Lebih lima belas tahun menjawat jawatan suri, masih tidak lekang dengan masalah jati diri. Buruk sangatkah menjadi suri? Walaupun 1001 nikmat sudah dirasai tetapi masih diri kekurangan berbanding mereka yang bekerjaya. Saya tidak rasa kurang menjadi suri hingga berjumpa dengan manusia yang sering memandang rendah pada kami.
-image google- |
Dilema suri apabila terlalu lama di rumah, bergaul dengan anak-anak dan mempunyai majikan si suami yang boleh diarah begitu dan begini, kita menjadi sedikit kalis pada dunia luar. Di rumah boleh dikerah itu dan ini, boleh dirajuk jika tidak mengikuti dan boleh mengamuk sesuka hati. Tetapi di luar rumah, banyak mata-mata yang memerhati.
Saya seakan-akan tidak memahami cara orang luar bekerja, katanya sungguh profesional. Katanya mereka penuh nilai dedikasi, menepati janji dan tidak main-main bila bersendiri. Saya pula yang terkesima melihat perlakuan mereka, maklumlah kami hanya suri di rumah. Tidak layak bergelar profesional, apatah lagi mahu diangkat sedarjat dengan mereka yang berkasut tinggi, bertas tangan mahal dan bertudung Ariani.
Lima belas tahun menjawat jawatan tidak glemer seorang suri menjadikan saya mempunyai disiplin diri yang tinggi walaupun tidak ada yang memerhati. Saya tidak punya punch card , tetapi seluruh kehidupan sekolah dan kerjaya suami bermula daripada seorang suri. Kami tidak boleh lewat bangun pagi, menyiapkan sarapan ke sekolah bersama tugasan harian. Kami tidak boleh leka berseloka, bersarapan lebih masa dan mengular waktu ofis untuk bershopping online. Masa kami penuh dengan aktiviti masak, basuh, kemas, hantar dan ambil anak, membeli barang keperluan dan sekali-sekala berjumpa teman minum kopi. Kesemua tugas ini dilakukan tanpa bos mengikuti, tanpa ada bonus menanti dan tanpa cuti yang boleh diganti. Kami tetap lakukan ia dengan sepenuh hati.
Keadaan menjadi asing pada saya apabila mula menjinakkan diri bekerja. Saya masih memandang tinggi pada mereka yang bekerjaya. Jangkaan juga melebihi yang sepatutnya, maklumlah mereka semua bergelar profesional belaka. Malangnya, apabila bersama mereka saya mula melihat lompangnya cara mereka bekerja berbanding suri yang lekeh dipandangan mata.
Sungguh kami tidak berkasut tinggi, bertas tangan mewah dan bertudung Ariani. Tetapi kerjaya kami cukup memegang tinggi disiplin diri. Menyiapkan kerja sedaya mampu tanpa berdolak-dalik. Boleh juga ditunda-tunda sesuka hati, tetapi kami juga yang harus menghadapi. Tidak boleh di tolak ke sana dan ke mari, maklumlah anak dan suami semuanya ke sekolah dan ofis. Siapa lagi yang ada untuk mengganti diri yang membolos ke FB. Pandai-pandailah bawa diri. Cukup jam dan detik anak-anak dan suami akan balik, makanan tersedia menanti, baju siap bergosok, lantai bersih bersapu dan halaman bercuci.
Dalam diri ini cuba memahami, sama ada saya yang cerewet atau dunia kerjaya sememangnya begini. Susahnya, kerana tidak boleh mengarah mereka sepertimana anak-anak. Tidak boleh ditolak, diasak dan dikerah kerana mereka semuanya bukan anak sendiri. Mahu diturut cara mereka, kerja tidak bergerak malah tidak langsung beranjak. Akhirnya, saya pasrah.
Mahu mengubah dunia, harus bermula dengan diri sendiri. Saya ubah diri dengan menjadi seperti mereka, que sera-sera.
No comments:
Post a Comment