Image google |
Salam
"...sebab itulah dia jadi maid!!", pernah atau tidak kita mendengar komen seperti ini? "Padanlah dia menjadi pak guard yang membuka palang pagar, kalaulah dia boleh berfikir macam awak, sudah tentu dia menjadi CEO, mnc."
Ada orang kata, pekerja asing yang datang ke negara kita ada pelbagai peringkat dan peringkat yang paling bawah adalah mereka yang bekerja di stesyen pam minyak kerana mereka tidak ada keupayaan untuk berinteraksi mahupun memberi maklumbalas kecuali pada dua perkataan mudah iaitu "kuning" atau "hijau". Pertama kali mendengar komentar begini, rasa kelakar tapi jika tidak percaya, cubalah! Dalam masam kelat terpaksa juga ditelan realiti ini. Paling tidak, mereka adalah rakyat asing yang kurang serba serbi berbanding kita di sini, maklumlah bahasa dan budaya berbeza tetapi jika rakyat kita sendiri pun sedemikian rupa. Apa masalah, sebenarnya?
Hampir setengah jam menunggu untuk menghantar surat, hanya satu kaunter berbuka. Jika seorang pekerja dan satu kaunter berbuka, boleh juga diterima akal tetapi jika tiga orang kerani tetapi satu kaunter berbuka, apa masalahnya? Tiga orang pekerja, satu kaunter berbuka masih boleh diterima akal ,sekiranya dua orang lagi sibuk membuat kerja-kerja lain. Jika seorang pekerja dengan muka selamba tanpa rasa bersalah melihat pelanggan semakin ramai beratur, tetapi masih tidak mengambil inisiatif lebih daripada biasa, hanya melihat dan duduk diam di situ sambil menunggu komputernya dibaiki( mungkin), apa yang tidak kena?
Saya bertanyakan soalan ini pada anak? Dia menjawab, "Takpelah...dia menunggu komputernya dibaiki!" Tidak salah jawapan anak ini, cuma saya rasa kalau kerani itu boleh pergi "extra mile", ambil inisiatif untuk menjadi lebih daripada kerani biasa-biasa, pasti bukan di situ tempat dia, selamanya! Suka atau tidak, hanya orang-orang yang suka mengambil "extra mile" saja yang akan berjaya di dunia mahupun di akhirat. Kejayaan kita berbayar dengan titik peluh dan kerja kuat, sedikit bonus jika disertai dengan akal fikiran yang sihat dan bijak.
Anak berusia 10 tahun mungkin tidak akan faham tetapi pada orang bekerja, perkara ini bukan isu baru. Kerani menjaga kaunter adalah pekerjaan tetapi keprihatinan dan timbang rasa membezakan kita daripada menjadi kerani biasa-biasa. Susah benarkah hendak bertanya pada pelanggan yang berbaris panjang? Sesiapa yang hendak membeli setem, tidak perlu berbaris kerana tiada keperluan berkaitan komputer. Memilih untuk menjadi kerana biasa-biasa, kita hanya akan menunggu hingga komputer selesai dibaiki tetapi memilih menjadi kerani yang mempunyai akal timbang rasa dan "cerdik" sedikit akan membawa kita jauh dalam kerjaya, walaupun kerjaya kita hanya biasa-biasa. Benar, bagai kata anak ini, menjadi luar biasa itu susah kerana perlu mengambil inisiatif dan menyusahkan badan. Benar juga jawapan bapa ini pada anaknya, "Ingat syurga itu tidak ada harga yang perlu dibayar, siapa kata mudah untuk dapat syurga?"
Cuba fikir balik, kenapa dia menjadi pembantu rumah? Ramai majikan tidak faham dan sering mengadu perihal pembantu rumah yang tidak boleh berfikir walaupun isu-isu sampah. Jawapan saya, sebab dia pembantu rumah! Keupayaan dan tahap pemikiran dia melayakkan dia menjadi pembantu rumah. Jika dia boleh berfikir seperti kita atau Robert Kiyoski, adakah dia akan menjadi pembantu rumah? Jawab sendirilah.
Berbalik pada isu yang membuat hati ini membara, apalah salahnya jika seorang kerani mampu berfikir lebih daripada biasa, ambil inisiatif untuk membantu pelanggan yang datang ke kaunter. Saya menunggu setengah jam hanya untuk harga setem seringgit, ia sangat tidak berbaloi. Dia tidak bertanya, sesiapa yang hendak membeli setem tetapi saya yang pergi kepadanya dan bertanya, perlukah saya beratur jika bukan untuk membayar bil? Tanpa jawapan, tanpa senyum, dia memberi setem seringgit kepada saya. Dalam hati tetap berkata, sampai bila-bilalah dia akan menjadi kerani kaunter. Bukan niat saya, memperkecilkan pekerjaan kerani tetapi pembawakan diri yang akan menentukan destinasi kita kelak. Tiada beza dengan mereka yang berjawatan hebat di luar sana, bak kata-kata orang cerdik pandai ...
"Your attitude can determine your altitude." - Zig Ziglar
Pengalaman hidup di negara maju, Switzerland. Saya mengambil masa 5 minit, tidak lebih jika memasuki pejabat pos mereka. Lima minit, tidak lebih dan bas akan tiba di depan pejabat pos, tidak pernah sekalipun saya ditinggal oleh bas. Jika ada orang bertanya, apa perbezaan ketara antara negara maju dan negara kurang maju? Jawapan saya ialah "orang-orangnya".
Soalan saya pada seseorang, "Bolehkah negara China menjadi Amerika dalam masa 20 tahun akan datang?", jawapannya "Tidak, kerana orang-orang China bukan seperti orang-orang Amerika."
Hahaha, jawapannya tetap pada "orang".
No comments:
Post a Comment