Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Thursday, 18 December 2014

Kecantikkan Hari TUA

Salam

Anak pernah menyoal saya, "Jika diberi pilihan, mahukah umie menjadi cantik dan muda seperti dua puluh tahun lalu?" Saya kata, "TAK MAHU."

Kebanyakan kita terlalu takut menjadi tua, bimbang kelihatan tua dan berperangai seperti orang tua. Pendek kata, konotasi tua membawa aura negatif yang tersendiri. Tua dikaitkan dengan kerepot, berpenyakit, tidak berupaya, tidak berkemampuan dan tidak lagi menarik perhatian ramai. Fizikal yang lebih lemah dan hilang ketengangan kulit seperti awal remaja. Saya bukan menidakkan kesemua kesan sampingan apabila usia meningkat, tetapi banyak juga kesan positif lain yang perlu beri perhatian berbanding ketegangan kulit semata-mata. Antara impak positif apabila usia meningkat boleh dikelaskan pada beberapa bahagian seperti ekonomi, sosial, emosi dan fizikal.

Kebanyakan kita faham apa maksud kestabilan ekonomi di usia 40an. Ramai antara indivIdu mencapai tahap selesa sama ada dari segi duit, pengiktirafan sosial dan harta benda pada tahap ini. Saya tidak mahu menyentuh isu ini terlalu jauh. Saya tertarik membincangkan bagaimana usia tua membawa kestabilan dari segi mental dan emosi pada individu. Kestabilan yang tidak bersandarkan kepada kemewahan material; rumah banglo, kereta import dan percutian luar negara semata-mata. Kestabilan yang lebih bersifat emosi dan kerohanian, ketenangan hati, kepuasan hidup dan kematangan fikiran. Jika kita perhalusi, inilah kelebihan mutlak yang dimiliki apabila usia kita beransur senja. Kelebihan yang jarang-jarang dinikmati ketika usia masih muda; darah mudah bergelora, keinginan yang melampau dan jangkaan yang tidak berasas.

Ini bukan bermaksud kita tidak bernafsu mencari keseronokkan hidup, tetapi tingkat keseronokkan mula menurun berkadaran dengan usia. Kita tidak lagi mencari perhatian pada perkara tidak perlu, tidak mencipta nama sekadar mahu popular atau diminati, tidak lagi berhempas-pulas menjaga kepentingan orang lain lalu menidakkan kewujudan diri sendiri. Kesimpulannya, kita tidak kisah apa tanggapan orang pada kita selagi ia tidak membawa kemudaratan pada diri. Kita bebas memilih dan berfikir tanpa kongkongan budaya dan masyarakat. Kita bebas membuat keputusan tanpa pengiktirafan orang keliling. Kita bebas menamatkan atau membuang apa sahaja perkara yang tidak membawa manfaat pada diri dan keluarga. Bukankah ini satu nikmat hidup yang kita cari-cari? Ironiknya, kita hanya kecapi nikmat ini apabila usia beransur tua dan senja. Mengapa?

Mari ikut saya imbas kembali zaman muda; undur sepuluh atau dua puluh tahun kebelakang dan tarik semula memori ketika baru mula bekerja, mencari cinta, mencipta nama dalam industri dan berjinak-jinak dalam dunia perkahwinan dan keibubapaan. Apa yang tergambar dalam kepala kita pada waktu ini?

Keinginan yang tidak berbatas, kesempurnaan tidak berpenghujung dan jangkaan luar biasa pada pasangan, keluarga, anak-anak dan masyarakat. Di waktu muda begini, kita mendambakan satu hubungan yang sempurna seperti dalam wayang gambar Hindustan. Berlarian bernyanyi di celah-celah pokok dan kaki bukit. Hakikatnya dalam dunia perkahwinan, di sinilah kita mula belajar perkataan 'self-defence'. Mencari jalan menegakkan kebenaran diri tanpa diperlekehkan oleh suami dan isteri yang ternyata lebih 'superior' atau hebat berbanding empunya badan. Kita seolah-olah ibu singa yang sentiasa memastikan keselamatan diri dan keluarga. Sentiasa memastikan keluarga kita dipandang tinggi dalam kelompok sosial bagi mendapat pengiktirafan orang keliling. Jika tidak sebagai keluarga berketurunan hebat, mungkin keluarga islamik yang dihormati jiran tetangga. Keluarga moden yang berjaya dan mempunyai anak-anak yang bijak dan genius belaka. Sedar atau tidak, perbuatan kita pada waktu ini banyak berpusat pada gambaran yang mahu dipaparkan pada orang luar. Gambaran pada kawan, jiran dan masyarakat bahawa keluarga kitalah yang terjaga, tercantik, bergaya dan berkemampuan. Sesungguhnya kemampuan tidak seberapa, tetapi dimampu-mampukan kerana gaya hidup adalah satu keperluan dan pada mata-mata yang melihat. Inilah satu era kehidupan di mana kita agak sombong, ranggi dan hanya memandang ke langit. Zaman di mana suami-isteri bagaikan dewa-dewi, masih bercantik bergaya dan anak-anak comel belaka. Zaman di mana kita menjadikan Angelina Jolie dan Bratt Pit sebagai idola dan model sebuah keluarga hebat di mata dunia. Pendek kata, inilah zaman kita akan saling kejar-mengejar, himpit-menghimpit, jatuh-menjatuhkan atau angkat-mengangkat demi sebuah kehidupan yang cukup sempurna seperti yang digambarkan oleh media.

Percayalah, bayangan ini tidak bertahan lama. Masa muda dan perasan hebat, saya adalah seorang ibu defensif jika anak ditegur hitam. Tetapi sekarang tidak lagi. Jika dulu saya bimbang anak comot kerana malu pada kawan keliling. Sekarang, 'ikut suka merekalah...'. Jika dulu saya cuak jika orang tahu saya ibu 'selfish' yang sering mencuri masa membaca buku sendirian di bilik. Sekarang dengan mudah saya menjawab, "I need my own space". Saya tidak kisah apa pandangan orang selagi mereka tidak menganggu-gugat kerukunan saya sekeluarga. Bukankah ini satu kenikmatan? Kenikmatan untuk kita berdiri dan duduk tanpa perlu melihat dan membandingkan diri dengan orang keliling. Inilah sebuah kehidupan pada saya.

Kecantikkan hari tua tergambar pada cara kita berfikir, kehormatan diri dan wujud tembok pemisah antara kita dan orang keliling. Perbuatan dan permikiran kita adalah tanggungjawab diri tanpa tertakluk pada sesiapa sahaja. Kita bebas memilih kawan, bebas melarikan diri daripada sesiapa sahaja yang kita tidak suka tanpa wujud rasa bersalah. Tidak perlu justifikasi atas perbuatan kerana itu adalah hak peribadi. Kematangan dalam berfikir menjadikan kita bebas seperti burung tanpa keperluan mengembirakan orang keliling. Bukankah nikmat ini lebih berharga daripada harta material; rumah banglo, kereta import dan rumah percutian di luar negara?

..................................................................................

Anak terkejut apabila saya nyatakan saya suka akan usia tua. Saya rasa lebih 'seksi'.
Seksi dalam bentuk fikiran dan emosi, bukan fizikal seperti muda-muda dahulu.

Secara peribadi, saya kasihan melihat kawan-kawan di awal usia 40-50-60an masih gigih mencari kehebatan dari mata-mata sosial. Masih berterusan memasak kepentingan diri dan keluarga pada status material. Masih menagih puja dan puji mata-mata jiran tetangga pada kejayaan peribadi dan bukan bersifat ummah.

Soalan saya; hingga bila dan ke mana?

Saya tidak mahu usia muda, cantik dan berkulit tegang tetapi kepala serabut mendamaikan diri sendiri. Saya telah lalui pengalaman itu. Dan saya pilih cantik dalam usia tua.





No comments: