Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Wednesday, 23 May 2012

Taboo...

Salam semua


Ada kisah terbuku di dalam dada. Sukar untuk diluahkan, apatah lagi untuk dibicarakan kepada umum. Ia seperti membuka pekung di dada. Ia seperti membuka aib sendiri. Ia seperti menanti untuk dihukum, dipancung, disembelih oleh orang keliling yang kurang memahami. Apa pilihan yang dia ada? Berdiam diri dan memendam rasa, sambil mencongak-congak di mana salah dan lompangnya hubungan ini. Pastinya, dia sengsara tetapi tiada tempat untuk berkongsi, tiada telinga yang sudi mendengar tanpa menghukum. Tiba-tiba, dia terbaca sesuatu yang membuat hatinya keriangan.


Keriangan itu bertukar kepada satu perasaan lega yang tidak puas. Masakan boleh puas,  hakikatnya dia tidak boleh mengubah apa-apa. Hanya dapat memahami dan berdamai dengan diri sendiri,' rupanya aku tidak keseorangan.' Itu sudah cukup untuk menenangkan hati yang tidak keruan, sekian lama. Sudah cukup untuk membalut luka yang tidak mungkin sembuh. Paling tidak, dia mengaku..."bukan aku sahaja yang mereka-reka cerita, bukan aku sahaja yang bermasalah, bukan aku yang sewel." Tetapi, bagai kata penulis artikel itu, isu ini masih taboo dalam masyarakat. Jika ia masih taboo dalam masyarakat barat, bayangkan pula bagaimana dua kali taboo jika ia diperkatakan dalam masyarakat kita. Kebanyakan orang tanpa usul periksa menunding jari pada kita, bagaikan tidak cukup tanah hendak menyorokkan muka ini. Kata penulis itu lagi, jangan ceritakan kesedihan ini pada sesiapa sahaja yang tidak pernah mengalaminya sendiri. Mereka tidak akan faham, kerat jari ..mereka akan menuduh si pencerita tadi dengan pelbagai panggilan. Kesian, ke mana hendak kita lari? Siapakah yang mampu mendengar? Siapa yang sudi memberi sokongan emosi bagi mengharungi cabaran ini?


Paling tidak, jika suami jahat, isteri boleh meminta cerai! Kawan buat hal, kita boleh lari langkah seribu! Tetapi jika ibu kita tidak seperti "ibu mithali" yang selalu digambarkan dalam artikel-artikel istimewa sempena kemeriahan sambutan Hari Ibu. Apa pilihan yang kita ada? Ironiknya, masyarakat kita boleh pula menerima kewujudan ibu mertua seperti ibu Kasim Selamat, kita boleh gelak keluar air mata menonton wajah bapa mertua si Syawal(kisah Ahmad Albab) tetapi kita akan menyinsing lengan menuduh orang lain anak derhaka, sekiranya dia merungut tentang ibunya sendiri. Ibu bapa pun banyak standard rupanya. Hehehe


Selamat hari ibu yang lalu.

Tuesday, 15 May 2012

Ayah...

Salam semua

Hati ini sedih melihat keadaan ayah. Keadaanya semakin teruk. Bulan demi bulan saya pulang untuk melawatnya, terlalu ketara perubahan fizikal badan ayah. Semuanya tinggal tulang! Paling tidak, sebulan lepas saya masih boleh bertanya khabar, tetapi kali ini... Ayah sudah hilang tumpuan, bagaikan hilang deria dan "disconnected" daripada dunia keliling. Melihat kepayahannya untuk bertahan, hati ini bagai disiat-siat. Sifat ayah sudah bertukar kepada sifat seorang kanak-kanak yang memerlukan perhatian khusus. Dia hanya terlantar di atas katil, menanti ketikanya dijemput. Ya Allah, ya tuhanku, Engkau permudahkan segala urusan ayah.

Mengenali ayah, dia seorang yang sangat kuat bekerja, ceria, suka bergurau, suka bercerita dan berfilosopi mudah. Dia seorang suami yang setia, anak yang redha, ayah yang garang dan kelakar, dan seorang kawan yang agak kedekut(hihi). Seluruh hidup ayah tertumpu pada mencari rezeki halal untuk membesarkan kami adik-beradik. Kesusahan lampau membuat ayah sangat prihatin tentang duit dan serba sedikit tentang harta. Kerja keras ayah dan emak selama ini, mereka berjaya memberi kami pelajaran dan harta sekangkang kera buat bekalan kami, anak-anaknya. Ayah juga sepertimana ayah-ayah yang lain, dilewat usianya rajin ke masjid, rajin ke qiamulail, rajin ke kenduri-kendara, rajin melawat anak-cucu. Cuma satu ayah tidak suka, dia tidak suka menunggu orang! Sudah sifat azalinya, maklumlah askar pencen!

Melihat ayah sengsara menantikan ajalnya, buat saya pasrah. Merenung kembali kehidupan ayah selama ini, saya bangga mengatakan ayah seorang lelaki, suami, ayah dan anak yang baik. Tetapi, menyaksikan penderitaannya di hujung perjalanan ini, saya hilang kata-kata, hilang rujukan, hilang kisah tauladan, hilang segalanya. Hanya satu yang saya pinta, moga tuhan permudahkan urusan ayah.

Kata emak, kematian ini ada habuannya masing-masing, seperti juga orang mengandung dan bersalin. Adakalanya senang dan adakalanya susah. Senang atau susah bukan untuk kita menghukum, tetapi menjadi pengajaran pada kita yang masih hidup. Ayah masih bertuah, mempunyai seorang isteri yang taat dan redha, seperti emak. Ayah masih bertuah, ada anak-anak yang berselang-seli pulang ke rumah untuk melawatnya. Di saat ini, ayah mungkin tidak boleh berfikir begitu kerana dia sangat tidak bermaya. Hanya satu saya terfikir, ayah ingin segera menamatkan penantian ini. Dia redha untuk pergi. Kami anak-anaknya pula, seakan redha untuk melepaskan dia pergi. Bila? Tiada sesiapa mampu menjawab. Hanya air mata peneman setia di kala teringatkan ayah, tidak terluah oleh kata-kata, tidak selera untuk membicarakannya. Setiapkali, ada orang bertanya, saya hanya mampu menggeleng kepala dan menukar gear ke topik lain. Ia lebih mudah... berbanding meluahkan sebak di dada, dan ia lebih mudah daripada menahan takungan air di dalam mata.

Ayah tetap akan pergi, kita semua tetap akan pergi. Tetapi, bagaimana dan bila adalah diluar jangkaan kita.

Thursday, 10 May 2012

Normalkah anak-anak kita?

Salam semua


Rindu! Itulah rasanya, sekian lama menyepi daripada mencoret di dalam blog. Bagaikan orang bercinta. Saya tidak sangka, meluahkan coretan di dalam blog juga seakan-akan berkongsi simptom kerinduan yang sama seperti orang bercinta. Haha.


Banyak perkara berlegar-legar, bagaikan ada helikopter nuri di dalam kepala. Satu yang benar-benar mengganggu fikiran ialah perihal anak-anak sekolah. Masih dalam usia muda tetapi kelihatan sedikit terganggu dari segi psikologi, dan ia dimenifestasikan dalam bentuk gaya fikir dan perbuatan. Saya sering meluangkan masa bersembang dengan anak sulung ini. Melalui perbualan, saya boleh mengenali rakan-rakan di dalam kelas yang rapat dengan dirinya. Tetapi, sejak akhir-akhir ini, dia sering membawa balik cerita tentang seorang rakan yang membuatnya "lemas". Lemas dalam erti kata lain, rakan itu membuatnya rimas dan dia seakan-akan sesak nafas kerana sering dibontoti, diganggu, diekori dan di..di..di. Sehinggakan, dia teringin hendak menjadi halimunan apabila ke sekolah, supaya dia tidak diganggu oleh rakan itu. Soalan demi soalan yang saya tanya, jelas tidak menunjukkan rakan itu seorang kaki buli, baik dari segi fizikal mahupun emosi. Sebaliknya, satu tanda jelas yang ada pada rakan itu adalah, dia perlukan perhatian daripada anak ini. Dia ingin anak saya sentiasa menyokongnya dari segi emosi, mendengar luahan hatinya, mendengar rungutannya, membela kekurangannya apabila berhadapan dengan rakan-rakan lain. Dia juga ingin anak ini, berlagak seakan-akan pelindung pada dirinya, menjadi pendengar setianya, sudi berkongsi bahu dengannya, dan apa sahaja yang melibatkan dirinya. Malangnya pula, anak saya yang terkenal dengan sifat introvert, merasakan rakannya itu terlalu "demanding". Dan, dia berusaha melarikan diri!


Sebagai ibu, saya ingin membantu anak ini. Saya selalu bertanyakan perihal rakannya itu. Saya juga sering memberi tips berkawan kepadanya, disamping menasihati dia supaya tidak terlalu "keras" dengan rakan itu. Semalam, terbongkar sedikit demi sedikit, kisah disebalik kebosanan anak bujang ini. Dia menyenaraikan perilaku yang membuat dia rimas dan sesak nafas. Antaranya ialah;


  • Rakannya sering mengeluh tentang kekurangan diri.
  • Rakannya sering mengimpikan untuk menjadi orang lain yang lebih "bertuah".
  • Rakannya suka merungut perihal kekurangan ahli keluarganya.
  • Rakannya sering mengatakan dia seorang yang "malang".
  • Rakannya sering mengambil hati orang keliling tanpa diminta, tetapi mengeluh kemudiannya.
  • Rakannya sering merasakan dirinya dipermainkan, tidak disukai, tidak diberi perhatian.
Sekali pandang, ini adalah masalah biasa pada kebanyakan orang di keliling kita. Cuba bayangkan, budak berusia 10-11 tahun sudah mempunyai masalah begini di dalam kepalanya. Apa yang tidak cukup? Apa yang masih lompang? Makan cukup, malah mewah! Mainan, games, PSP, Wii...sebut sahaja, semuanya ada di depan mata. Berbanding dengan anak saya sendiri, rakannya itu lebih mewah dari segi "harta mainan". 

Jika diperhatikan simptom-simptom yang disenaraikan di atas, saya menjangka anak ini adalah sedikit masalah psikologi. Mungkin kita biasa mendengar istilah "attention seeker", apabila seseorang kurang diberi perhatian sewajarnya oleh orang tersayang, seperti ibu dan bapa. Saya tidak berani hendak diagnos secara berlebihan, tetapi melalui pembacaan, anak ini harus diberi intervensi yang sesuai bagi membentuk cara dia berfikir.

Saya dalam misi untuk membantu anak ini, tetapi anak sulung tidak memberi respon yang memuaskan. Sebagai ibu, saya kasihan melihat anak-anak yang kurang mendapat perhatian daripada ibu dan bapa. Tambahan lagi, anak itu adalah rakan anak saya, dan saya sendiri mengenalinya. Dalam misi pertama ini, anak saya sudah tanya beberapa soalan yang berkaitan dengan dirinya, seperti "Adakah awak suka dengan diri sendiri?"

Thursday, 3 May 2012

Diam dan dengar

Salam

Perasaan ini sedang membuak tetapi tidak tahu bagaimana harus dilempiaskan rasa hati. Cakap salah, tak cakap pun salah, semuanya jadi serba salah. Saya pun banyak kekurangan tetapi semungkin boleh, saya cuba menganalisa  dan memperbaiki diri di mana patut. Terbaru, saya membaca artikel tentang "Adakah saya terlalu banyak bercakap", walaupun panas hati dengan artikel itu, saya harus menerimanya dengan hati terbuka dan berusaha untuk menzipkan mulut ini. Sudah lama sebenarnya, saya sedar tentang kelemahan saya dan lama juga saya berusaha menjadi pendengar yang baik. Banyak tip yang saya pelajari dari laman sesawang dan masih berterusan menganalisa diri. Cuba bersabar apabila bersemuka dengan orang yang sukar mencari kata-kata untuk meluahkan perasaannya. Saya masih cuba tukar gear rendah apabila berbual dengan orang "banyak rahsia" di dalam almarinya. Malangnya, kali ini saya diduga dengan orang yang suka mengulas dan menyampuk perbualan dengan hanya ayat-ayat seperti, "Ya, betullah tu", "I pun macam tu", "Memang pun", tanpa sempat saya menghabiskan ayat dan paling teruk, belum sempat saya meluahkan rasa hati. Di saat hati sedang merana, hanya ingin meluahkan pada seseorang, saya tidak mahu mendengar respon-respon seperti itu. Ia benar-benar menyemakkan telinga dan otak. Sekali sekala, mungkin saya mampu bersabar tetapi jika setiap kali saya membuat mulut, belum sampai tiga ayat keluar, dia terus-menerus memberi ulasan. Saya jadi kecewa, marah, terbantut, ter, ter, ter.....tak terluah!

Saya tidak sampai hati pula ingin memberitahunya kerana dia sangat baik, karektornya "comforting and soothing". Dia sentiasa mencari damai dan tidak pandai membuat kontroversi, dia teman yang baik dan boleh dipercayai. Tetapi "habit" menyampuk atau mengulas yang dia ada, benar-benar menguji kesabaran saya apabila bersamanya. Apa pilihan yang saya ada? Saya cuba meminimakan perbualan, terutamanya jika diri sedang berserabut. Saya cuba elak menelefonnya jika tiada perkara mustahak. Saya cuba kurangkan pertemuan dengannya jika tidak perlu. Tetapi dia masih kawan saya, saya suka padanya dan masih ingin menjadi temannya. Apa perlu saya buat? Berterus terang menceritakan masalah saya padanya? Adakah dia akan terusik dan merajuk? Adakah dia akan memarahi saya dengan menuduh saya yang bukan-bukan? Adakah lebih baik saya menjauhkan diri daripadanya? Adakah apa, apa dan apa? Saya mencari kekuatan melalui artikel yang saya baca, ada quote menarik," True friend will tell that your face is dirty". Betul ke? Bolehkah dia menerima teguran itu nanti? Perlukah saya terus bersabar tetapi sampai bila? Saya tidak ingin memalukan dirinya pada teman lain. Saya masih ingin berkawan dengannya, jadi bagaimana?

............................................................................................................................................

Saya sudah ketemu jawapannya tanpa sedikit pun mengundang kontroversi. Kurangkan "pertemuan" dengan beliau. Amin.