Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Tuesday, 22 November 2011

Fenomena UPSR

Salam semua

Minta maaf, lambat benar meng"up date" entry kali ini. Sibuk, sangat sibuk! Lelebih lagi dengan anak-anak di rumah.
Cuti sekolah datang lagi, peperiksaan akhir tahun juga berakhir lagi dan anak-anak mendapat keputusan UPSR lagi. Ada yang gembira, ada yang kecewa dan ada yang marah-marah sebab turun ke kelas belakang. Fenomena biasa di akhir tahun, tiap-tiap tahun tidak berubah, yang berubah cuma mereka yang mengambil peperiksaan UPSR, mereka yang mendapat keputusan baik dan mereka yang turun ke kelas belakang. Tidak perlu meremehkan perasaan anak-anak gembira kerana mendapat keputusan baik dalam UPSR, jangan "chandek" anak-anak yang kecewa jika keputusan itu tidak menyebelahi mereka. Maklumlah, masa hendak buat persiapan dulu, bukan main culas lagi tetapi bila mendapat keputusan, sedihnya tidak terkata! Dia bertawakal sebelum bersiap sedia untuk ke medan perang. Hehe! Dan jangan padankan anak-anak yang terpaksa turun kelas. Banyak pengalaman hidup di situ jika kita ingin memperkayakan kehidupan mereka.

Kita sebagai ibu, apabila anak mendapat keputusan cemerlang dalam apa jua peperiksaan, bangganya bukan main! Bukan salah kita pun, segala titik peluh menjadi supir anak bagaikan terbalas selama ini dengan ketulan-ketulan A yang diraih oleh mereka. Nak-nak lagi jika ibu seorang surirumah yang tidak mempunyai penilaian lain dalam kerjaya dia sebagai ibu, melainkan prestasi anak-anak. Kejayaan anak-anak bagaikan kejayaan dia mendapat bonus 12 bulan, senyum meleret sampai ke dapur. Tidak salah untuk merasa apa pun, hak kita! Dalam kegembiraan, kedukaan, kemasaman dengan keputusan anak-anak ini, jangan lupa, hidup anak-anak ini masih panjang. Kecewa itu boleh, tetapi jangan membantotkan daya perjuangan anak-anak. Marah pun boleh, tetapi jangan sampai melabel anak-anak dengan panggilan luar biasa. Gembira sangat pun boleh maklumlah kita supir pada mereka, tetapi jangan sampai menelefon semua orang semata-mata nak berkongsi kisah kecemerlangan anak kita. Simpan sedikit kisah gembira itu pada hari-hari duka, simpan sedikit kisah murung itu pada hari gembira dan simpan sikit marah itu pada hari-hari anak kita merangkul kejayaan luar biasa kelak, mungkin 10 tahun daripada sekarang.

Sebagai ibu, saya akui ia bukan perkara yang mudah untuk dilaksanakan. Saya berpengalaman melihat ibu yang tidak habis-habis bercerita tentang kecemerlangan anak-anak hingga satu masa, kisahnya terbalik. Saya pernah melihat bagaimana ibu yang sentiasa berhati-hati ingin bercerita kerana bimbang ibu lain terguris, anak-anak dia berjaya bukan setakat UPSR, malah PMR dan SPM tetapi hingga ke BTU dan ATU. Jadi, solusi saya dalam isu-isu begini, bukan tidak boleh bercerita tetapi berceritalah pada mereka, yang kita kenal hati budi mereka. Orang yang sanggup berkongsi suka duka kisah anak kita, boleh mengucap tahniah pada kelebihan orang lain. Jika kita tidak pernah mengambil tahu, tidak pernah berkongsi cerita, tiba-tiba bil telefon kita melambung apabila anak mendapat 5A dalam UPSR. Fikir sendirilah bagaimana perasaan orang-orang yang menerima panggilan kita. Tidak perlu menjadi saintis roket untuk mengetahuinya.

Pada saya yang masih belum ada anak-anak yang mengambil UPSR, saya lebih suka mengambil sikap "mendengar" daripada bertanya. Jika ada yang sudi berkongsi, saya ucapkan tahniah, tidak kisahlah berapa ketul A yang dirangkul. Pada anak-anak buah, maksudnya dalam likungan ahli keluarga, saya sendiri akan bersembang dengan mereka dan biasanya, tanpa segan mereka akan berkongsi. Pada kawan-kawan yang tidak mahu berkongsi, saya tidak bertanya dan jika jawapan mereka "ada...lah", jangan didesak. Berilah ruang pada mereka sebagaimana kita memerlukan ruang apabila mendapat D dalam subjek statistik. Muahahahah.

No comments: