Salam semua
Ada kisah terbuku di dalam dada. Sukar untuk diluahkan, apatah lagi untuk dibicarakan kepada umum. Ia seperti membuka pekung di dada. Ia seperti membuka aib sendiri. Ia seperti menanti untuk dihukum, dipancung, disembelih oleh orang keliling yang kurang memahami. Apa pilihan yang dia ada? Berdiam diri dan memendam rasa, sambil mencongak-congak di mana salah dan lompangnya hubungan ini. Pastinya, dia sengsara tetapi tiada tempat untuk berkongsi, tiada telinga yang sudi mendengar tanpa menghukum. Tiba-tiba, dia terbaca sesuatu yang membuat hatinya keriangan.
Keriangan itu bertukar kepada satu perasaan lega yang tidak puas. Masakan boleh puas, hakikatnya dia tidak boleh mengubah apa-apa. Hanya dapat memahami dan berdamai dengan diri sendiri,' rupanya aku tidak keseorangan.' Itu sudah cukup untuk menenangkan hati yang tidak keruan, sekian lama. Sudah cukup untuk membalut luka yang tidak mungkin sembuh. Paling tidak, dia mengaku..."bukan aku sahaja yang mereka-reka cerita, bukan aku sahaja yang bermasalah, bukan aku yang sewel." Tetapi, bagai kata penulis artikel itu, isu ini masih taboo dalam masyarakat. Jika ia masih taboo dalam masyarakat barat, bayangkan pula bagaimana dua kali taboo jika ia diperkatakan dalam masyarakat kita. Kebanyakan orang tanpa usul periksa menunding jari pada kita, bagaikan tidak cukup tanah hendak menyorokkan muka ini. Kata penulis itu lagi, jangan ceritakan kesedihan ini pada sesiapa sahaja yang tidak pernah mengalaminya sendiri. Mereka tidak akan faham, kerat jari ..mereka akan menuduh si pencerita tadi dengan pelbagai panggilan. Kesian, ke mana hendak kita lari? Siapakah yang mampu mendengar? Siapa yang sudi memberi sokongan emosi bagi mengharungi cabaran ini?
Paling tidak, jika suami jahat, isteri boleh meminta cerai! Kawan buat hal, kita boleh lari langkah seribu! Tetapi jika ibu kita tidak seperti "ibu mithali" yang selalu digambarkan dalam artikel-artikel istimewa sempena kemeriahan sambutan Hari Ibu. Apa pilihan yang kita ada? Ironiknya, masyarakat kita boleh pula menerima kewujudan ibu mertua seperti ibu Kasim Selamat, kita boleh gelak keluar air mata menonton wajah bapa mertua si Syawal(kisah Ahmad Albab) tetapi kita akan menyinsing lengan menuduh orang lain anak derhaka, sekiranya dia merungut tentang ibunya sendiri. Ibu bapa pun banyak standard rupanya. Hehehe
Selamat hari ibu yang lalu.
No comments:
Post a Comment