Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Friday, 30 March 2012

Standard seorang suri

Salam

Apabila sebut tentang anak kecil, mereka ada standard tersendiri. Comel, comot, nakal, lincah dan pemalu. Apabila berfikir tentang mereka yang bekerjaya, tentu tergambar pakaian kemas, berjenama, sedondon dan wangi. Apabila terpacul perkataan suri rumah, ramai tidak mungkin lari daripada imbasan baju kelawar, bedak sejuk dan mulut " si joyah". Betul atau tidak?

Standard atau karektor ini memberi gambaran, kadangkala jauh tersasar daripada diri kita yang bergelar suri. Tetapi, rata-rata masih mempunyai set fikiran yang sama walaupun zaman sudah berubah. Saya tidak kisah dengan apa yang dipakai oleh suri, tetapi saya berminat mendalami cara fikir mereka yang bergelar suri. Ramai kenalan dan kawan saya daripada golongan ini, mereka berbeza bergantung pada cara berfikir, dan mungkin juga pada tahap pendidikan. Jika hendak ditafsir daripada gaya hidup, secara kasar mereka ini lebih bertuah berbanding sebilangan wanita-wanita lain yang keluar bekerja untuk mencukupkan keperluan atau terpaksa membayar hutang pelajaran. Mereka mampu memandu kereta "import", berspa, berstarbuck, bercuti dan lain-lain ber...! 

Satu isu menarik minat saya, kebanyakan daripada suri ini meletak "standard" mereka, bukan pada benda-benda material seperti kereta, baju, rumah(walaupun ada) tetapi pada "anak-anak" dan "suami". Pemerhatian ini mungkin dari golongan suri mampu, jadi saya tidak boleh pukul rata semua suri sebegini. Ada juga suri seperti dalam cereka swasta, yang melaram dari hujung rambut hingga hujung kaki tetapi anak-anak dan suami, leka terbiar. Saya dikelilingi oleh suri-suri mampu, dan mensasarkan anak-anak dan suami sebagai simbol kejayaan mereka dan lambang "ketokohan" mereka menjadi suri. Apa maksudnya itu?

Sepertimana kita selalu dengar, orang membuat komen, "Padanlah cerdik, anak cikgu!" "Patutlah cantik dan kemas, emaknya suri." "Hari-hari bawa bekal, iyalah, maknya kan suri?" Biasakan dengan komen-komen seperti ini. Seolah-olah anak-anak bermak suri, ada standard yang melekat bersamanya. Bagus sebenarnya, secara tidak sedar, masyarakat mengiktiraf juga golongan ini. Secara tidak langsung, ahli keluarga dan anak-anak yang mempunyai ibu seorang suri, berada dalam pakej kehidupan yang terjaga. Baik dari segenap segi seperti pendidikan, keselamatan dan pemakanan.

Malangnya pada suri, kita menjadi terlalu "ketat" dengan standard yang dipegang dan dijulang selama ini. Haruskah rumah suri seperti "show room" di tapak jualan rumah? Sentiasa berkemas 24 jam, 7 hari seminggu? Salahkah suri, jika kita tiada mood untuk memasak dan bangun awal pagi untuk menyiapkan bekal anak-anak bersekolah? Salah surikah, jika suami kita tidak sekemas suami orang lain? Salah surikah, jika suaminya bersarapan di luar rumah? Adakah anak-anak suri, semestinya skor dalam setiap peperiksaan di sekolah? Hanya kerana alasan, ibunya seorang suri dan "banyak" masa di rumah. Penatkan!

Betul juga rasanya, apa lagi kayu pengukur kejayaan suri jika bukan pada rumahnya, yang sentiasa tip-top bersih. Apa lagi standard kemajuan suri jika tidak pada, kemajuan dan kejayaan anak-anaknya di sekolah. Apa lagi bonus suri, jika anak-anaknya tidak mendapat berketul-ketul A dalam setiap peperiksaan yang diambil. Suri juga dahagakan "pencapaian" sepertimana orang bekerjaya. Suri juga perlukan "pengiktirafan" sebagaimana pekerja terbaik mendapat kepujian dan bonus tahunan. Mana lagi sasaran suri jika bukan pada tip-top masakannya, kecanggihan anak-anaknya, kehenseman suaminya, kerapian rumah dan pokok bunganya?

Malangnya, saya juga tidak terkecuali dalam permainan emosi ini. Saya masih dahagakan pencapaian dalam kehidupan ini, tetapi rumah, suami dan anak-anak bukan sasarannya. Saya lebih suka larikan diri daripada "kongkongan standard" seorang suri. Saya tidak gemar berwindow shopping, berinternet shopping, berhias rumah, menjadi tukang masak sepenuh masa, tukang itu, tukang ini dan macam-macam lagi. Saya jalankan tugas seorang suri, sekadarnya, dan tidak ada standard. Saya bebas mengejar cita-cita sendiri, saya bebas memilih kursus kemahiran diri dan saya bebas menghabiskan masa mengikut kegemaran seperti membaca, menonton dan menulis. Anak-anak dan suami? Benar, saya bertanggungjawab meringankan rutin harian mereka kerana saya seorang suri, tetapi saya tidak sandarkan "kejayaan" individu pada mereka. Kesannya, saya tidak mudah melompat jika anak-anak tidak mendapat skor selain A dalam peperiksaannya. Saya tidak rasa tercabar, jika kawan-kawan bertanya, "Eh, tak masak ke hari ini?" Saya tidak berkecil hati jika ibu mertua saya bertanya soalan-soalan "menyibuk", hahahahah...

Pastinya, saya masih menyidai baju, membasuh, menggosok sepertimana suri-suri lain tetapi saya juga "out source" kerja-kerja rutin itu, seperti menghantar dobi, menggalakkan anak-anak menjadi "wonder pet", membuat jadual pada suami untuk "mengilap" dapur. Saya tidak ambil tugas-tugas ini secara eksklusif dan menyandarkan "ketokohan" saya sebagai seorang suri pada kerja-kerja seperti ini. Ini adalah kerja-kerja "wonder pet", semua ahli keluarga harus bersama-sama menjayakannya, kan...?

Tuesday, 27 March 2012

Terukir di hati...

Web courtesy
Salam semua

Suka benar saya mendengar alunan lagu Yuna yang terbaru, Terukir di bintang. Berhajat untuk diabadikan di dalam blog ini sebagai muzik latar, tetapi kurang arif pula, di mana patut saya tempel lokasi youtube itu. Masih perlu belajar untuk memajukan diri, insyaAllah.

Melayan youtube Yuna, berlatarbelakang satu tempat percutian unik di dunia, Venice, Italy. Ia bagai menggamit memori indah saya, ketika berada di lokasi tersebut. Memang benar, Venice adalah sebuah bandar tua, klasik dan unik, terletak di perairan laut sebuah negara terkenal dengan barangan kulit atau motor berkuasa tingginya Ducati, itulah Italy. Dalam banyak-banyak lokasi percutian indah dan romantik, selain daripada Paris yang sangat terkenal itu, secara peribadi saya memilih Venice. Ia adalah salah satu lokasi percutian yang terukir di hati saya, dan masih...

Venice unik disebabkan oleh lokasi, aura, air, muzik, makanan dan mood yang diadun indah dan serasi dengan jiwa saya. Berteksikan feri untuk melompat dari satu tempat ke satu yang tempat lain, bukanlah satu pengalaman yang boleh kita kutip di mana-mana saja, melainkan di Venice(salah satunya, mungkin!). Ia bagaikan satu pengangkutan normal, walaupun rasa hati ini berdebar-debar apabila melangkah masuk, ala-ala melompat ke dalam feri. Adakah ia selamat, adakah air ini dalam, bagaimana kalau terjatuh ke dalamnya? Berbagai-bagai soalan menerjah masuk ke dalam minda, tetapi sebaik saja kita berada di dalam feri itu, segala ketakutan hilang. Beralunkan ombak dan bunyi feri membingit, kita seperti terpaku dengan keindahan buatan manusia dan terasa berada " di alam percutian". Saya tidak pernah terfikir untuk tinggal di situ, hanya "gateway" ke alam fantasi, seperti dalam filem-filem romantik atau youtube Yuna.

Selain daripada lokasi terkenal dunia iaitu London dan Paris, cuba jejakkan kaki ke Venice. Susuri terusan air bersama gondola. Jika berpeluang menjejakkan kaki ke sana lagi, pasti kali ini saya tidak akan melepaskan peluang keemasan untuk menaiki gondola. Rasanya berbaloi untuk membayar beberapa ratus Euro, jika anak-anak semua berada di dalamnya. Bilakah saat itu akan tiba? InsyaAllah....

Hidup ini mudah...

Salam semua

Dalam perjalanan ke satu destinasi, saya tercari-cari saluran radio yang boleh menawan telinga. Terhenti di satu titik resepsi baru, FM105.7. Malangnya tidak pula diketahui apakah saluran itu. Menikmati lagu-lagu yang dialunkan, saya seakan-akan terbang bersama nyanyian kumpulan Michael learns to rock. Hahaha...sudah lama tidak menyebut nama kumpulan ini, bagai memgimbau masa silam di suatu ketika dahulu. Berakhirnya lagu itu, aku terpaku mendengar "pesanan" yang berkumandang. Boleh dianggap menyegarkan dan logiknya cukup mudah, Life is simple and don't complicate things.

Antara kata-kata atau pesanan yang masih terpahat di minda saya ialah; tanya jika kita ingin tahu, mengaku jika kita suka, luahkan jika kita tidak berpuas hati, minta jika kita mahu, tolak jika kita tidak suka. Express and don't expect, others don't know what's inside your brain. Well, its supposed to be in english. So guys, try to translate it yourself.

Secara peribadi saya sukakan "pesanan" seumpama ini, harus dikongsi bersama rakan-rakan dan anak-anak yang sedang membesar supaya mereka tahu, cara mudah untuk hidup. Kadangkala, kita tidak suka "bersuara" kerana takut dicop macam-macam, tetapi dalam masa yang sama, kita tidak berpuas hati dengan layanan orang pada kita. Jika ditanya, "Apa yang kamu suka?", kita jawab dengan senyum simpul, "Tidak kisah apa-apa". Akhirnya, orang beri kita makan tempe, terdetik rasa tidak puas di hati sebab selera kita bukan pada tempe. Jadi, apakata kita mudahkan perkara-perkara yang tidak perlu menyesakkan kepala. Jawab bila ditanya, minta bila mahu, tanya bila tidak tahu, menolak jika tidak suka, susah sangat ke? Memang susah sebab ia berkaitan dengan budaya kita dibesarkan dan diterima ramai.

Akibat daripada perbuatan "kononnya" tidak mahu mencipta senario, kita terdedah pada satu lagi sindrom yang tidak kurang hebat, dikenali sebagai "sindrom memangsakan diri".  Biasakan dengar orang merungut, "Dia tak patut layan aku begini!, Dia suka benar membuli aku!, Aku saja kena ikut cara dia!". Cuba tanya pada diri sendiri, siapa TUAN pada empunya diri? Siapa captain dalam kapal yang kita kemudi ini? Orang lain cuma mengikut acuan yang kita telah setkan dalam minda, orang cuma menari ikut rentak tempo yang  kita rekodkan di dalam otak. Salah merekakah atau kita yang kurang cerdik, memilih tempo dan rentak tari yang kita suka. Jadi, berbalik pada tajuk di atas tadi, hidup ini mudah...

Thursday, 8 March 2012

Benang masa

Salam

Masa usia kecil anak-anak dan masih berada di alam persekolahan, saya tidak suka membaca. Abang suka membeli majalah Mingguan Pelajar(jika tidak salah, tajuknya), dan dia akan membaca dari kulit ke kulit, segala isi yang terkandung di dalamnya. Dia memang kuat membaca sehinggalah sekarang, dan sering berkongsi ilmu dengan saya. Di dalam majalah tersebut akan terselit lebih daripada satu halaman untuk kanak-kanak seperti saya iaitu halaman mewarna, mencari benda tersembunyi dan melukis, pendek kata apa sahaja aktiviti yang tidak melibatkan bacaan. Saya sungguh teruja sebab abang akan membiarkan halaman itu tanpa disentuh!

Menariknya, dalam keinginan membaca yang sangat terhad seperti itu, saya masih ingat  pernah membca satu kisah dogeng berjudul, Benang Masa. Kisahnya unik, tentang seorang budak yang diberi hadiah segulung benang oleh seorang tua. Kegunaannya pun mudah, jika budak itu berada dalam kesukaran, dia hanya perlu menarik benang itu sedikit. Tanpa sedar masa sukar itu akan berlalu dengan pantas dalam sekelip mata. Seronok bukan! Tidak sangka, kisah benang masa ini benar-benar menyulam masuk dalam kehidupan saya secara peribadi hingga sekarang. Setiap kali saya dirundung duka, pasti saya terfikir akan kisah benang masa ini. Kadangkala, bila realiti begitu menyakitkan, saya berhasrat untuk memiliki benang masa yang sama. Akan saya tarik benang masa itu, jika ingin melalui peperiksaan, menghadapi sakit beranak, masa bergaduh dengan suami, dan banyak lagi pengalaman pahit di sepanjang hidup ini. Hahaha....i wish!

Apakah kesudahan kisah budak dengan benang masa itu? Tanpa sedar, budak itu suka benar menarik benang masa tanpa suatu alasan yang kukuh. Akhirnya, usia sudah meningkat tua dan benang itu sudah habis segulung, tetapi dia rasa ada kekosongan dalam hidupnya. Benar, usia makin meningkat tetapi dia tidak mempunyai pengalaman sebanyak yang patut diperolehi oleh orang tua yang seusia dengannya. Tiba-tiba terdetik rasa menyesal di dalam hati. Dia berfikir, seharusnya pengalaman dan realiti pahit dalam kehidupan menjadi pengajaran paling berharga buat dirinya. Pengalaman hidup manis dan pahit, masing-masing membentuk siapa diri kita sebenarnya. Terdapat banyak pengajaran disebalik pengalaman hidup yang kita kecapi. Itulah bezanya antara kita dengan orang-orang di keliling.

Mengingati semula kisah akhiran benang masa, saya akan tersenyum sendiri. Siapalah diri kita tanpa pengalaman, sama ada pahit ataupun manis. Walau sesukar mana sekalipun, ia tetap memberi kita pengajaran yang berharga. Bak kata-kata hikmah suamiku yang terchenta, sukar mana pun, tak sesukar mereka yang berada di West Bank. Ntah hidup, ntah mati esoknya. 

Cepat-cepat aku mengangguk tanda setuju!!

Wednesday, 7 March 2012

Let go...

Salam

Lama benar menyepi, sungguh tidak sempat menulis walaupun sekadar menjengah. Tapi hari ini, kerja baru siap dihantar jadi saya luangkan sedikit masa untuk berkongsi.

Let go...dalam bahasa asing, apa perkataan lebih sesuai untuk diterjemah ke dalam bahasa kita? Intipatinya mudah, seperti meminta sesuatu dilupakan, dibiarkan, dimaafkan, di...dan di, yang pastinya ia bermula daripada kita sendiri. Memang mudah untuk bercakap dan meminta orang melupakan, tapi jika ia berlaku pada diri sendiri. Baru sedar, tinggi atau rendahnya langit! Kenapa sesetengah orang susah untuk melupakan, dan masih marah juga berdendam. Saya tahu jawapannya, hahahahah!!! Saya mengaku sebab saya pernah lalui pengalaman itu dan saya senantiasa bertanya, kenapa dan kenapa terlalu sukar untuk saya melupakan dan memaafkan. Saya mencari penawar pada penyakit ini melalui cerita motivasi, bertunjangkan orang-orang yang besar jiwanya seperti nabi Muhammad saw antaranya, dan ramai lagi tokoh-tokoh asing walaupun berlainan agama dan resam.

Kini, walaupun saya masih belum mahir dalam kemahiran ini tetapi saya tetap belajar, sedikit demi sedikit untuk mengawal emosi yang tidak mendatangkan apa-apa faedah kecuali, busuk dan membakar diri sendiri. Dan, apabila berhadapan dengan orang-orang sebegini dalam diskusi alam maya, saya cuba mengelak diri daripada terjebak dalam kemelut ini. Walaupun adakalanya, ia terjadi tanpa sedar tetapi kita masih boleh mengenali mereka dengan mudah. Ia bagaikan tiada kesudahan dan kesannya, hati menjadi sangat kotor dan tidak tenteram. Bila difikir balik, siapakah yang mendapat faedahnya, jika bukan diri sendiri. Jadi bagaimana untuk belajar, to let go....

Satu quote yang paling saya suka ialah, "Orang yang memegang bara dengan niat untuk dilontarkan kepada orang lain, akan membakar diri sendiri sebelum sempat orang lain itu terbakar." Bayangkan diri kita yang sedang terbakar. Adakah berbaloi untuk menyimpan bara itu, atau kita belajar untuk lepaskan genggaman erat itu dan selamatkan diri daripada terbakar?

Akhir kata, saya selalu berfikir...bodohnya saya kerana selalu membiarkan diri terbakar sedangkan orang itu menikmati hidup tenang dan selesa. Betul kan?