Di mana dan Bagaimana

Di mana dan Bagaimana

Friday, 30 March 2012

Standard seorang suri

Salam

Apabila sebut tentang anak kecil, mereka ada standard tersendiri. Comel, comot, nakal, lincah dan pemalu. Apabila berfikir tentang mereka yang bekerjaya, tentu tergambar pakaian kemas, berjenama, sedondon dan wangi. Apabila terpacul perkataan suri rumah, ramai tidak mungkin lari daripada imbasan baju kelawar, bedak sejuk dan mulut " si joyah". Betul atau tidak?

Standard atau karektor ini memberi gambaran, kadangkala jauh tersasar daripada diri kita yang bergelar suri. Tetapi, rata-rata masih mempunyai set fikiran yang sama walaupun zaman sudah berubah. Saya tidak kisah dengan apa yang dipakai oleh suri, tetapi saya berminat mendalami cara fikir mereka yang bergelar suri. Ramai kenalan dan kawan saya daripada golongan ini, mereka berbeza bergantung pada cara berfikir, dan mungkin juga pada tahap pendidikan. Jika hendak ditafsir daripada gaya hidup, secara kasar mereka ini lebih bertuah berbanding sebilangan wanita-wanita lain yang keluar bekerja untuk mencukupkan keperluan atau terpaksa membayar hutang pelajaran. Mereka mampu memandu kereta "import", berspa, berstarbuck, bercuti dan lain-lain ber...! 

Satu isu menarik minat saya, kebanyakan daripada suri ini meletak "standard" mereka, bukan pada benda-benda material seperti kereta, baju, rumah(walaupun ada) tetapi pada "anak-anak" dan "suami". Pemerhatian ini mungkin dari golongan suri mampu, jadi saya tidak boleh pukul rata semua suri sebegini. Ada juga suri seperti dalam cereka swasta, yang melaram dari hujung rambut hingga hujung kaki tetapi anak-anak dan suami, leka terbiar. Saya dikelilingi oleh suri-suri mampu, dan mensasarkan anak-anak dan suami sebagai simbol kejayaan mereka dan lambang "ketokohan" mereka menjadi suri. Apa maksudnya itu?

Sepertimana kita selalu dengar, orang membuat komen, "Padanlah cerdik, anak cikgu!" "Patutlah cantik dan kemas, emaknya suri." "Hari-hari bawa bekal, iyalah, maknya kan suri?" Biasakan dengan komen-komen seperti ini. Seolah-olah anak-anak bermak suri, ada standard yang melekat bersamanya. Bagus sebenarnya, secara tidak sedar, masyarakat mengiktiraf juga golongan ini. Secara tidak langsung, ahli keluarga dan anak-anak yang mempunyai ibu seorang suri, berada dalam pakej kehidupan yang terjaga. Baik dari segenap segi seperti pendidikan, keselamatan dan pemakanan.

Malangnya pada suri, kita menjadi terlalu "ketat" dengan standard yang dipegang dan dijulang selama ini. Haruskah rumah suri seperti "show room" di tapak jualan rumah? Sentiasa berkemas 24 jam, 7 hari seminggu? Salahkah suri, jika kita tiada mood untuk memasak dan bangun awal pagi untuk menyiapkan bekal anak-anak bersekolah? Salah surikah, jika suami kita tidak sekemas suami orang lain? Salah surikah, jika suaminya bersarapan di luar rumah? Adakah anak-anak suri, semestinya skor dalam setiap peperiksaan di sekolah? Hanya kerana alasan, ibunya seorang suri dan "banyak" masa di rumah. Penatkan!

Betul juga rasanya, apa lagi kayu pengukur kejayaan suri jika bukan pada rumahnya, yang sentiasa tip-top bersih. Apa lagi standard kemajuan suri jika tidak pada, kemajuan dan kejayaan anak-anaknya di sekolah. Apa lagi bonus suri, jika anak-anaknya tidak mendapat berketul-ketul A dalam setiap peperiksaan yang diambil. Suri juga dahagakan "pencapaian" sepertimana orang bekerjaya. Suri juga perlukan "pengiktirafan" sebagaimana pekerja terbaik mendapat kepujian dan bonus tahunan. Mana lagi sasaran suri jika bukan pada tip-top masakannya, kecanggihan anak-anaknya, kehenseman suaminya, kerapian rumah dan pokok bunganya?

Malangnya, saya juga tidak terkecuali dalam permainan emosi ini. Saya masih dahagakan pencapaian dalam kehidupan ini, tetapi rumah, suami dan anak-anak bukan sasarannya. Saya lebih suka larikan diri daripada "kongkongan standard" seorang suri. Saya tidak gemar berwindow shopping, berinternet shopping, berhias rumah, menjadi tukang masak sepenuh masa, tukang itu, tukang ini dan macam-macam lagi. Saya jalankan tugas seorang suri, sekadarnya, dan tidak ada standard. Saya bebas mengejar cita-cita sendiri, saya bebas memilih kursus kemahiran diri dan saya bebas menghabiskan masa mengikut kegemaran seperti membaca, menonton dan menulis. Anak-anak dan suami? Benar, saya bertanggungjawab meringankan rutin harian mereka kerana saya seorang suri, tetapi saya tidak sandarkan "kejayaan" individu pada mereka. Kesannya, saya tidak mudah melompat jika anak-anak tidak mendapat skor selain A dalam peperiksaannya. Saya tidak rasa tercabar, jika kawan-kawan bertanya, "Eh, tak masak ke hari ini?" Saya tidak berkecil hati jika ibu mertua saya bertanya soalan-soalan "menyibuk", hahahahah...

Pastinya, saya masih menyidai baju, membasuh, menggosok sepertimana suri-suri lain tetapi saya juga "out source" kerja-kerja rutin itu, seperti menghantar dobi, menggalakkan anak-anak menjadi "wonder pet", membuat jadual pada suami untuk "mengilap" dapur. Saya tidak ambil tugas-tugas ini secara eksklusif dan menyandarkan "ketokohan" saya sebagai seorang suri pada kerja-kerja seperti ini. Ini adalah kerja-kerja "wonder pet", semua ahli keluarga harus bersama-sama menjayakannya, kan...?

No comments: