Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Thursday, 8 March 2012

Benang masa

Salam

Masa usia kecil anak-anak dan masih berada di alam persekolahan, saya tidak suka membaca. Abang suka membeli majalah Mingguan Pelajar(jika tidak salah, tajuknya), dan dia akan membaca dari kulit ke kulit, segala isi yang terkandung di dalamnya. Dia memang kuat membaca sehinggalah sekarang, dan sering berkongsi ilmu dengan saya. Di dalam majalah tersebut akan terselit lebih daripada satu halaman untuk kanak-kanak seperti saya iaitu halaman mewarna, mencari benda tersembunyi dan melukis, pendek kata apa sahaja aktiviti yang tidak melibatkan bacaan. Saya sungguh teruja sebab abang akan membiarkan halaman itu tanpa disentuh!

Menariknya, dalam keinginan membaca yang sangat terhad seperti itu, saya masih ingat  pernah membca satu kisah dogeng berjudul, Benang Masa. Kisahnya unik, tentang seorang budak yang diberi hadiah segulung benang oleh seorang tua. Kegunaannya pun mudah, jika budak itu berada dalam kesukaran, dia hanya perlu menarik benang itu sedikit. Tanpa sedar masa sukar itu akan berlalu dengan pantas dalam sekelip mata. Seronok bukan! Tidak sangka, kisah benang masa ini benar-benar menyulam masuk dalam kehidupan saya secara peribadi hingga sekarang. Setiap kali saya dirundung duka, pasti saya terfikir akan kisah benang masa ini. Kadangkala, bila realiti begitu menyakitkan, saya berhasrat untuk memiliki benang masa yang sama. Akan saya tarik benang masa itu, jika ingin melalui peperiksaan, menghadapi sakit beranak, masa bergaduh dengan suami, dan banyak lagi pengalaman pahit di sepanjang hidup ini. Hahaha....i wish!

Apakah kesudahan kisah budak dengan benang masa itu? Tanpa sedar, budak itu suka benar menarik benang masa tanpa suatu alasan yang kukuh. Akhirnya, usia sudah meningkat tua dan benang itu sudah habis segulung, tetapi dia rasa ada kekosongan dalam hidupnya. Benar, usia makin meningkat tetapi dia tidak mempunyai pengalaman sebanyak yang patut diperolehi oleh orang tua yang seusia dengannya. Tiba-tiba terdetik rasa menyesal di dalam hati. Dia berfikir, seharusnya pengalaman dan realiti pahit dalam kehidupan menjadi pengajaran paling berharga buat dirinya. Pengalaman hidup manis dan pahit, masing-masing membentuk siapa diri kita sebenarnya. Terdapat banyak pengajaran disebalik pengalaman hidup yang kita kecapi. Itulah bezanya antara kita dengan orang-orang di keliling.

Mengingati semula kisah akhiran benang masa, saya akan tersenyum sendiri. Siapalah diri kita tanpa pengalaman, sama ada pahit ataupun manis. Walau sesukar mana sekalipun, ia tetap memberi kita pengajaran yang berharga. Bak kata-kata hikmah suamiku yang terchenta, sukar mana pun, tak sesukar mereka yang berada di West Bank. Ntah hidup, ntah mati esoknya. 

Cepat-cepat aku mengangguk tanda setuju!!

No comments: