Rindu! Itulah rasanya, sekian lama menyepi daripada mencoret di dalam blog. Bagaikan orang bercinta. Saya tidak sangka, meluahkan coretan di dalam blog juga seakan-akan berkongsi simptom kerinduan yang sama seperti orang bercinta. Haha.
Banyak perkara berlegar-legar, bagaikan ada helikopter nuri di dalam kepala. Satu yang benar-benar mengganggu fikiran ialah perihal anak-anak sekolah. Masih dalam usia muda tetapi kelihatan sedikit terganggu dari segi psikologi, dan ia dimenifestasikan dalam bentuk gaya fikir dan perbuatan. Saya sering meluangkan masa bersembang dengan anak sulung ini. Melalui perbualan, saya boleh mengenali rakan-rakan di dalam kelas yang rapat dengan dirinya. Tetapi, sejak akhir-akhir ini, dia sering membawa balik cerita tentang seorang rakan yang membuatnya "lemas". Lemas dalam erti kata lain, rakan itu membuatnya rimas dan dia seakan-akan sesak nafas kerana sering dibontoti, diganggu, diekori dan di..di..di. Sehinggakan, dia teringin hendak menjadi halimunan apabila ke sekolah, supaya dia tidak diganggu oleh rakan itu. Soalan demi soalan yang saya tanya, jelas tidak menunjukkan rakan itu seorang kaki buli, baik dari segi fizikal mahupun emosi. Sebaliknya, satu tanda jelas yang ada pada rakan itu adalah, dia perlukan perhatian daripada anak ini. Dia ingin anak saya sentiasa menyokongnya dari segi emosi, mendengar luahan hatinya, mendengar rungutannya, membela kekurangannya apabila berhadapan dengan rakan-rakan lain. Dia juga ingin anak ini, berlagak seakan-akan pelindung pada dirinya, menjadi pendengar setianya, sudi berkongsi bahu dengannya, dan apa sahaja yang melibatkan dirinya. Malangnya pula, anak saya yang terkenal dengan sifat introvert, merasakan rakannya itu terlalu "demanding". Dan, dia berusaha melarikan diri!
Sebagai ibu, saya ingin membantu anak ini. Saya selalu bertanyakan perihal rakannya itu. Saya juga sering memberi tips berkawan kepadanya, disamping menasihati dia supaya tidak terlalu "keras" dengan rakan itu. Semalam, terbongkar sedikit demi sedikit, kisah disebalik kebosanan anak bujang ini. Dia menyenaraikan perilaku yang membuat dia rimas dan sesak nafas. Antaranya ialah;
- Rakannya sering mengeluh tentang kekurangan diri.
- Rakannya sering mengimpikan untuk menjadi orang lain yang lebih "bertuah".
- Rakannya suka merungut perihal kekurangan ahli keluarganya.
- Rakannya sering mengatakan dia seorang yang "malang".
- Rakannya sering mengambil hati orang keliling tanpa diminta, tetapi mengeluh kemudiannya.
- Rakannya sering merasakan dirinya dipermainkan, tidak disukai, tidak diberi perhatian.
Sekali pandang, ini adalah masalah biasa pada kebanyakan orang di keliling kita. Cuba bayangkan, budak berusia 10-11 tahun sudah mempunyai masalah begini di dalam kepalanya. Apa yang tidak cukup? Apa yang masih lompang? Makan cukup, malah mewah! Mainan, games, PSP, Wii...sebut sahaja, semuanya ada di depan mata. Berbanding dengan anak saya sendiri, rakannya itu lebih mewah dari segi "harta mainan".
Jika diperhatikan simptom-simptom yang disenaraikan di atas, saya menjangka anak ini adalah sedikit masalah psikologi. Mungkin kita biasa mendengar istilah "attention seeker", apabila seseorang kurang diberi perhatian sewajarnya oleh orang tersayang, seperti ibu dan bapa. Saya tidak berani hendak diagnos secara berlebihan, tetapi melalui pembacaan, anak ini harus diberi intervensi yang sesuai bagi membentuk cara dia berfikir.
Saya dalam misi untuk membantu anak ini, tetapi anak sulung tidak memberi respon yang memuaskan. Sebagai ibu, saya kasihan melihat anak-anak yang kurang mendapat perhatian daripada ibu dan bapa. Tambahan lagi, anak itu adalah rakan anak saya, dan saya sendiri mengenalinya. Dalam misi pertama ini, anak saya sudah tanya beberapa soalan yang berkaitan dengan dirinya, seperti "Adakah awak suka dengan diri sendiri?"
No comments:
Post a Comment