Saya malas masak hari ini, lauk semalam pun tidak selera hendak dijamah. Jadi selepas habiskan kerja petang tadi, saya mengajak anak dara tadikaku itu makan di luar. Muka dia ceria tapi ada soalan keluar daripada mulutnya, "Tempat makan tu, ada WIFI tak?". Amboi, macam salah dengar pula, dia bukan tanya makan di mana atau makan apa, tetapi ada WIFI atau tidak! Uncle Steve tentu gembira jika tahu betapa anak-anak kita sungguh sayang dan sukakan dia.
Bercerita tentang teknologi dan anak-anak, merekalah orang yang paling gembira dan paling "advance". Bercerita tentang teknologi, kita sebagai emak dan ayah mengambil kesempatan ini, mengalih tanggungjawab kita pada teknologi pintar untuk mengajar, menemani, bermain dan melayan anak-anak kita. Ia tidak salah, ia sangat menyenangkan tetapi sepertimana biasa, sifat keterlaluan bila tanpa pengawasan akan membawa kesan sampingan pada anak-anak. Ramai mak dan ayah bangga bila bercerita tentang kecerdikan anak-anak bermain dengan teknologi pintar samada iphone, ipad, ipod, galaxy tab...dan macam-macam lagi. Saya tidak menidakkan kecerdikan anak-anak ini, mereka memang lebih "natural" berbanding kita bila bermain dengan teknologi pintar tersebut. Tapi saya prihatin, adakah kepintaran ini akan membawa kebaikan atau keburukkan pada mereka kelak di masa hadapan. Pembacaan saya tentang kerakusan teknologi pintar ini "memandaikan" anak-anak kita mempunyai kesan yang negatif berpanjangan jika tidak dipantau sejak awal. Saya senaraikan kesan-kesan sampingan itu di sini;
- Mematikan kemahiran komunikasi anak-anak; kemahiran sosial sangat penting pada anak-anak di awal usia mereka di tadika. Jika masa bermain, berseloka, bergaduh dan berebut ini digantikan dengan kehadiran teknologi, anak-anak tidak akan belajar seni berkomunikasi bersama-sama rakan sebaya.
- Membantotkan kemahiran sosial anak-anak; ambil anak sulung saya sebagai contoh, dengan sifatnya sendiri anti-sosial, pendiam dan "reserve", bagaimana teknologi pintar ini membantu dia bersosial. Setengah daripada kita tidak rasa ia satu kekurangan, tetapi ingat anak kita akan bekerja dengan orang, berkahwin dengan orang dan mempunyai anak yang juga "orang".
- Meningkatkan risiko kegemukan; anak-anak perlu berlari, bermain bola, bertendangan dan bergusti untuk memantapkan koordinasi tangan dan kaki. Jika masa petang mereka dipenuhi dengan aktiviti pintar ini, mereka akan mudah mendapat habit baru iaitu "berlengkar" dan bukan aktiviti mengeluarkan peluh.
- Membunuh daya kreativiti dan common sense anak-anak; kemahiran ini perlu dipupuk daripada awal. Malang sekali anak-anak sekarang ternyata bijak tetapi common sense, amat kurang. Tidak semua mak dan ayah sedar tentang kekurangan ini, oleh itu anak-anak perlu didedahkan dengan pengalaman hidup dan perbuatan. Ia tidak tercapai dengan permainan pintar daripada Uncle Steve.
Kesannya pada otak anak-anak lebih menakutkan, ransangan-rasangan yang diterima daripada mainan ini akan membuatkan otak anak ketagih. Apabila otak ketagih, mereka tidak boleh fokus untuk jangka masa yang lama terutama pada kerja-kerja yang memerlukan konsentrasi yang tinggi. Otak yang terbiasa dengan ransangan sukar untuk tenang dan bermuhassabah, dan sukar untuk berfikir. Aktiviti penting otak seperti mengingati, mensintesis, berfikiran kritis datangnya daripada sesi bila otak berasa tenang dan dalam mod berfikir. Bagaimana agaknya, anak-anak akan berasa tenang jika setiasa terdedah pada simulasi permainan ini tanpa kawalan.
Lihat pula pada remaja sekarang, adik-adik dan anak-anak buah di kampung. Perjumpaan hari raya tidak lagi semeriah dulu, masing-masing terlalu sibuk dengan buah tangan Uncle Steve. Tiada sapaan, tiada bualan dan tiada lagi gurauan, masing-masing sibuk dengan buah hati. Pada emak saudara yang menerima kunjungan anak-anak buah yang sibuk dengan buah hati, kadangkala rasa "sakit hati". Apa tidaknya, makanan perlu disediakan, perlu dihidangkan, perlu dijemput, perlu dikemas selepasnya tetapi tetamunya sibuk melayan buah hati. Jika emak dan ayah mereka prihatin, untunglah kita tapi kalau sebaliknya, jadilah pembantu di rumah sendiri. Hahahah!
Jadi masanya sudah tiba, saya ingin keluar makan bersama anak dara ini dan tidak lupa tempat makan berWIFI.
No comments:
Post a Comment