Salam semua
Isu menarik hari ini, menarik pada saya tentunya! Bersederhana.
Setiapkali menjengah FB, melihat komen kawan-kawan dalam itu, membuat kepalaku ligat berpikir.
Ligat berpikir dengan komen-komen yang sifatnya terlalu menjurus pada sesuatu sudut. Jangan stress, jangan sedih, jangan murung, mesti positif, mesti tenang, mesti relaks. Orang lain bagaikan tiada masalah menghadam input-input seumpama itu tapi aku? Aku antara seratus yang ada masalah.
Apa maknanya kehidupan jika segala keperluan dan kehendak kita, tersaji di depan mata, antara kata-kata hikmah yang selalu orang ucapkan untuk meredakan kerisauan hati sendiri. Bila kita mendalami makna kehidupan, pendekatan sederhana adalah cara terbaik untuk dipraktikan. Samada kita CEO syarikat multinational, pegawai kerajaan, agen penyiasat Smith seperti dalam kisah Matrix, cikgu sekolah mahupun penganggur; pendekatan bersederhana dalam apa jua yang dilakukan adalah syarat yang menjaminkan kerukunan kehidupan seseorang, ia bagaikan fitrah pada kejadian kita di bumi. Siang bergandingan dengan malam, hujan bergandingan dengan kemarau, panas bergandingan dengan sejuk dan jika mana-mana kejadian itu melampaui fitrahnya, maka akan ada yang menanggung sengsara. Atas paksi kefahaman yang sama, saya cuba soroti perjalanan kehidupan ini.
Sedih, suka, duka, gembira, bersemangat adalah rencah seperti asam garam yang memperisakan kehidupan. Bagaimana mungkin kita menafikan perasaan tersebut atas motto apa sekalipun kita pegang, antaranya kita seorang berfikiran positif, kita berdaya maju, kita seorang yang berjaya atau apa saja. Bila kita menolak semua elemen itu dalam diri seseorang umpama kita menolak fitrah kejadiaan manusia itu sendiri, apakah kita bukan manusia yang mempunyai fitrah? Apa fitrah manusia? Lapar, dahaga, takut; adakah realistik jika kita menasihati seseorang bersedih dengan kehilangan seorang ahli keluarganya dengan berkata, jangan bersedih? Kenapa dia tidak boleh bersedih jika kehilangan orang yang disayangi? Ini melanggar fitrah namanya kecuali jika kita memang membenci seumur hayat orang itu. Apa yang saya cuba ketengahkan disini ialah, apa pun perasaan kita pada waktu dan ketika ini, rasakan dan nikmati sepuasnya. Jika perlu menangis, menangislah sepuasnya selagi ia tidak menaganggu ketenteraman awam. Saya tidak sarankan kita menangis sambil membuang barang dan melemparkan pada orang-orang dikeliling kita, itu bukan fitrah! Apa yang saya cuba jual di sini ialah idea tentang bebanan emosi individu tidak seharusnya kita benamkan ke lubuk jiwa dengan harapan ia akan hilang. Ia mungkin tenggelam tapi tidak akan hilang, realitinya ia akan terus membungkam dalam dasar hati yang paling dalam dan berterusan berada di situ untuk satu ketika dan ia akan timbul semula. Bebanan emosi yang tidak tertahan ini akan membawa pada malapetaka "amuk" yang sangat terkenal dalam kehidupan orang-orang melayu kita.
Jadi satu persepsi yang sering kita salah faham bila melibatkan emosi manusia ini ialah, budaya kita tidak mengiktirafkan kebebasan untuk menzahirkan emosi tersebut. Kita selalu disogokkan dengan idea-idea bahawa mereka yang stress ini tidak harmoni perjalanan hidupnya, tidak disukai, tidak dihormati, tidak dipandang tinggi dalam peradapan manusia moden. Kita lupa bahawa tekanan emosi pada sesuatu ketika dan tempat amat membantu kita dalam menghadapi suasana tertentu (perlu tajuk lain untuk dibincangkan). Jadi pada amatan saya, bukan semua tekanan itu akan membawa malapetaka dan mengundang kebencian orang di keliling kita. Paling penting bagaimana kita menguruskan tekanan emosi tersebut, bagaimana meminimumkan kesannya pada orang keliling. Bukan dengan cara tidak mengiktiraf kehadiran dan kepentingannya, seolah-olah ia kuman pembunuh manusia. Antara lain, di kalangan psikologis juga menyatakan "the right amount of stress will make people more productive", ada orang jadi lebih cemerlang bila berada dalam keadaan tekanan. Jangan lupa satu lagi fakta penting, tekanan juga antara faktor kenapa intan berlian boleh dijumpai di dalam perut bumi. Tekanan luar biasa yang wujud di dalamnya.
Akhir kata, saya petik kata Prof Morrie dalam buku tulisan Mitch, Tuesday with Morrie; bersedihlah bila perlu bersedih, paling penting bagaimana kita bangun daripada kesedihan itu. Masalahnya jika kita pilih bersedih tanpa ada expiry date. At this point the power of positive thinking is absolutely POWERFUL.
wassalam
No comments:
Post a Comment