Salam
Pandai orang-orang tua kita dahulu, ungkapan 'diluah mati bapak, ditelan mati emak', benar-benar mencengkam naluri saya pada waktu ini. Tambahan pada ungkapan itu berbunyi...'tidak perlu telan, tidak perlu luah, hanya kulum'. Sampai bila? Selagi terdaya...
Mudah rasanya apabila kita mempunyai pilihan, tetapi tanpa sedar, pilihan membawa kita pada kesudahan berbeza. Kesudahan berbeza, tidak semestinya membawa kita pada akhiran yang didambakan. Ia cuma berbeza tetapi tidak membawa sebarang kebaikan atau 'value added' dalam kehidupan. Mustahil tiada langsung kebaikan, cuma sebagai manusia kita pilih untuk tidak melihat benda tidak disukai dan sering mendambakan sesuatu yang tidak ada. Itulah saya!
Dua tahun lepas, apabila saya mencipta 'pilihan', ia diiringi dengan harapan. Harapan apabila masanya tiba, saya akan pergi meninggalkan segala jenis macam isu yang mencengkam di sini. Malangnya, apabila semakin hampir pada tarikh ketentuan, pilihan itu tidak lagi membawa nafas kelegaan tetapi semakin semput. Pilihan yang dicipta dahulu tidak lagi memberi saya peluang, tetapi laluannya makin sempit dan menyesakkan fikiran.
Dalam situasi begini, saya teringatkan kata-kata seorang sahabat. Seorang wanita berketurunan Filipina, ibu kepada dua orang anak yang seusia anak-anak saya. Kata beliau, "Tanpa pilihan, kita akan berusaha selagi terdaya dalam mencukupkan dan menghasilkan yang terbaik daripada apa yang ada". Itulah prinsip beliau dan ternyata dia gembira dan berpuas hati dengan apa yang dikecapi. Berbeza dengan saya, pilihan yang ada membuat saya sering berfikir dan berfikir dan berfikir, membaling dadu, membuat matriks, membuat SWOT hanya untuk melihat pilihan mana yang lebih menguntungkan. Sahabat saya tidak membuang masa membuat perhitungan seperti itu, tetapi memfokuskan segala usaha yang ada demi matlamat nan satu. Siapa kata, orang yang mempunyai pilihan lebih bahagia berbanding mereka yang tidak mampu mencipta pilihan?
Kita ubah analogi, cuba sorotkan pandangan kita pada dua jenis wanita yang bekerjaya suri. Seorang berpendidikan tinggi, mempunyai kelebihan untuk bekerja di luar rumah dan mempunyai seorang suami yang mampu menanggung dirinya dan seisi rumah. Kedua, seorang suri yang rendah tahap pendidikan, tidak mempunyai kelayakan sewajarnya untuk bekerja dan alhamdullilah, mempunyai seorang suami yang bertanggungjawab melunaskan kewajipan sebagai ketua keluarga. Antara kedua-dua suri ini, mana satukah yang lebih berkonflik? Pengalaman peribadi saya mengatakan, suri kedua lebih tenang hidupnya berbanding suri pertama. Mengapa? Suri kedua tidak perlu membuat analisis SWOT untuk kekal di rumah atau di pejabat sepertimana suri yang mempunyai pilihan. Suri kedua ternyata lebih bahagia berbanding suri pertama kerana pada mereka, dunia mereka hanya satu dan itulah satu-satunya yang memberikan mereka kebahagiaan. Manakala, suri berpendidikan dan berkelayakan sering merasakan sumbangan mereka di rumah masih belum cukup untuk mengesahkan "siapa" diri mereka sebenarnya. Agak lama saya perhatikan fenomena ini dan paling malang, isu-isu ini hanya melekat pada suri yang berpendidikan.
Matlamat ulung kita sebenarnya adalah mencapai kebahagiaan hidup, sama ada di dunia dan di akhirat. Jadi sama ada kita seorang PM, pakar jantung atau seorang guru pencen, matlamat kita tetap sama iaitu mencari bahagia. Tidak wajar sekiranya kita berpendapat suri kedua, iaitu mereka yang rendah tahap pendidikannya tidak mempunyai matlamat tinggi dalam hidup mereka. Tiada guna mempunyai angan-angan setinggi langit tetapi kita tidak bahagia dengan apa yang ada di hadapan mata. Buang masa kita berbolak balik, memikirkan sama ada kita patut berada di mana dan bukan di sini, semata-mata untuk menyedapkan hati dengan harapan kita akan mencapai bahagia. Kebahagian kita sebenarnya ada di hadapan mata, renung mata suami dan anak-anak, ucap syukur dengan apa yang kita miliki dan berusaha untuk terus menyumbang. Sumbangan tidak semestinya dalam bentuk duit tetapi kudrat, kata-kata nasihat dan keprihatinan kita pada orang-orang keliling.
Sekali lagi, saya mampu menulis tetapi sayalah salah seorang suri yang sangat berkonflik. Peringatan untuk diri sendiri, kurangkan syarat untuk kecapi bahagia. Syabas!
No comments:
Post a Comment