Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Friday, 25 November 2011

Uncle Steve dan anak kita

Saya malas masak hari ini, lauk semalam pun tidak selera hendak dijamah. Jadi selepas habiskan kerja petang tadi, saya mengajak anak dara tadikaku itu makan di luar. Muka dia ceria tapi ada soalan keluar daripada mulutnya, "Tempat makan tu, ada WIFI tak?". Amboi, macam salah dengar pula, dia bukan tanya makan di mana atau makan apa, tetapi ada WIFI atau tidak! Uncle Steve tentu gembira jika tahu betapa anak-anak kita sungguh sayang dan sukakan dia.

Bercerita tentang teknologi dan anak-anak, merekalah orang yang paling gembira dan paling "advance". Bercerita tentang teknologi, kita sebagai emak dan ayah mengambil kesempatan ini, mengalih tanggungjawab kita pada teknologi pintar untuk mengajar, menemani, bermain dan melayan anak-anak kita. Ia tidak salah, ia sangat menyenangkan tetapi sepertimana biasa, sifat keterlaluan bila tanpa pengawasan akan membawa kesan sampingan pada anak-anak. Ramai mak dan ayah bangga bila bercerita tentang kecerdikan anak-anak bermain dengan teknologi pintar samada iphone, ipad, ipod, galaxy tab...dan macam-macam lagi. Saya tidak menidakkan kecerdikan anak-anak ini, mereka memang lebih "natural" berbanding kita bila bermain dengan teknologi pintar tersebut. Tapi saya prihatin, adakah kepintaran ini akan membawa kebaikan atau keburukkan pada mereka kelak di masa hadapan. Pembacaan saya tentang kerakusan teknologi pintar ini "memandaikan" anak-anak kita mempunyai kesan yang negatif berpanjangan jika tidak dipantau sejak awal. Saya senaraikan kesan-kesan sampingan itu di sini;
  • Mematikan kemahiran komunikasi anak-anak; kemahiran sosial sangat penting pada anak-anak di awal usia mereka di tadika. Jika masa bermain, berseloka, bergaduh dan berebut ini digantikan dengan kehadiran teknologi, anak-anak tidak akan belajar seni berkomunikasi bersama-sama rakan sebaya.
  • Membantotkan kemahiran sosial anak-anak; ambil anak sulung saya sebagai contoh, dengan sifatnya sendiri anti-sosial, pendiam dan "reserve", bagaimana teknologi pintar ini membantu dia bersosial. Setengah daripada kita tidak rasa ia satu kekurangan, tetapi ingat anak kita akan bekerja dengan orang, berkahwin dengan orang dan mempunyai anak yang juga "orang".
  • Meningkatkan risiko kegemukan; anak-anak perlu berlari, bermain bola, bertendangan dan bergusti untuk memantapkan koordinasi tangan dan kaki. Jika masa petang mereka dipenuhi dengan aktiviti pintar ini, mereka akan mudah mendapat habit baru iaitu "berlengkar" dan bukan aktiviti mengeluarkan peluh.
  • Membunuh daya kreativiti dan common sense anak-anak; kemahiran ini perlu dipupuk daripada awal. Malang sekali anak-anak sekarang ternyata bijak tetapi common sense, amat kurang. Tidak semua mak dan ayah sedar tentang kekurangan ini, oleh itu anak-anak perlu didedahkan dengan pengalaman hidup dan perbuatan. Ia tidak tercapai dengan permainan pintar daripada Uncle Steve.
Kesannya pada otak anak-anak lebih menakutkan, ransangan-rasangan yang diterima daripada mainan ini akan membuatkan otak anak ketagih. Apabila otak ketagih, mereka tidak boleh fokus untuk jangka masa yang lama terutama pada kerja-kerja yang memerlukan konsentrasi yang tinggi. Otak yang terbiasa dengan ransangan sukar untuk tenang dan bermuhassabah, dan sukar untuk berfikir. Aktiviti penting otak seperti mengingati, mensintesis, berfikiran kritis datangnya daripada sesi bila otak berasa tenang dan dalam mod berfikir. Bagaimana agaknya, anak-anak akan berasa tenang jika setiasa terdedah pada simulasi permainan ini tanpa kawalan.

Lihat pula pada remaja sekarang, adik-adik dan anak-anak buah di kampung. Perjumpaan hari raya tidak lagi semeriah dulu, masing-masing terlalu sibuk dengan buah tangan Uncle Steve. Tiada sapaan, tiada bualan dan tiada lagi gurauan, masing-masing sibuk dengan buah hati. Pada emak saudara yang menerima kunjungan anak-anak buah yang sibuk dengan buah hati, kadangkala rasa "sakit hati". Apa tidaknya, makanan perlu disediakan, perlu dihidangkan, perlu dijemput, perlu dikemas selepasnya tetapi tetamunya sibuk melayan buah hati. Jika emak dan ayah mereka prihatin, untunglah kita tapi kalau sebaliknya, jadilah pembantu di rumah sendiri. Hahahah!

Jadi masanya sudah tiba, saya ingin keluar makan bersama anak dara ini dan tidak lupa tempat makan berWIFI.

Jumpa lagi

Tuesday, 22 November 2011

Fenomena UPSR

Salam semua

Minta maaf, lambat benar meng"up date" entry kali ini. Sibuk, sangat sibuk! Lelebih lagi dengan anak-anak di rumah.
Cuti sekolah datang lagi, peperiksaan akhir tahun juga berakhir lagi dan anak-anak mendapat keputusan UPSR lagi. Ada yang gembira, ada yang kecewa dan ada yang marah-marah sebab turun ke kelas belakang. Fenomena biasa di akhir tahun, tiap-tiap tahun tidak berubah, yang berubah cuma mereka yang mengambil peperiksaan UPSR, mereka yang mendapat keputusan baik dan mereka yang turun ke kelas belakang. Tidak perlu meremehkan perasaan anak-anak gembira kerana mendapat keputusan baik dalam UPSR, jangan "chandek" anak-anak yang kecewa jika keputusan itu tidak menyebelahi mereka. Maklumlah, masa hendak buat persiapan dulu, bukan main culas lagi tetapi bila mendapat keputusan, sedihnya tidak terkata! Dia bertawakal sebelum bersiap sedia untuk ke medan perang. Hehe! Dan jangan padankan anak-anak yang terpaksa turun kelas. Banyak pengalaman hidup di situ jika kita ingin memperkayakan kehidupan mereka.

Kita sebagai ibu, apabila anak mendapat keputusan cemerlang dalam apa jua peperiksaan, bangganya bukan main! Bukan salah kita pun, segala titik peluh menjadi supir anak bagaikan terbalas selama ini dengan ketulan-ketulan A yang diraih oleh mereka. Nak-nak lagi jika ibu seorang surirumah yang tidak mempunyai penilaian lain dalam kerjaya dia sebagai ibu, melainkan prestasi anak-anak. Kejayaan anak-anak bagaikan kejayaan dia mendapat bonus 12 bulan, senyum meleret sampai ke dapur. Tidak salah untuk merasa apa pun, hak kita! Dalam kegembiraan, kedukaan, kemasaman dengan keputusan anak-anak ini, jangan lupa, hidup anak-anak ini masih panjang. Kecewa itu boleh, tetapi jangan membantotkan daya perjuangan anak-anak. Marah pun boleh, tetapi jangan sampai melabel anak-anak dengan panggilan luar biasa. Gembira sangat pun boleh maklumlah kita supir pada mereka, tetapi jangan sampai menelefon semua orang semata-mata nak berkongsi kisah kecemerlangan anak kita. Simpan sedikit kisah gembira itu pada hari-hari duka, simpan sedikit kisah murung itu pada hari gembira dan simpan sikit marah itu pada hari-hari anak kita merangkul kejayaan luar biasa kelak, mungkin 10 tahun daripada sekarang.

Sebagai ibu, saya akui ia bukan perkara yang mudah untuk dilaksanakan. Saya berpengalaman melihat ibu yang tidak habis-habis bercerita tentang kecemerlangan anak-anak hingga satu masa, kisahnya terbalik. Saya pernah melihat bagaimana ibu yang sentiasa berhati-hati ingin bercerita kerana bimbang ibu lain terguris, anak-anak dia berjaya bukan setakat UPSR, malah PMR dan SPM tetapi hingga ke BTU dan ATU. Jadi, solusi saya dalam isu-isu begini, bukan tidak boleh bercerita tetapi berceritalah pada mereka, yang kita kenal hati budi mereka. Orang yang sanggup berkongsi suka duka kisah anak kita, boleh mengucap tahniah pada kelebihan orang lain. Jika kita tidak pernah mengambil tahu, tidak pernah berkongsi cerita, tiba-tiba bil telefon kita melambung apabila anak mendapat 5A dalam UPSR. Fikir sendirilah bagaimana perasaan orang-orang yang menerima panggilan kita. Tidak perlu menjadi saintis roket untuk mengetahuinya.

Pada saya yang masih belum ada anak-anak yang mengambil UPSR, saya lebih suka mengambil sikap "mendengar" daripada bertanya. Jika ada yang sudi berkongsi, saya ucapkan tahniah, tidak kisahlah berapa ketul A yang dirangkul. Pada anak-anak buah, maksudnya dalam likungan ahli keluarga, saya sendiri akan bersembang dengan mereka dan biasanya, tanpa segan mereka akan berkongsi. Pada kawan-kawan yang tidak mahu berkongsi, saya tidak bertanya dan jika jawapan mereka "ada...lah", jangan didesak. Berilah ruang pada mereka sebagaimana kita memerlukan ruang apabila mendapat D dalam subjek statistik. Muahahahah.

Sunday, 13 November 2011

Yuna....kenapa Yuna?

Salam

Malam minggu yang tenang. Baru selesai menonton AIM, lagu kesukaan saya memang trofi! Dalam ramai-ramai penyanyi baru dalam persada seni, saya tertarik dengan kemunculan Yuna. Seorang gadis manis bertudung, ada personaliti, ada keunikkan tersendiri dan ramai juga peminatnya. Seikhlasnya, saya bukan peminat Yuna, saya tidak serasi dengan muzik yang dibawa olehnya,dan saya tidak pernah mendengar lagu di dalam album yang dimenanginya malam ini. Saya baru tahu, tajuk album yang beliau menang malam ini ialah PENAKUT. Dan paling penting dia MENANG! Anak sulung saya seperti biasa akan bertanya soalan, "Kenapa Yuna?"

Kenapa Yuna, kenapa Siti Nurhaliza, kenapa Shiela Majid, kenapa arwah Tan Sri P. Ramlee? Jawapan saya pada anak itu,"Sebab Yuna unik,... sebab P.Ramlee unik!" Dunia dan manusia mengagungkan mereka yang unik. "Unik yang bagaimana?", tanyanya lagi."Unik sebagaimana kita diciptakan oleh Allah maha esa". Entah faham atau tidak anak itu, tapi yang pasti soalan ini akan ada sambungannya kelak.

Kita semua unik, sedarkah kita? Kita selalu impikan diri ini menjadi orang lain, seronoknya kalau dapat menjadi seperti Yuna, Paris Hilton atau Anwar Zain. Sedarkah kita kenapa Anwar Zain unik, lagu-lagunya pun unik? Jawapannya kerana dia tidak cuba meniru menjadi M.Nasir, sebab dia kenal dirinya dan kekuatan vokal yang dianugerahkan padanya. Bila seseorang individu tidak melawan fitrah kejadiannya, harmoni itu akan datang dengan sendiri. Ia mengambil masa untuk orang-orang keliling mengiktirafkan keunikkan tersebut, tapi yang pasti dialah THE ONE and ONLY.

Lihat pada anak-anak kita, mereka juga unik dengan cara mereka tersendiri. Tugas kita berat untuk mencukil keunikkan tersebut dan ia mengambil masa yang lama dalam pelaburan jangka panjang, sebelum kita boleh menuai hasil. Sabarkah kita untuk meneroka keunikkan itu? Sabarkah kita untuk melabur masa dan tenaga pada mereka, supaya keunikkan itu terserlah? Jawapannya, kadang-kadang sabar dan kadang-kadang, kita hendak mereka menjadi sepertimana anak-anak lain. Kita membandingkan mereka tanpa sedar, kenapa dia tidak macam itu, tidak macam ini seperti anak-anak lain di keliling. Tanpa sedar kita bunuh keunikkan anak-anak ini sebagaimana kita bunuh angan-angan mereka. Kejamkah kita?

Kita suruh anak-anak berjaya di sekolah, berminat dengan mata pelajaran sains dan matematik. Kita seksa mereka hingga habis SPM, hahahaha! Alih-alih anak baru menemukan keunikkan mereka di bengkel kereta dan litar Sepang, ingin menjadi pemandu Formula One, atau penunggang GP Superbike. Sedangkan anak-anak dari negara lain sudah mula naik tangga podium di awal usia 18  tahun. Bagaimanakah agaknya, untuk kekalkan keunikkan anak-anak ini hingga dia berjaya ke podium? 

Saya tidak ada jawapan pada persoalan ini, yang pasti Yuna memang unik. Disebabkan keunikkan itulah, dia berjaya sepertimana individu-individu lain yang juga unik. SyabasYuna!!

Soalan terakhir daripada mulut seksi anak itu, "Kenapa ada orang unik masa kecil dan ada, bila dah tua?". Jawapan saya, "Itu namanya LATE BLOSSOM".  Kita akan bersambung di lain masa, kenapa ada orang dikenali sebagai late blossom.

Selamat malam.

Thursday, 10 November 2011

Seumur hidup di situ....

Image google
Salam

"...sebab itulah dia jadi maid!!", pernah atau tidak kita mendengar komen seperti ini? "Padanlah dia menjadi pak guard yang membuka palang pagar, kalaulah dia boleh berfikir macam awak, sudah tentu dia menjadi CEO, mnc."

Ada orang kata, pekerja asing yang datang ke negara kita ada pelbagai peringkat dan peringkat yang paling bawah adalah mereka yang bekerja di stesyen pam minyak kerana mereka tidak ada keupayaan untuk berinteraksi mahupun memberi maklumbalas kecuali pada dua perkataan mudah iaitu "kuning" atau "hijau". Pertama kali mendengar komentar begini, rasa kelakar tapi jika tidak percaya, cubalah! Dalam masam kelat terpaksa juga ditelan realiti ini. Paling tidak, mereka adalah rakyat asing yang kurang serba serbi  berbanding kita di sini, maklumlah bahasa dan budaya berbeza tetapi jika rakyat kita sendiri pun sedemikian rupa. Apa masalah, sebenarnya?

Hampir setengah jam menunggu untuk menghantar surat, hanya satu kaunter berbuka. Jika seorang pekerja dan satu kaunter berbuka, boleh juga diterima akal tetapi jika tiga orang kerani tetapi satu kaunter berbuka, apa masalahnya? Tiga orang pekerja, satu kaunter berbuka masih boleh diterima akal ,sekiranya dua orang lagi sibuk membuat kerja-kerja lain. Jika seorang pekerja dengan muka selamba tanpa rasa bersalah melihat pelanggan semakin ramai beratur,  tetapi masih tidak mengambil inisiatif lebih daripada biasa, hanya melihat dan duduk diam di situ sambil menunggu komputernya dibaiki( mungkin), apa yang tidak kena?

Saya bertanyakan soalan ini pada anak? Dia menjawab, "Takpelah...dia menunggu komputernya dibaiki!" Tidak salah jawapan anak ini, cuma saya rasa kalau kerani itu boleh pergi "extra mile", ambil inisiatif untuk menjadi lebih daripada kerani biasa-biasa,  pasti bukan di situ tempat dia, selamanya! Suka atau tidak, hanya orang-orang yang suka mengambil "extra mile" saja yang akan berjaya di dunia mahupun di akhirat. Kejayaan kita berbayar dengan titik peluh dan kerja kuat, sedikit bonus jika disertai dengan akal fikiran yang sihat dan bijak.

Anak berusia 10 tahun mungkin tidak akan faham tetapi pada orang bekerja, perkara ini bukan isu baru. Kerani menjaga kaunter adalah pekerjaan tetapi keprihatinan dan timbang rasa membezakan kita daripada menjadi kerani biasa-biasa. Susah benarkah hendak bertanya pada pelanggan yang berbaris panjang? Sesiapa yang hendak membeli setem, tidak perlu berbaris kerana tiada keperluan berkaitan komputer. Memilih untuk menjadi kerana biasa-biasa, kita hanya akan menunggu hingga komputer selesai dibaiki tetapi memilih menjadi kerani yang mempunyai akal timbang rasa dan "cerdik" sedikit akan membawa kita jauh dalam kerjaya, walaupun kerjaya kita hanya biasa-biasa. Benar, bagai kata anak ini, menjadi luar biasa itu susah kerana perlu mengambil inisiatif dan menyusahkan badan. Benar juga jawapan bapa ini pada anaknya, "Ingat syurga itu tidak ada harga yang perlu dibayar, siapa kata mudah untuk dapat syurga?"

Cuba fikir balik, kenapa dia menjadi pembantu rumah? Ramai majikan tidak faham dan sering mengadu perihal pembantu rumah yang tidak boleh berfikir walaupun isu-isu sampah. Jawapan saya, sebab dia pembantu rumah! Keupayaan dan tahap pemikiran dia melayakkan dia menjadi pembantu rumah. Jika dia boleh berfikir seperti kita atau Robert Kiyoski, adakah dia akan menjadi pembantu rumah? Jawab sendirilah.

Berbalik pada isu yang membuat hati ini membara, apalah salahnya jika seorang kerani mampu berfikir lebih daripada biasa, ambil inisiatif untuk membantu pelanggan yang datang ke kaunter. Saya menunggu setengah jam hanya untuk harga setem seringgit, ia sangat tidak berbaloi. Dia tidak bertanya, sesiapa yang hendak membeli setem tetapi saya yang pergi kepadanya dan bertanya, perlukah saya beratur jika bukan untuk membayar bil? Tanpa jawapan, tanpa senyum, dia memberi setem seringgit kepada saya. Dalam hati tetap berkata, sampai bila-bilalah dia akan menjadi kerani kaunter. Bukan niat saya, memperkecilkan pekerjaan kerani tetapi pembawakan diri yang akan menentukan destinasi kita kelak. Tiada beza dengan mereka yang berjawatan hebat di luar sana, bak kata-kata orang cerdik pandai ...  
 "Your attitude can determine your altitude." - Zig Ziglar

Pengalaman hidup di negara maju, Switzerland. Saya mengambil masa 5 minit, tidak lebih jika memasuki pejabat pos mereka. Lima minit, tidak lebih dan bas akan tiba di depan pejabat pos, tidak pernah sekalipun saya ditinggal oleh bas. Jika ada orang bertanya, apa perbezaan ketara antara negara maju dan negara kurang maju? Jawapan saya ialah "orang-orangnya".
Soalan saya pada seseorang, "Bolehkah negara China menjadi Amerika dalam masa 20 tahun akan datang?", jawapannya "Tidak, kerana orang-orang China bukan seperti orang-orang Amerika." 

Hahaha, jawapannya tetap pada "orang".





Tuesday, 8 November 2011

Que sera sera atau carpe diam



Salam semua

Baru balik bercuti, terlupa hendak mengucapkan selamat hari raya aidiladha. 
Selamat hari raya korban pada semua pembaca blog ini. Semoga perayaan ini mengukuhkan tali persaudaraan kita sekeluarga.
Balik ke kampung dan berjumpa dengan sanak saudara, berbagai-bagai kisah keluar, warna-warni bagaikan pelangi menghiasi kehidupan ini. Disampaikan oleh ibu mertua, cucunya yang seorang itu masih tidak mahu bekerja walaupun ada tawaran di depan mata. "Suka duduk di rumah," kata anak itu tanpa sebab-sebab lain yang sedikit munasabah.  Maklumbalas itu mengundang rasa kecewa pada kedua ibubapanya dan marah dengan sikap anak dewasa tersebut.

Marah bukan lagi satu pilihan di waktu ini, rasanya! Bila disusuri kehidupan anak itu, tiada sedetik di sepanjang perjalanan hidupnya , dia digesa atau dituntut untuk membuat sesuatu. Que sera sera , kata orang putih berketayap putih.

Filosopi hidup que sera sera ada di mana-mana saja jika diperhatikan. Saya pun sukakan filosopi ini, senang bukan? Tidak perlu sesakkan fikiran, tidak perlu susah payah, apalah sangat nak dikejar dalam kehidupan ini, ada ada , tidak ada, tidak ada lah...tak perlu sakit kepala! Kepala tidak beruban, dahi pun tidak berlapis empat. Senyum meleret sebab hati senang, cukup makan, cukup tidur...apa lagi kita minta?
Bayangkan saja jika seumur hidup begini kita melayari kehidupan, tiba-tiba digesa suruh bekerja, tiba-tiba hendak dikerah tenaga anak supaya "seize the day". Apa jawapan mereka pada kita kelak? "Alaaa...tak kerja sekalipun, saya cukup makan dan cukup pakai, jadi kenapa susah payah nak suruh saya kerja?" 

Menakutkan jika memikirkan kemungkinan-kemungkinan sebegini.

Berlawanan dengan filosopi que sera sera ialah carpe diam atau seize the day. Orang sebegini hidup bagaikan tidak cukup 24 jam dalam sehari, berkejar, berlari, ber...,ber..., ber...Mereka melakukan sesuatu bagaikan tiada hari esok, mereka letak sasaran tinggi dalam hidup, tanpa henti mereka mengejar impian ,mereka mengejar peluang, mereka berhenti bila nafas terhenti.

Antara kedua-dua filosopi ini, di manakah kita? Apakah filosopi yang kita cuba serapkan dalam fikiran anak-anak? Tiada salah atau benar dalam pilihan yang kita lakukan, cuma kesudahan itu tentunya berbeza. Apa pun pilihan tetap di tangan kita, jadi kita semua ada peluang yang sama.

Pada saya, pendekatan mana pun yang kita pilih banyak berkait dengan cara kita dibesarkan dan karektor empunya diri. Ada anak yang tidak perlu disuruh, dia tahu apa yang dicari dalam hidup ini tetapi hendak pukul rata semua anak tahu apa yang diimpikan, tidaklah benar sama sekali. Jadi sebagai ibubapa kita perlu tunjukkan cara dan dedahkan kedua-dua filosopi ini pada mereka. Ada masanya, anak-anak perlu digesa supaya melakukan sesuatu dan  biarkan mereka rasa nikmat mendapat sesuatu, hasil daripada keringat dan susah payah mereka sendiri. Ada masanya, anak perlu diajar untuk menghargai apa saja yang mereka ada di depan mata, tanpa syarat yang berjela. Bak kata saya dalam entri terdahulu, bahagia sebenarnya adalah tanpa syarat. Lagi banyak syarat yang kita letak di dalam senarai untuk mencapai kebahagian, lagi lambatlah kita bahagia dan di sinilah hidup berfilosopikan que sera sera adalah paling ideal.

Bagaimana kesudahan kisah anak dewasa yang enggan bekerja itu? Jawapan saya, nasib baik dia seorang perempuan, tunggu saja dipinang orang. Hehehe.