Web courtesy |
Salam semua
Suka benar saya mendengar alunan lagu Yuna yang terbaru, Terukir di bintang. Berhajat untuk diabadikan di dalam blog ini sebagai muzik latar, tetapi kurang arif pula, di mana patut saya tempel lokasi youtube itu. Masih perlu belajar untuk memajukan diri, insyaAllah.
Melayan youtube Yuna, berlatarbelakang satu tempat percutian unik di dunia, Venice, Italy. Ia bagai menggamit memori indah saya, ketika berada di lokasi tersebut. Memang benar, Venice adalah sebuah bandar tua, klasik dan unik, terletak di perairan laut sebuah negara terkenal dengan barangan kulit atau motor berkuasa tingginya Ducati, itulah Italy. Dalam banyak-banyak lokasi percutian indah dan romantik, selain daripada Paris yang sangat terkenal itu, secara peribadi saya memilih Venice. Ia adalah salah satu lokasi percutian yang terukir di hati saya, dan masih...
Venice unik disebabkan oleh lokasi, aura, air, muzik, makanan dan mood yang diadun indah dan serasi dengan jiwa saya. Berteksikan feri untuk melompat dari satu tempat ke satu yang tempat lain, bukanlah satu pengalaman yang boleh kita kutip di mana-mana saja, melainkan di Venice(salah satunya, mungkin!). Ia bagaikan satu pengangkutan normal, walaupun rasa hati ini berdebar-debar apabila melangkah masuk, ala-ala melompat ke dalam feri. Adakah ia selamat, adakah air ini dalam, bagaimana kalau terjatuh ke dalamnya? Berbagai-bagai soalan menerjah masuk ke dalam minda, tetapi sebaik saja kita berada di dalam feri itu, segala ketakutan hilang. Beralunkan ombak dan bunyi feri membingit, kita seperti terpaku dengan keindahan buatan manusia dan terasa berada " di alam percutian". Saya tidak pernah terfikir untuk tinggal di situ, hanya "gateway" ke alam fantasi, seperti dalam filem-filem romantik atau youtube Yuna.
Selain daripada lokasi terkenal dunia iaitu London dan Paris, cuba jejakkan kaki ke Venice. Susuri terusan air bersama gondola. Jika berpeluang menjejakkan kaki ke sana lagi, pasti kali ini saya tidak akan melepaskan peluang keemasan untuk menaiki gondola. Rasanya berbaloi untuk membayar beberapa ratus Euro, jika anak-anak semua berada di dalamnya. Bilakah saat itu akan tiba? InsyaAllah....
No comments:
Post a Comment