Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Tuesday, 15 May 2012

Ayah...

Salam semua

Hati ini sedih melihat keadaan ayah. Keadaanya semakin teruk. Bulan demi bulan saya pulang untuk melawatnya, terlalu ketara perubahan fizikal badan ayah. Semuanya tinggal tulang! Paling tidak, sebulan lepas saya masih boleh bertanya khabar, tetapi kali ini... Ayah sudah hilang tumpuan, bagaikan hilang deria dan "disconnected" daripada dunia keliling. Melihat kepayahannya untuk bertahan, hati ini bagai disiat-siat. Sifat ayah sudah bertukar kepada sifat seorang kanak-kanak yang memerlukan perhatian khusus. Dia hanya terlantar di atas katil, menanti ketikanya dijemput. Ya Allah, ya tuhanku, Engkau permudahkan segala urusan ayah.

Mengenali ayah, dia seorang yang sangat kuat bekerja, ceria, suka bergurau, suka bercerita dan berfilosopi mudah. Dia seorang suami yang setia, anak yang redha, ayah yang garang dan kelakar, dan seorang kawan yang agak kedekut(hihi). Seluruh hidup ayah tertumpu pada mencari rezeki halal untuk membesarkan kami adik-beradik. Kesusahan lampau membuat ayah sangat prihatin tentang duit dan serba sedikit tentang harta. Kerja keras ayah dan emak selama ini, mereka berjaya memberi kami pelajaran dan harta sekangkang kera buat bekalan kami, anak-anaknya. Ayah juga sepertimana ayah-ayah yang lain, dilewat usianya rajin ke masjid, rajin ke qiamulail, rajin ke kenduri-kendara, rajin melawat anak-cucu. Cuma satu ayah tidak suka, dia tidak suka menunggu orang! Sudah sifat azalinya, maklumlah askar pencen!

Melihat ayah sengsara menantikan ajalnya, buat saya pasrah. Merenung kembali kehidupan ayah selama ini, saya bangga mengatakan ayah seorang lelaki, suami, ayah dan anak yang baik. Tetapi, menyaksikan penderitaannya di hujung perjalanan ini, saya hilang kata-kata, hilang rujukan, hilang kisah tauladan, hilang segalanya. Hanya satu yang saya pinta, moga tuhan permudahkan urusan ayah.

Kata emak, kematian ini ada habuannya masing-masing, seperti juga orang mengandung dan bersalin. Adakalanya senang dan adakalanya susah. Senang atau susah bukan untuk kita menghukum, tetapi menjadi pengajaran pada kita yang masih hidup. Ayah masih bertuah, mempunyai seorang isteri yang taat dan redha, seperti emak. Ayah masih bertuah, ada anak-anak yang berselang-seli pulang ke rumah untuk melawatnya. Di saat ini, ayah mungkin tidak boleh berfikir begitu kerana dia sangat tidak bermaya. Hanya satu saya terfikir, ayah ingin segera menamatkan penantian ini. Dia redha untuk pergi. Kami anak-anaknya pula, seakan redha untuk melepaskan dia pergi. Bila? Tiada sesiapa mampu menjawab. Hanya air mata peneman setia di kala teringatkan ayah, tidak terluah oleh kata-kata, tidak selera untuk membicarakannya. Setiapkali, ada orang bertanya, saya hanya mampu menggeleng kepala dan menukar gear ke topik lain. Ia lebih mudah... berbanding meluahkan sebak di dada, dan ia lebih mudah daripada menahan takungan air di dalam mata.

Ayah tetap akan pergi, kita semua tetap akan pergi. Tetapi, bagaimana dan bila adalah diluar jangkaan kita.

No comments: