, di kalangan mereka yang bersyukur. Sedar atau tidak, betapa mudahnya kita menghukum orang dengan fahaman singkat 'tanda syukur' kita itu tadi.

Cuba sorot kehidupan manusia pada hari ini, kita beli rumah bukan satu dan bukan dua, malah seorang sebuah pada setiap anak. Adakah itu tanda kita tidak bersyukur dengan rezeki tuhan? Kita tukar kereta daripada kancil ke alza, daripada alza ke frontera kerana bilangan anak yang bertambah dan keselesaan diutamakan. Adakah kita tergolong dalam mereka yang tidak bersyukur? Bagaimana jika ucapan itu ditujukan kepada kita hanya kerana kita membuka cawangan bisnes di daerah lain yang mempunyai potensi lebih besar. Menyengat bukan?

Makin lama hidup dalam kelompok masyarakat seagama dan sebudaya, saya perasan isu ibadat antara satu topik yang sering menjadi saingan antara kita sesama manusia. Siapa bersyukur, siapa tidak bersyukur. Siapa  alim, siapa kurang alim. Siapa suka ke masjid, siapa kurang ke masjid. Siapa berubah selepas balik haji, siapa kurang berubah. Berapa kali pergi umrah, berapa kali pergi haji, berapa kali buat kenduri...semua ini menjadi bahan bualan harian yang tiada kesudahan. Saya takut akan fenomena ini, takut jika saya juga terheret dalam permainan psiko sebegini. Bimbang akan keupayaan diri membenteng iman senipisnya kulit bawang untuk kekal membutakan mata dan telinga daripada orang keliling. Ya Allah, engkau peliharalah kami dalam rahmat Mu.

Pendakwah adalah orang yang berhak mengingatkan kita yang jahil, tetapi dengan cara paling berhikmah. Nasihat yang diberi harus diperjelaskan sebaik-baiknya supaya orang awam tidak terlalu mudah menghukum sesama manusia. Asal lihat saja jiran pulang lewat daripada pejabat, kita cop dia tidak bersyukur dengan apa yang dia sudah ada. Tidakkah kelakar bunyinya?

Pada saya, bersyukur adalah antara ibadat senyap antara kita dan pencipta sepertimana ibadat bersedekah, ibadat sunat dan lain-lain. Kita boleh mencari panduan dari bahan bacaan untuk peringatan diri tetapi elak mengunakan untuk tujuan memeriksa orang lain. Ini adalah perjalanan dalaman bukan luaran, jadi simpan hanya untuk diri.


Thursday, 4 April 2013

Awal vs Lewat

Salam semua

Hari ini saya ingin menulis tentang perkara harian atau bicara pasar yang boleh didengari di mana-mana. Tidak terbatas di pasar atau di rumah, hampir di mana-mana sahaja perbualan kita bersama saudara, kenalan, rakan atau orang asing sekalipun, tidak banyak beza. Antara topik yang sering menjadi diskusi basahan kita adalah perspektif  tentang "awal atau lewat".
Jalan-jalan kehidupan

Beberapa kali saya pernah ditanya atau disuap masuk informasi ke dalam mulut tentang bertuahnya mereka yang dapat berkahwin awal, dapat pergi menunaikan haji awal, mendapat zuriat awal, mendapat cucu awal, pencen awal dan segala mak nenek yang awal-awal belaka. Tidak keterlaluan pula saya katakan, pada mereka yang termasuk dalam golongan awalan sebegini, bangganya jelas dipertontonkan di mata umum. Kadangkala timbul rasa tanya di dalam hati, perlukah isu-isu begini kita letak di atas trak larian 400 x meter? Bukankah isu awal dan akhir ini berkait rapat dengan rezeki seseorang yang dikawal oleh tuhan semesta alam? Pada perkiraan jahil dalam diri saya, jika kita sedar ia adalah isu rezeki dan takdir seseorang, tidak akan timbul mana yang lebih baik ataupun buruk. Kedua-duanya ada keuntungan dan kecederaan yang tersendiri, kedua-duanya ada keburukan dan kelebihan. Dan kita sebagai manusia, carilah titik damai antara satunya dan buat sebaik mungkin dengan apa yang telah dibentangkan di hadapan kita.

Rugi kahwin lewat, untung kahwin awal. Inilah antara ayat-ayat keramat yang seringkali terpancul daripada mulut orang awam di majlis-majlis keraian. Bertuahnya, muda-muda lagi sudah ada kesempatan untuk menunaikan haji; juga ayat penyedap hati pada mereka yang terpilih. Sudah tentu, pada mereka yang 'terpilih', pastinya rasa bertuah. Bayangkan pula apabila ayat ini diucap dan didengari oleh mereka yang bukan terpilih. Apakah rasa hati mereka? Sayu bukan.

Secara peribadi, apabila saya diaju dengan keutamaan awal atau lewat, saya akan pilih jalan tengah. Mengiya pun tidak, menidakkan pun tidak. Seperti saya katakan tadi, kedua-duanya ada baik dan buruk seperti Ying dan Yang, saling melengkapi. Isu anak muda kahwin awal, seringkali juga diaju dalam perbincangan keluarga apabila ada kesempatan berkumpul. Biasanya, jawapan saya mudah, lihat pada latar belakang keluarga. Dan sebagai anak yang berakal waras, ukurlah baju di badan sendiri dan bukan di badan anak jiran. Maksud saya, awal atau lewat sesebuah perkahwinan bukan terletak pada kemampuan diri tuan empunya badan sahaja. Ia perlu diambil kira dari segi kemampuan ekologi sesebuah keluarga. Tiada pertaruhan mana yang lebih atau buruk jika latar belakang keluarga tidak mampu menyokong kemahuan anak yang ingin berkahwin awal. Andaikata, anak sulung sebuah keluarga baru saja lepas pengajian di menara gading, baru setahun jagung memasuki alam pekerjaan, mempunyai adik-adik berderet yang masih bersekolah, ibu dan ayah membanting tulang pagi, petang dan malam demi kelangsungan hidup. Adakah masih ada hati anak sulung ini mempertaruhkan nasib kahwin "awal" pada keluarganya? Saya tidak menolak ia ada berlaku, malah kenalan saya seorang yang berpengaruh dalam industri sudah pun melaluinya dengan jaya. Tetapi latar belakang si pasangan itu bukan orang-orang biasa, walaupun si anak sulung itu dari kalangan orang kebanyakan. Masih seperti saya katakan sebelum ini, ia berkait rapat dengan latar belakang keluarga yang menyokong tindakan si anak.

Berlapang dada dengan apa yang ada, tentunya kita lebih mudah menulis ataupun menuturkannya. Jika tidak, apa pilihan yang kita ada? Menangisi nasib diri yang tidak sebaik orang lain? Memangsakan diri dengan beranggapan tuhan tidak menyayangi kita seperti hamba-hambanya yang lain? Atau, kita gunakan peluang ini sebaiknya untuk mengumpul duit dan kejar perkara "awalan" lain yang menjadi saingan manusia-manusia di luar sana. Ataupun, kita reka sendiri "awalan" lain yang tidak langsung termaktub dalam senarai awalan orang-orang di keliling kita. Contohnya, orang yang paling awal keliling dunia dalam keluarga kita, orang yang terawal menyeberangi Selat Cook dengan menaiki jetski atau orang yang maha awal membuat pendaftaran di rumah orang tua-tua bagi kemudahan hari tua kelak. Maaf, jika tulisan saya agak keterlaluan.

Maksud saya cuma satu, penuhi masa yang ada sekarang sebaik mungkin dengan aktiviti yang tidak mungkin kita boleh lakukan selepas ini. Bagi mereka yang 'terpilih awal', kayuh perlahan-lahan muatan yang maha berat kerana disitulah sumber pahala kita hingga akhirat. Tidak terkecuali pada mereka yang tidak mempunyai muatan lebihan, amal jariah kita bukan hanya termaktub pada anak-anak sedarah sedaging. Malah ia merentasi benua dan warna kulit, tuhan kita pun bukan rasis dan berparti. Jadi kita bebas membuat amal kebaikan di mana sahaja, selagi kita berdiri dan menjunjung langit Nya.

Amin, wassalam.


Monday, 1 April 2013

OTAK- adakah kita mangsa?

Salam semua

Dalam kekalutan berfikir, kita sering menjadi mangsa otak sama ada sedar atau tidak. Terbaru, saya cuba menghadam sedaya mungkin buku The Power of Now nukilan seorang penulis dakwah bebas dari barat. Filosofinya mudah, kita sentiasa menjadi mangsa pada cara otak berfikir. Dalam peratusan yang digambarkan, hampir 80% daripada masa harian kita dihabiskan dengan berfikir perkara yang sudah lepas mahupun yang akan datang. Antara lainnya bermaksud, kita tidak hidup secata total dalam masa yang dianugerah kepada kita iaitu masa SEKARANG!


Teringat kata-kata master Ogooway dalam kisah Kungfu Panda, "Yesterday is historytomorrow is a mystery, today is a gift of God, which is why we call it the present." 

Kebolehan otak memanipulasi tanpa sedar membuatkan kita sering kalut dalam kenangan masa lampau dan  penantian masa hadapan. Kita sering mengimbas kenangan pahit yang mencengkam diri dan mendera diri menunggu masa hadapan yang ntah bila akan datang. Tanpa sedar, masa kini kita bazirkan tanpa rasa bersalah dan tidak memaksimumkan pengunaannya.


Contoh paling mudah, saya mempunyai anak-anak yang montel semasa mereka masih bayi. Kenangan membesarkan mereka sejak bayi, tidak mungkin saya dapat lupakan. Dalam keadaan sekarang, semasa saya menulis ayat-ayat ini, kepala saya ligat memainkan rakaman video lampau semasa anak masih bayi. Ternyata, saya rindu pada kenangan itu. Rindu ingin memeluk dan mencium bau bayi. Rindu ingin melihat mereka tidur, rindu mahu menggomol tubuh mongel mereka, rindu mahu menyalin lampin, pendek kata rindu, rindu dan rindu. Kerakusan minda saya memainkan rakaman video lampau itu secara tidak langsung membataskan diri saya daripada menikmati masa sekarang, di mana mereka sudah sedikit dewasa. Saya abaikan masa berbual dengan mereka, saya pandang ringan apabila mereka memanggil di kala diperlukan dengan alasan, sibuk. Apa yang lebih saya nikmati adalah masa lampau yang penuh dengan imej-imej bayi mongel tetapi tanpa sedar saya melepaskan masa kini iaitu masa yang penuh dengan kerenah dan soalan-soalan magis daripada mulut mereka.


Selain kenangan masa lampau bayi montel, saya sering terbawa ilusi apabila mereka dewasa kelak. Apakah anak ini akan berjaya mendapat 5A dalam UPSR? Adakah anak ini akan berjaya mendapat tawaran masuk ke asrama? Adakah dia mampu bersaing untuk mendapat biasiswa tajaan syarikat minyak terkemuka atau tidak? Adakah dia bernasib baik mendapat pekerjaan yang diminati, teman wanita yang dihajati dan 1001 satu persoalan masa hadapan yang tidak mungkin akan terjawab. Sedangkan masa ini kita bazirkan tanpa sedar. Alih-alih anak terus membesar dan kita masih tidak habis-habis berilusi masa lampau kecomelan dan bayangan kabur masa hadapan.


Secara peribadi, saya rasa amat bersalah apabila membaca buku ini. Entah apa yang dikejar oleh kita selama ini. Padahal, perkara yang paling penting adalah masa kini. Masa sekarang yang memberi peluang dan janji yang sangat nyata. Jika kita fikir masa sekarang adalah yang terbaik, kita tidak perlu menangguh kemaafan, kita tidak akan menunggu masa hadapan untuk berubah menjadi lebih baik dan paling penting, kita tidak membazir masa kini untuk sebuah penantian.


Perkongsian mudah bagi melupakan masa lampau dan meluputkan ilusi masa hadapan adalah dengan memantau cara kita berfikir. Sentiasa kekal fokus dengan mengalihkan fikiran masa lampau ke masa kini, iaitu sekarang, antaranya dengan cara berzikir atau mengaji quran. Mengaji quran adalah solusi terbaik mengembalikan 'masa kini', kerana kita sentiasa berfikir dan waspada dengan tanda-tanda bacaan tanpa sempat memikir tentang masa silam ataupun hadapan. Sekiranya kepala terlalu sibuk membayangkan ketakutan masa hadapan yang tidak pasti, ubah posisi duduk jika perlu dan alih fokus pada perkara yang sedia ada di hadapan mata. Sekiranya kita sedang memandu, hayati cara kita memusing stereng kereta, mendengar alunan muzik atau bacaan ayat suci yang dimainkan. Selain dapat mengubah emosi pada waktu ini, kita juga akan lebih kekal positif.


Sebelum mengakhiri penulisan ini, saya ingin mengajak para pembaca supaya melupakan keperitan kenangan silam. Percayalah, pra-syarat pada sebuah kemaafan adalah melupakan. Lihat pada fitrah anak-anak, mereka tiada dendam sepertimana kita orang dewasa kerana mereka tidak membawa beban kenangan silam yang merantai diri. Anak kecil mudah melupakan kerana memori mereka tidak mampu bertahan lama seperti kita, hikmahnya mereka mudah membuka lembaran baru apabila bersama orang keliling.